Percaturan Anwar pulihkan imej PKR

Percaturan Anwar pulihkan imej PKR

Anwar Ibrahim mungkin boleh merasakan hayat PKR sukar bertahan lama sekiranya tiada keghairahan baharu.

ANWAR IBRAHIM

Dinamik politik tidak berakhir hanya setelah berakhirnya sesuatu persaingan politik. Episod seterusnya akan terus diatur dengan babak-babak yang sukar diramal. Inilah yang menjadikan politik menarik dan mendapat perhatian umum.

Contoh terdekat ialah persaingan di antara Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli bagi jawatan timbalan presiden PKR. Nurul Izzah menang dengan mendapat 9,803 undi manakala Rafizi 3,866 undi. Setelah pemilihan selesai, pelbagai ramalan terus berkumandang khasnya mengenai kemampuan Nurul Izzah dan masa depan politik Rafizi. Tidak ada suara menghalang perbincangan mengenai kesan pertandingan itu. Ini menunjukkan lebih banyak orang bercakap mengenainya, lebih baik untuk PKR.

Persaingan Nurul Izzah dan Rafizi yang dikatakan percaturan daripada Presiden Anwar Ibrahim tidak boleh ditolak begitu sahaja. Jika benar ia percaturan Anwar, ia ada kaitan dengan teori konflik elit (elite conflict theory) yang berlaku di belakang tabir khasnya membabitkan pemimpin-pemimpin politik dan golongan elit. Tambahan pula, pemilihan jawatan kedua tertinggi parti adalah persaingan fraksi. Itulah sebabnya timbul isu nepotisme yang hanya wujud dalam golongan elit.

Dalam masyarakat marhaen, ibu bapa yang membantu anak mendapat sesuatu tidak dianggap nepotisme — ia tanggungjawab. Dalam kumpulan elit yang ada kuasa, sokongan seperti ini termasuk dalam takrif nepotisme.

Sudah banyak isu konflik dibincangkan secara umum mengenai pertandingan itu sebelum dan selepas ia diadakan. Ada yang mengaitkan ia sebagai persediaan Anwar untuk membuka ruang kepada Nurul Izzah bagi menggantikan tempatnya, dan ada juga mengatakan Anwar tidak senang dengan tindak-tanduk Rafizi yang mungkin akan menentangnya suatu hari nanti. Dalam politik, sosok seperti Rafizi perlu dikerat segera bagi menghindarkan ‘penyakit’ daripada merebak. Kerat yang bermaksud mematikan masa depan seseorang adalah perkataan yang digunakan oleh Rafizi.

Apa juga ramalan dan hujah politik, Anwar sebagai pemimpin utama parti perlu melihat lebih jauh — penerimaan rakyat terhadap PKR. Anwar mungkin boleh merasakan hayat PKR sukar bertahan lama sekiranya tiada keghairahan baharu.

Anwar menjawat jawatan perdana menteri selepas PRU15 lalu bukanlah hasil kemenangan mutlak Pakatan Harapan yang diterajui PKR. Hanya setelah mendapat sokongan Barisan Nasional-Umno yang mempunyai 30 kerusi Parlimen, maka baharulah kerajaan perpaduan dapat ditubuhkan dengan penyertaan beberapa parti termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Pakatan mereka membolehkan Anwar diterima sebagai perdana menteri ke-10.

Hari ini, PKR yang mempunyai 31 kerusi Parlimen tidak pernah pun dianggap sebagai tonggak atau tulang belakang PH. Sebaliknya, DAP, dengan kelebihan kerusi yang dimilikinya, menjadi momokan politik sebagai parti yang berkuasa dalam PH. Berbeza sewaktu BN memerintah, Umno bukan sahaja diakui, malah dicadang sebagai tulang belakang.

Anwar tahu kedudukan PKR secara bersendirian tidak selamat bagi menghadapi PRU16. Beliau yakin pembahagian kerusi dengan DAP tidak bermasalah kecuali DAP menuntut tambahan. Sebaliknya, pembahagian kerusi dengan BN akan menjadi punca keretakan sekiranya tidak diurus dengan baik. Anwar mungkin boleh beri keyakinan kepada pimpinan BN untuk menyusun kerusi, sebaliknya pendirian akar umbinya sukar diramal.

Menoleh ke belakang, sejak memerintah negara pada 2022, nama PKR jarang disebut sebagai faktor utama kemajuan dan pembangunan negara kerana ia bukanlah parti yang kuat sebagaimana Umno dalam BN. Jika perasan, semua kejayaan yang dihebahkan sama ada dari segi pembangunan fizikal, inovasi, usaha menarik pelaburan dan sebagainya, lebih berpusat kepada kejayaan perdana menteri.

Itulah sebabnya Anwar menjadi bahan kecaman utama kerana beliau sendiri yang menonjolkan diri sebagai juara dalam semua perkara. Akibatnya, setiap cacian dan cercaan terpaksa ditanggung sendiri.

Dengan kemasukan Nurul Izzah dalam kepimpinan tertinggi PKR, Anwar dilihat mahu menumpukan secara serius usaha mempromosi dan menguatkan parti itu. Beliau yakin Nurul Izzah mempunyai kualiti dan tarikan daripada segi daya kepimpinan. Anwar mungkin menggunakan pendekatan teori persaingan politik (political competition theory) untuk menonjolkan semula imej parti itu sebagai tunjang dalam PH. Rafizi perlu menerima hakikat ini bahawa nilai pasaran berkaitan formula yang ada padanya sudah dianggap tidak sesuai dalam PKR.

Sekalipun PH sebagai gabungan parti-parti boleh memenangi lebih banyak berbanding Perikatan Nasional dalam PRU16, PKR tidak pasti dapat memenangi lebih banyak kerusi berbanding Umno. Jika Umno memenangi lebih kerusi berbanding PKR, saingan untuk jawatan perdana menteri akan berlaku. Dalam PRU16 yang menjurus ke arah sistem dua parti, sukar berlaku kemenangan mutlak dalam kalangan parti-parti yang bertanding. Untuk itu bagi parti-parti berpakat, ia memerlukan perancangan politik yang berkesan bagi mengelakkan parti mereka dipermainkan.

Jika pertandingan Izzah-Rafizi dianggap sebagai perancangan politik, ia strategi pertama Anwar untuk menjadikan PKR sebagai buah mulut. Secara teori dan praktikalnya ia mudah digerakkan melalui media. Media sememangnya memerlukan berita konflik. Terbukti, setelah pemilihan selesai, perbincangan mengenainya masih berterusan. Pemilihan jawatan lain, apatah lagi jawatan presiden tidak dipertandingkan, tidak dipedulikan. Ini menunjukkan Nurul Izzah mempunyai impak politik dalam konteks siasah.

Jika perasan, pemimpin parti pembangkang tidak membuat sebarang ulasan sebelum atau selepas pertandingan dalam pemilihan PKR dengan alasan ia urusan dalaman. Sebetulnya, mereka enggan berbuat demikian kerana ia hanya memberi publisiti percuma dan kelebihan politik kepada PKR, selain tidak mahu menggambarkan pemilihan itu mempunyai impak nasional.

Mengikut teori pasaran politik (political market theory), kemungkinan besar Nurul Izzah akan diberi peranan untuk menyemarakkan imej PKR bagi menghadapi PRU16. Kenyataan Nurul Izzah untuk memastikan 40% calon muda bertanding dalam PRU16 adalah elemen teori pasaran politik yang sudah pun mula digunakan untuk tujuan itu.

 

Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.