Apa kaitan Samsuri dengan DAP?

Apa kaitan Samsuri dengan DAP?

Hantaran Ahmad Samsuri Mokhtar di Facebook berkait kehadiran ke majlis Tahun Baharu Cina anjuran Huazong cetus pelbagai persepsi.

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar dalam hantaran di Facebook pada 10 Feb lalu menyatakan terima kasih kepada Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) yang menjemputnya ke majlis Tahun Baharu Cina anjuran pertubuhan itu, sehari sebelumnya.

Berdasarkan gambar dimuat naik naib presiden PAS di media sosialnya, hanya kelihatan beliau seorang pemimpin Melayu berada di meja utama dan bersama menggaul yee sang sebagai simbolik kemewahan, penyatuan serta kebahagiaan.

Keadaan itu sepatutnya menjadi kebanggaan PAS kerana ada pengiktirafan diberikan pertubuhan Cina paling berpengaruh di Malaysia terhadap pemimpinnya. Huazong ditubuhkan bagi memelihara hak masyarakat Cina dalam bidang pendidikan, ekonomi, kebudayaan dan sosial.

Mungkin imej profesional Samsuri atau dikenali Dr Sam yang juga pakar aeroangkasa membuatkannya dekat dengan kaum lain. Mungkin ini peluang PAS memecah tembok sokongan kaum Cina untuk menerapkan kefahaman terhadap perjuangannya sekali gus buka ruang tadbir Putrajaya.

Namun, menjengah ruang komen hantaran itu, lain pula nada warganet atau pengikut pemimpin PAS terbabit. Ramai mempertikaikan kehadirannya sehingga ada mengaitkan dengan DAP dengan panggilan ‘barua’.

Ada juga kurang senang dengan kehadiran Samsuri ke majlis anjuran Huazong yang sebelum ini membuat kenyataan pembatalan cadangan garis panduan umat Islam ke majlis bukan Islam ‘harus dijadikan pengajaran’.

Mungkin kaitan dengan DAP dibuat kerana Samsuri turut merakamkan gambar dengan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook yang dimuat naik di media sosial. Bagi berlaku adil, turut kelihatan Naib Presiden PKR Chang Lih Kang serta Presiden Huazong T C Goh.

Bagaimanapun, ada juga pengikutnya bersikap rasional dengan menyatakan Samsuri perlu hadir ke majlis itu untuk berjumpa ‘lebih ramai kawan’ atau pelabur dan ahli perniagaan untuk memajukan ekonomi Terengganu.

Serangan menjelang pemilihan?

Mungkin serangan seperti itu ada kaitan dengan pemilihan parti dijangka berlangsung September depan sempena Muzakarah PAS di Kedah. Nama Samsuri sememangnya menjadi bualan untuk menduduki kedudukan tinggi dalam PAS.

Samsuri disebut-sebut calon perdana menteri daripada PAS jika ditakdirkan parti itu menang PRU bersama Perikatan Nasional (PN) atau gabungan lain. Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengiktiraf hakikat itu ketika membantu kempen PRK Kemaman dimenangi Samsuri pada Disember 2023.

Sebagai bekas setiausaha politik kepada Hadi Awang, pasti beliau individu orang paling rapat dengan Ahli Parlimen Marang itu termasuk dalam mencatur gerak kerja PAS. Jadi beliau dilihat calon berpotensi memimpin parti pada masa depan.

Namun, untuk mendaki ke tangga nombor satu dan dua PAS selepas menjadi naib presiden sejak 2019 bukan mudah. Beliau dan pemimpin lain perlu ‘disokong’ kumpulan ulama dan jika tidak, boleh terima nasib seperti Mohamad Sabu pada 2015.

Mohamad atau dikenali Mat Sabu ditunjukkan jalan keluar daripada PAS selepas pasukannya kalah teruk pada pemilihan. Beliau gagal pertahan kerusi timbalan presiden, tewas kepada Tuan Ibrahim Tuan Man daripada kelompok ulama.

Mungkin suhu pemilihan PAS kali ini tidak sepanas 10 tahun lalu. Selain itu, belum diketahui sama ada Hadi akan pertahan kedudukan sebagai presiden. Begitu juga Tuan Ibrahim.

Samsuri dan pemimpin lain masih belum buka langkah untuk bertanding kerusi apa. Mungkin kerana masih terlalu awal bagi mengumumkan pendirian memandangkan tarikh penting pemilihan belum diumumkan.

Namun, serangan dari bawah telah bermula memandangkan mesyuarat dan kawasan mula bermesyuarat. Pelbagai naratif dimainkan. Seperti contoh hantaran Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Mokhtar Senik, Sabtu lalu.

Beliau menulis: “Dalam menentukan kepimpinan parti dan jemaah ahli PAS tak perlu pandangan DAP dan orang yang mesra DAP. Sebagai sebuah parti Islam PAS masih memerlukan gandingan Hadi Awang dan Tuan Ibrahim Tuan Man. Selain mempunyai kefaqihan dalam agama keduanya mempunyai akhlak soleh yang menepati ciri-ciri kepimpinan dikehendaki oleh Islam.

“Jadi kepada sesiapa pun tak perlu bermazhabkan DAP dalam menentukan kepimpinan parti ini. Walaupun dasar parti tidak menghalang pertandingan dimana-mana posisi namun posisi presiden dan timbalan presiden masih memerlukan kedua tokoh hebat tersebut. UMS (singkatan Ustaz Mokhtar Senik)

“Tolong jangan minta saya delete (padam) posting (hantaran) ini kecuali anda dah mesra DAP.”

Siapa orang mesra DAP disebut Mokhtar itu? Siapa hendak bermazhabkan DAP? Hanya beliau boleh menjawabnya.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.