Mana hilang beras putih tempatan?

Mana hilang beras putih tempatan?

Beras putih tempatan ibarat kata P Ramlee dalam filem Musang Berjanggut, ‘jarang-jarang’ ada.

beras

Kes ini katanya belum pernah berlaku. Wujud hanya semasa kerajaan perpaduan memerintah. Ketiadaan bekalan beras putih tempatan atau singkatan BPT, dalam pasaran runcit, menimbulkan banyak persoalan.

Malah kini menjadi modal utama pembangkang membantai kerajaan baik di dalam parlimen, kedai kopi dan ceramah politik.

BPT yang berlabelkan warna ungu kini dicari-cari pengguna. Di pasaraya, di pasar mini, di kedai runcit malah di ‘hypermarket’ hampir tak nampak. Jarang-jarang ada, bak kata P Ramlee dalam filem Musang Berjanggut!

Dulu BPT katanya berlambak. Malah ada pasaraya dan kedai runcit tidak mahu menerima bekalan BPT. Banyak kes ia dipenuhi ulat beras kerana terlalu lama terperap tiada yang ingin membelinya.

Sebelum tahun 2008, harga beras tidak dikawal. Harga kedua-dua jenis beras iaitu BPT dan BPI (beras putih import) diapung mengikut harga pasaran.

Tetapi setelah berlaku krisis harga padi di tahun 2008, kerajaan ketika itu membuat intevensi pasaran dengan menetapkan harga kawalan BPT iaitu RM2.60 sekilo atau RM26.00 / 10kg. Harga BPI pula tidak jauh beza ketika itu pada harga RM30.00/10kg.

Pemborong ketika itu membuat promosi BPI sebagai beras premium dan berkualiti. Sedangkan sebenarnya tiada perbezaan dari segi tekstur, rasa dan nilai pemakanan. Penduduk tempatan ketika itu lebih mengutamakan BPI dari BPT.

Salah satu sebab utama ialah perbezaan harga yang hanya 40 sen setiap kilo atau RM4.00 untuk 10kg.

BPT ketika itu hanya menjadi pilihan peniaga nasi dan warga asing terutama 2 juta orang Bangladesh dan Nepal yang memang makan nasi dalam kuantiti yang banyak jika dibandingkan penduduk tempatan.

BPT tidak hilang di pasaran ketika itu walaupun Nisbah Sara Diri (SSR – Self Sufficient Ratio) hanyalah 38% jika dibandingkan dengan BPI di pasaran. BPT bukan pilihan pengguna isi rumah ketika itu!

Negara lebih banyak mengimport dari menanam dan mengeluarkan BPT. Paling banyak pun SSR sekitar 50% yang pernah didakwa.

Pengeluaran padi negara secara tradisinya adalah 4 musim untuk 2 tahun kecuali di Sekinchan Selangor yang telah meningkatkan ke 5 musim 2 tahun.

Itulah kedudukan keterjaminan makanan ruji rakyat Malaysia sejak dahulu. Namun, pasca-Covid19 benar-benar menguji kita!

Bila pengimport beras, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) meningkatkan harga BPI di pasaran tempatan dari RM30.00/10kg ke RM39.00/10kg pada September 2023 sebagai reaksi kepada kenaikan harga beras import dari India, Pakistan, Thailand dan Vietnam, permintaan BPT naik mendadak.

Rakyat yang biasanya menggunakan BPI kini beralih kepada BPT. Perbezaan RM13/10kg amat menekan rakyat terutama golongan B40 dan M40. SSR tetap 38% tidak berubah.

Negara tidak berkeupayaan untuk bertindak cepat untuk tingkatkan SSR BPI. Pembukaan lebih banyak bendang sawah di Sabah dan Sarawak memakan masa. Begitu juga untuk meningkatkan dari 4 kepada 5 musim tuaian setiap 2 tahun.

Natijahnya, BPT hilang di pasaran! Permintaan bertambah dua kali ganda tetapi pengeluaran dan penawaran BPT tetap ditakuk lama.

Katanya, BPT dibolot oleh peniaga nasi kerana mereka beli dengan kuantiti yang banyak dan membayar secara tunai.

Tentu peniaga suka, tiada lagi ulat beras!

Rakyat biasa yang telah berpindah dari BPI kepada BPT tidak dapat membeli BPT di pasaran runcit. Yang berlambak kini BPI, label berwarna biru (BPI) dan merah jambu (BPI Wangi).

Seorang ahli parlimen yang juga Ketua Task Force Pemantauan (Kluster Makanan) NACCOL, mendakwa kehilangan BPT dari pasaran adalah kerana wujudnya pihak yang memanipulasi dengan mencampur BPT dan BPI dalam satu kampit dan menjualnya sebagai BPI (label biru).

Kerajaan hilang punca! Pembangkang pula memaksimumkan isu ini untuk merosakkan kredibiliti kerajaan.

Dah lah jatuh, kini tangga pula menimpa. Harga kawalan BPT memberikan kesan langsung kepada pesawah. Harga kawalan yang tidak berubah sejak 16 tahun juga memberikan tekanan terhadap pesawah. Harga benih dan baja naik. Kos tenaga juga naik. Kos barang keperluan juga naik terutama sejak pandemik.

Keluh kesah itu berlaku di sebalik kerajaan menaikkan harga belian lantai padi daripada RM1,200 kepada RM1,300 per tan matrik mulai 2024. Jumlah itu dikatakan masih belum mencukupi.

Ini yang menyebabkan NGO Pesawah melakukan demonstrasi pada 27 Januari 2025 di hadapan Wisma Tani mendesak supaya harga siling padi dinaikkan dari RM1,300.00 kepada RM1,800 per tan metrik.

Desakan itu tentunya mempunyai justifikasi yang kukuh memandangkan ekonomi dunia dan Malaysia ketika ini. Kos produksi dilaporkan telah meningkat kepada RM6,700 per hektar ketika ini.

Masalah ini jadi bertambah sulit dengan arahan terbaharu dari kerajaan melarang mencampurkan BPT dan BPI. Isu beras ini apa yang pepatah inggeris kata “the straw that broke the camel’s back”, perkara yang nampak enteng tetapi memberi implikasi sangat besar dan boleh menjatuhkan Kerajaan.

Kerajaan tiada pilihan selain mengkaji punca sebenar isu ini. Solusi yang diambil bukan sahaja dapat mengembalikan keberadaan BPT di pasaran, tetapi menjadi solusi menang-menang 4 pihak iaitu rakyat, pesawah, peniaga dan kerajaan.

Apakah ayam dan diesel dapat memberi petunjuk kepada solusi yang tuntas kepada masalah BPT? Jika kerajaan berani untuk mengapungkan harga ayam dan diesel, mengapa tidak jika ia benar-benar menjadi solusi menang-menang itu?

Ahli Parlimen tersebut juga menyatakan struktur harga perlu dilihat semula. Struktur harga di semua peringkat rantaian bekalan (supply chain) termasuk harga lantai padi dari pesawah ke pengilang sampailah kepada harga runcit kepada pengguna.

Jika harga ayam dan diesel boleh stabil setelah diapungkan, kenapa tidak harga BPT bila diapungkan? Persoalannya berapakan harga apung BPT kelak?

Jika RM34.00/10kg itu dikira terlalu mendadak dibandingkan harga kawalan RM26.00/10kg, Kerajaan boleh menaikkan secara berperingkat dan memantau kesannya sehingga memperolehi harga patut sebenar.

Setelah itu, harga siling padi boleh dinaikkan seperti yang dituntut oleh pesawah tanpa Kerajaan perlu menambah subsidi sedia ada. Atau apakah dua harga yang berbeza untuk BPT dan BPI masih diperlukan?

Kerajaan membelanjakan RM2.5 bilion subsidi bagi sektor padi dan beras negara. Inilah mungkin masa yang sesuai untuk kerajaan melakukan rasionalisasi terhadap industri yang sangat dikawal selia ini, yang disubsidi dengan banyak oleh Kerajaan sedangkan industri itu dilihat paling tidak produktif di Malaysia?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.