Tingkat perbelanjaan R&D untuk jadi negara berpendapatan tinggi

Tingkat perbelanjaan R&D untuk jadi negara berpendapatan tinggi

Meningkatkan perbelanjaan untuk R&D pasti akan membantu Malaysia keluar daripada perangkap negara berpendapatan sederhana.

Apakah petunjuk penting yang meramalkan kemewahan sesebuah negara, pada pandangan anda?

Apakah ia rakyat berpendidikan? Sumber alam yang banyak? Ekonomi yang disokong oleh pekerjaan bernilai tinggi? Tadbir urus baik? Tahap jenayah dan rasuah rendah? Mata wang yang kukuh?

Semua jawapan di atas adalah betul, namun masih ada satu perkara penting yang tidak tersenarai. Malah boleh dikatakan perkara ini amat penting namun jarang dihargai sebagai petunjuk kemewahan sesebuah negara.

Perkara itu adalah tahap pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) sesebuah negara.

Melabur secara besar-besaran dalam R&D pasti akan membantu negara menembusi rintangan ekonomi dan keluar daripada perangkap negara berpendapatan sederhana yang memerangkap kita selama beberapa dekad. Namun, hal ini sering tidak dihargai memandangkan hasil pelaburan dalam R&DE sukar diukur dan hanya dapat dirasai selepas beberapa tahun berlalu.

Kita ambil Korea Selatan sebagai contoh, salah satu negara paling maju dan makmur di dunia ketika ini. Pada masa lalu keadaan ekonomi Korea Selatan tidak banyak berbeza dengan Malaysia, malah pada awal 1960-an KDNK per kapita Malaysia lebih tinggi daripada Korea Selatan (USD1,290 berbanding USD1,030).

Beberapa tahun berlalu dan Korea Selatan semakin makmur malah memintas Malaysia dengan KDNK per kapita semasa melonjak tiga kali ganda (USD34,100 berbanding USD11,700).

Mengapa terdapat perbezaan begitu ketara antara kedua-dua negara ini dari segi output ekonomi? Ada banyak teori boleh digunakan untuk mengupas persoalan ini, namun rantaian sebab dan akibat yang jelas masih perlu ditentukan.

Saya berani mengatakan salah satu sebab utama Korea Selatan boleh memintas Malaysia ialah perbezaan dalam penekanan yang diberikan pada R&D. Korea Selatan membelanjakan sekitar 4.4% daripada KDNK untuk R&D, berbanding Malaysia yang membelanjakan sebanyak 0.95%.

Sebagai perspektif, KDNK Korea Selatan sekitar 4.3 kali ganda Malaysia dan dari segi peratusan membelanjakan kira-kira 4.6 kali lebih banyak daripada KDNK, maka secara mutlak, Korea Selatan membelanjakan 19.8 kali ganda lebih banyak untuk R&D berbanding Malaysia.

Bukan Korea Selatan sahaja yang membajak sumber yang besar ke dalam R&D; negara maju lain turut melakukan perkara sama misalnya Jepun (3.95%), Amerika Syarikat (3.34%), Israel (5.56%), dan Switzerland (3.4%).

Maka tidak mengejutkan apabila negara ini menduduki tempat teratas Indeks Inovasi Global 2019.

Negara ini sedia maklum bahawa pelaburan dalam R&B bernilai tinggi sering membuahkan hasil kewangan dalam jangka masa panjang. Kajian ke atas 28 negara anggota Kesatuan Eropah mendapati banyak setiap 1% daripada KDNK dibelanjakan untuk R&D akan meningkatkan KDNK negara sehingga 2.2%.

Dari segi sejarah, dua sumber utama pembiayaan R&D ialah kerajaan dan perniagaan.

Kerajaan biasanya menyokong penyelidikan asas, yang mungkin tidak membawa kepada aplikasi komersial dengan segera tetapi penting untuk membangunkan bidang baharu dan menjana penemuan saintifik yang penting.

Contoh yang menonjol ialah membiayai projek besar oleh CERN seperti Pelanggar Hadron Besar, dan Nasa yang telah mengembangkan pengetahuan saintifik kita dengan ketara sambil mencipta nilai ekonomi yang besar melalui produk sampingan yang tidak dijangka.

Sebagai contoh, penyelidikan Nasa membawa kepada inovasi seperti GPS, penderia imej CMOS yang digunakan dalam kamera telefon, pembersih vakum nirwayar, dan penebat aerogel ringan yang terdapat dalam pakaian musim sejuk.

Sebaliknya, perniagaan pula cenderung kurang beri tumpuan kepada penyelidikan asas dan lebih kepada usaha R&D dengan potensi komersial yang jelas. Syarikat seperti Toyota, Samsung, dan Amazon banyak melabur dalam R&D dan meraih ganjaran besar.

Apabila diselaraskan dengan berkesan, gandingan penyelidikan yang dibiayai kerajaan dan inovasi oleh pihak perniagaan akan berfungsi dengan sempurna, apabila masing-masing memainkan peranan penting dan saling melengkapi.

Namun, disebabkan pelaburan yang tidak memberangsangkan dalam R&D selama beberapa dekad, Malaysia terlepas peluang untuk meraih manfaat daripada teknologi berpotensi – yang boleh meningkatkan KDNK dan memacu Malaysia ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi, seperti  dialami Korea Selatan.

Memandangkan kita kini tahu bagaimana membetulkan perkara ini, maka kita bertanggungjawab untuk bertindak.

Inilah sebabnya mengapa komen Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang baru-baru ini mengenai cadangan perundangan baharu untuk mewajibkan perbelanjaan minimum 2% daripada KDNK untuk R&D amat menarik.

Di samping itu, beliau mahu ia ditingkatkan secara beransur-ansur sehingga 3.5% menjelang 2030. Bagi saya ini sewajarnya dianggap sebagai angka minimum. Matlamat kita seharusnya meningkatkan perbelanjaan itu secara beransur-ansur kepada 5%.

Lagipun, kita sudah ketinggalan.

Dalam satu ucapan awal tahun ini, Chang berkata: “Peningkatan pelaburan dalam sektor R&D boleh membawa kepada produktiviti yang lebih tinggi, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi, dan meningkatkan nilai ekonomi negara.

“Selain itu, ia merangsang inovasi dalam sektor utama, iaitu bioteknologi, tenaga boleh diperbaharui, dan teknologi digital, yang akan membantu menangani cabaran semasa seperti keselamatan makanan dan perubahan iklim.”

Pandangan itu tepat sekali.

Penyelidikan asas sains dan teknologi merupakan tiang kemakmuran sesebuah negara. Tiang itu memastikan kita tidak ketinggalan dalam dunia digital yang dipacu kecerdasan buatan.

Kita harus berikan kepada Malaysia apa yang ia perlukan untuk mencapai potensi yang ia miliki.

 

Penulis boleh dihubungi melalui [email protected].

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.