Simpan SSPN kaedah selamatkan PTPTN

Simpan SSPN kaedah selamatkan PTPTN

Menggalakkan ibu bapa menabung untuk pembiayaan pendidikan masa depan anak-anak adalah usaha yang berwawasan.

ptptn menara

Rabu lalu, Menteri Pendidikan Tinggi Zamry Abdul Kadir mengumumkan kadar dividen 4.05% bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) untuk tahun 2024, membabitkan 6.77 juta akaun pendeposit dengan jumlah agihan keseluruhan RM439.87 juta. Kadar dividen Simpan SSPN ini meningkat daripada 3.60% pada 2023 dan 3.05% pada 2022.

Memandangkan Simpan SSPN adalah produk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), ia boleh dianggap sebagai mengimbangi ‘hiruk-pikuk’ akibat kegagalan menunaikan janji memansuhkan bayaran balik pinjaman PTPTN. Setakat ini tidak ada sebarang jaminan hutang pinjaman kira-kira 1.2 juta peminjam berjumlah RM10.853 bilion hingga 31 Dis 2023 itu, akan dimansuh. Selain jumlah hutang yang tertunggak begitu besar untuk dilupuskan dan demi memberi keadilan kepada mereka yang sudah menjelaskan hutang masing-masing, kemungkinan besar harapan hutang PTPTN dimansuhkan menjadi ‘harapan tinggal harapan’.

Ini dikuatkan lagi dengan usaha PTPTN yang tidak jemu-jemu mendapatkan semula tunggakan pinjaman itu. Kempen menuntut pembayaran balik pinjaman PTPTN yang diterajui oleh Pengerusinya Norliza Abdul Rahim, tidak menimbulkan sebarang polemik kerana bekas pelajar terutama yang sudah bekerja, memahami tuntutan bahawa apa juga bentuk hutang, tidak boleh dibawa ke mati.

Menggalakkan ibu bapa menabung untuk pembiayaan pendidikan masa depan anak-anak adalah usaha yang berwawasan. Anak-anak tidak tahu erti menabung. Oleh itu, ibu bapalah yang memulakannya dengan langkah pertama. Simpan SSPN, pelaburan jangka panjang ini bermula daripada bayi, mempunyai kelebihan berbanding skim menabung mengikut kaedah sama dilaksanakan oleh perbankan dan beberapa institusi kewangan lain.

Simpan SSPN yang pada mulanya dikenali sebagai SSPN dilancarkan pada 2004 adalah dijamin oleh kerajaan dan diberi pengecualian cukai sehingga RM8,000 setahun, layak menerima perlindungan takaful percuma sehingga RM10,000 dan mereka layak memohon pinjaman PTPTN. Simpan SSPN adalah skim patuh syariah serta dijamin dari segi pengurusan risiko yang mantap. Ia juga melepasi kadar dasar semalaman (0PR) iaitu 3.0%. Sebagai perbandingan kadar dividen yang diberikan adalah menarik dan kompetitif berbanding kadar dividen institusi lain.

Terbaru, PTPTN turut melancarkan kempen Ganjaran Kesetiaan Simpan SSPN Prime 2025, menawarkan tambahan ganjaran 1% kepada pendeposit yang membuat simpanan minimum RM1,000 antara 1 Mei hingga 31 Julai 2025. Ganjaran ini, khusus kepada akaun Simpan SSPN Prime yang dibuka dari 2004 hingga 31 Dis 2021, dibuka untuk anak seawal usia sehari hingga sebelum mencapai 29 tahun dengan deposit serendah RM20. Pendeposit juga melibatkan ibu bapa, penjaga sah atau individu berumur 18 tahun ke atas. Giliran pendeposit bermula 2022 hingga kini, yang dianggap masih baru, mungkin akan tiba tidak lama lagi.

Simpan SSPN adalah satu kaedah positif untuk mendidik anak-anak menabung bagi membiayai kos pendidikan apabila mereka menuntut di institusi pengajian tinggi nanti. Walaupun bermula dengan simpanan serendah RM20, dalam tempoh yang agak panjang, jika simpanan berterusan, ia boleh meringankan beban keluarga kemudian hari. Jika perancangan dilakukan dengan berdisiplin, mereka juga mungkin tidak perlu bergantung kepada pinjaman PTPTN untuk menampung kos pendidikan. Ini adalah satu cara praktikal untuk mengelakkan pelajar berhutang. Sejak skim ini diperkenalkan pada 2004, keseluruhan dividen diagihkan berjumlah RM2.12 biion.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.