Super App untuk pemandu kenderaan berat?

Super App untuk pemandu kenderaan berat?

Tiba masa kerajaan pertimbang pemantauan melalui aplikasi digital dan beri ganjaran kepada majoriti pemandu kenderaan berat yang patuh undang-undang.

lori lebuhraya highway lorry

Beberapa hari lalu, penulis menaiki sebuah kereta e-panggilan ditempah melalui perkhidmatan aplikasi yang antara terkemuka di Malaysia. Semasa bersembang dalam perjalanan penuh sesak ke lapangan terbang, pemandu tersebut berkongsi bagaimana syarikat perkhidmatan aplikasi tersebut menyelia (monitor) standard pemanduan setiap pemandu dengan pemantauan kelajuan masa nyata (real-time speed monitoring).

Pemandu e-panggilan syarikat tersebut akan menerima rumusan berupa ‘dashboard’ keesokan hari bagi menunjukkan kepada pemandu berkenaan mutu pemanduan hari sebelumnya, terutama apa-apa pelanggaran had laju dan berapa minit pemandu melakukan kesalahan langgar had laju tersebut.

Keupayaan pemantauan syarikat e-panggilan tersebut sangat mengagumkan dan penulis dengan rendah diri mencadangkan pasukan pakar di Kementerian Pengangkutan berkolaborasi dengan syarikat terkemuka itu untuk membangunkan satu Super App bagi kegunaan setiap pemandu kenderaan berat di mana aplikasi berkenaan mempunyai liputan penggunaan seperti MySejahtera dahulu.

Terma penggunaan asas dan ciri-ciri Super App tersebut boleh merangkumi:

  • Setiap pemandu kenderaan berat wajib daftar dan hidupkan aplikasi (on the application) sebaik sebelum memulakan perjalanan atau tugasan memandu. Kegagalan menghidupkan dan menggunakan Super App semasa pemanduan aktif akan mengundang denda tinggi atau penggantungan pemanduan selama 14 hari.
  • Super App akan memantau kelajuan kenderaan yang dipandu pemandu kenderaan berat dan segala pelanggaran had kelajuan pada mana-mana bahagian pemanduan akan direkodkan dan diberi amaran keras pada permulaan pemanduan selanjutnya. Kehebatan aplikasi syarikat e-panggilan tersebut ialah berupaya menyatakan had laju bagi setiap jalan digunakan oleh pemandu syarikat tersebut dan mengesan kelajuan pemandu. Mungkin itu salah satu sebab utama bila kita jarang dengar berita pemandu syarikat e-panggilan terlibat kemalangan kerana melanggar had laju.
  • Pemanduan yang cermat dan tidak melanggar had laju harus diberikan mata ganjaran yang boleh ditebus dengan produk berkhasiat mana-mana syarikat yang hendak mempromosikan produk mereka. Sebagai contoh, mata ganjaran diperoleh di Super App boleh ditukar dengan set sarapan, makan tengah hari atau makan malam di stesen petrol tertentu. Dengan adanya mata ganjaran bagi pemanduan berhemah dan patuh undang-undang, maka ramai lagi pemandu kenderaan berat akan lebih berhati-hati di jalan raya memandangkan mata ganjaran boleh membawa kegembiraan dan kejayaan kecil setiap hari.
  • Bagi pemandu yang melanggar had laju melebihi lima minit dalam satu hari pemanduan, penggunaan Super App boleh digantung satu hari pada hari pemanduan seterusnya. Bagi kesalahan melanggar kelajuan seterusnya, penggantungan penggunaan Super App boleh menjadi dua hari, tiga hari, malah seminggu untuk memberi ruang kepada pemandu supaya insaf akan tindakan sendiri yang berbahaya. Mungkin ramai akan berkata ini sangat zalim kepada pemandu kenderaan berat kerana belum terbukti bersalah di mahkamah, sudah kena ‘hukum gantung’ penggunaan Super App. Keadilan itu sangat penting, tetapi kita harus mengimbangi keadilan dengan pelaksanaan penggantungan Super App yang jelas boleh berfungsi sebagai alat pencegahan (deterrence) kepada sikap pemanduan melulu. Usah kita menjadi hipokrit dengan memarahi pemandu kenderaan berat selepas berlaku kemalangan maut, sedangkan kita tidak berikhtiar sebelum kemalangan.
  • Ada orang akan mengatakan Super App ini akan menambahkan kos dan membebankan pemandu kenderaan berat. Suka penulis bertanya, berapa ramai pemandu kenderaan berat yang tidak mampu membeli dan menggunakan telefon pintar, berapa pemandu kenderaan berat yang tidak melanggan internet di telefon bimbit masing-masing? Semasa MySejahtera diwajibkan penggunaan, ramai juga yang protes tetapi akhirnya menghargai kebaikan dibawanya.
  • Dengan penggunaan Super App, tempoh pemanduan pemandu juga akan dipantau setiap masa. Sebagai contoh, jika pemandu A sudah memandu berterusan enam jam tanpa rehat, maka ini adalah amalan membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan yang lain. Pemandu yang keletihan lebih berbahaya daripada segala faktor lain dalam satu-satu kemalangan. Kita manusia, bukan robot, dan mesti ada had masa bila memandu, di mana pada masa sekarang tiada apa-apa pemantauan sama sekali.
  • Penulis berharap Super App akan membantu kumpulan pemandu kenderaan berat untuk dilayan seperti pemandu kapal terbang, di mana rekod pemanduan yang baik dan berhemah sebagaimana disimpan di dalam Super App akan menjadi testimoni pemandu sendiri. Gaji dan elaun lebih tinggi harus diberikan kepada pemandu yang mencapai tahap pemanduan berstandard tinggi dengan merujuk kepada rekod Super App.
  • Penulis akur untuk membangunkan Super App bukan murah dan kerajaan harus mempertimbangkan sedalam-dalamnya mengambil kira kebaikan akan dibawa oleh pemantauan melalui Super App. Super App boleh menjadi ‘buku perkhidmatan digital bagi setiap pemandu kenderaan berat dan hampir pasti lambat laun industri pengangkutan akan menilai dan menghargai rekod cemerlang pemandu melalui rujukan Super App. Pemandu yang tidak cermat dan sering melanggar undang-undang lalu lintas harus disisih daripada industri pengangkutan dan tidak wajar diberi peluang untuk mencemar usaha baik majoriti pemandu yang setiap hari memandu dengan berhati-hati.

Penulis marah dan sedih setiap kali membaca berita kemalangan maut melibatkan kenderaan berat. Sudah sampai masa kerajaan mempertimbangkan dengan serius pemantauan melalui aplikasi digital dan memberikan ganjaran sewajarnya kepada majoriti pemandu kenderaan berat yang patuh undang-undang. Kita tidak boleh setiap kali menggunakan pendekatan ‘menghukum’ semata-mata, kadangkala harus digunakan pendekatan ‘ganjaran’ kerana psikologi manusia lebih menyukainya bila berbuat baik dan kita tidak mahu mentaliti masyarakat yang hanya pakai tali pinggang keledar bila nampak polis.

Pematuhan kepada undang-undang lalu lintas harus bukan kerana takut kena saman, tetapi berpunca daripada kesedaran diri sendiri dan keluarga bahawa pematuhan akan menyelamatkan jiwa.

 

Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.