‘Biasalah tu’: Apabila salah laku jadi budaya

‘Biasalah tu’: Apabila salah laku jadi budaya

Perubahan tidak akan berlaku selagi ‘penerimaan’ bermula daripada mereka yang berada di tampuk tertinggi.

bribery rasuah

“Ala… biasa lah tu.”

Itu antara ungkapan dan reaksi yang semakin kerap kita dengar setiap kali timbul berita tentang salah laku, salah guna kuasa, rasuah atau kecuaian dalam kalangan penguat kuasa. Kesalahan yang sepatutnya membangkitkan kemarahan masyarakat kini seolah-olah sudah menjadi norma dan semakin ‘diterima’.

Fenomena yang saya istilahkan sebagai budaya normalisasi salah laku ini merupakan barah dalam sistem yang melumpuhkan kepercayaan rakyat terhadap institusi, khususnya agensi penguatkuasaan. Lebih malang lagi, perubahan tidak akan berlaku selagi ‘penerimaan’ ini bermula daripada mereka yang berada di tampuk tertinggi yang sepatutnya menjadi contoh kepimpinan dan integriti.

Apabila kesalahan bermula dari atas

Sepanjang 2025, EAIC telah membongkar pelbagai salah laku yang serius, bukan hanya dalam kalangan anggota bawahan, tetapi turut melibatkan pegawai kanan dan ketua-ketua jabatan dalam agensi penguatkuasaan utama di negara ini.

Antara kes yang disiasat termasuk pemalsuan keputusan ujian saringan, kelulusan dokumen tanpa prosedur, pelepasan barangan terlarang secara tidak sah, kecuaian dalam pengurusan visa dan dokumen sensitif. Kes-kes ini bukan sekadar kesalahan teknikal. Ia menunjukkan kelemahan kawalan dalaman, penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran serius terhadap prosedur. Lebih membimbangkan, ia melibatkan mereka yang sepatutnya menjaga sistem dan undang-undang, bukan melanggarnya.

Syor dikeluarkan, maklum balas masih tertangguh

Maklum balas terhadap syor dan dapatan siasatan yang dikemukakan EAIC sejak kebelakangan ini sangat membimbangkan. Dalam tempoh 2024 hingga 2025, EAIC menerima 670 aduan salah laku, dengan 594 siasatan berjaya diselesaikan. Sebanyak 200 kes melibatkan agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC, dan daripada itu, 37 pegawai kanan disyorkan untuk dikenakan tindakan tatatertib. Namun sehingga artikel ini ditulis, masih terdapat agensi yang langsung tidak memberikan sebarang maklum balas, walaupun Seksyen 30(2) Akta 700 dengan jelas mewajibkan agensi terlibat memberikan maklum balas dalam tempoh 14 hari selepas laporan disampaikan.

Jurang antara dapatan dan tindakan ini amat besar. Walaupun syor telah dikemukakan, ada yang hanya dikenakan tindakan ringan, dan ada juga yang terus didiamkan. Mesej yang sampai kepada masyarakat? Kuasa yang ada bukan digunakan untuk membetulkan, tetapi melindungi.

Undang-undang ada, tetapi mana pelaksanaannya?

Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 jelas membolehkan tindakan termasuk buang kerja dikenakan terhadap pelanggaran disiplin. Maka persoalannya, mengapa masih wujud keengganan untuk bertindak tegas?

Kelonggaran inilah yang menyuburkan budaya permisif, iaitu apabila salah laku dianggap boleh dirunding atau dimaafkan. Ini bukan soal kelemahan sistem, tetapi soal keberanian dan keikhlasan pihak pelaksana untuk menegakkan integriti tanpa pilih kasih.

Apabila pelindung sistem jadi pelaku

Dalam sistem pentadbiran yang sihat, pegawai kanan perlu menjadi penjaga nilai, bukan pelanggar nilai. Namun siasatan EAIC menunjukkan, sebahagian mereka inilah yang paling banyak terpalit dengan kes penyalahgunaan kuasa. Ibarat harapkan pagar, pagar makan padi.

Kita tidak boleh berharap kepada reformasi integriti jika mereka yang berada di puncak tidak menunjukkan teladan, malah menjadi benteng melindungi salah laku orang bawahan.

Budaya jenaka jadi nyata

Beberapa minggu lepas, tular video komediri yang melontarkan sindiran bahawa ‘rasuah tu biasa’. Lucu pada permukaan, tetapi pahit ditelan kerana realitinya, inilah yang sedang berlaku dalam masyarakat. Ketika kita mula mentertawakan rasuah, maruah kita sebagai masyarakat juga mula luntur. Ia petanda sempadan antara betul dan salah sudah semakin kabur, dan yang lebih membimbangkan ia semakin diterima sebagai kelaziman.

Kembalikan rasa malu, tolak budaya salah laku

Sikap ‘biasalah tu’ ialah racun yang perlahan-lahan melumpuhkan semangat akauntabiliti. Apabila masyarakat tidak lagi rasa terancam dengan perbuatan salah, maka pelaku akan terus berani kerana tahu mereka selamat. Kita perlu kembali menanam rasa malu terhadap perbuatan tidak berintegriti. Tanpa malu, tiada sempadan. Tanpa sempadan, tiada batas kepada salah laku.

Integriti benteng negara

Pegawai penguat kuasa ialah benteng utama negara. Jika benteng ini bocor akibat salah laku yang tidak dihukum, maka keseluruhan sistem akan runtuh. EAIC telah menjalankan tugasnya menyiasat dan mengemukakan syor. Kini masanya untuk agensi pelaksana, pihak berkuasa tatatertib, kepimpinan agensi dan rakyat sendiri memainkan peranan masing-masing. Jangan sesekali membiarkan salah laku menjadi kebiasaan, kerana apabila salah laku menjadi budaya, integriti bukan sahaja dikompromi, bahkan akan menjadi menjadi nilai asing dalam sistem kita.

Jika hari ini kita membiarkan integriti tersisih, apa lagi yang tinggal untuk dipertahankan esok?

 

Penulis ialah pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.