
Tanpa ragu lagi, teknologi pintar yang dipacu kecerdasan buatan (AI) sedang mendorong transformasi dunia yang tidak pernah disaksikan sebelum ini. Dengan hanya sentuhan hujung jari, kemampuannya tiada penghujung – hampir setiap masa, tidak kira di mana.
Manfaat seperti menyediakan maklumat yang membantu, menggiatkan daya pengeluaran dan membolehkan keputusan pantas dibuat menjadikan masa depan AI penuh potensi tidak terbatas.
Berbilion-bilion peranti yang terhubung dengan Internet kebendaan (IoT), seperti telefon pintar, jam pintar, komputer, televisyen, kereta dan peranti perubatan, digunakan di seluruh dunia.
AI atasi kepintaran manusia
Yang pasti, AI menjadi pemangkin perubahan yang menginspirasi inovasi penciptaan peranti sedemikian dalam era digital ini.
Jelas sekali, AI dipacu data hadir dalam setiap aspek kehidupan seharian kita, merentasi pelbagai industri, dan akan menjadi lebih pintar dengan kemampuan mengungguli keupayaan manusia dengan mudah.
Namun, apa yang dilihat sangat memberangsangkan boleh menjadi sesuatu yang disalah guna, oleh ‘tangan dan minda’ yang menciptanya.
Perlu diingat, AI bersifat merebak. Teknologi ini akan ‘mengikut’ kita ke mana-mana dan berupaya menjejak, merekod, menyimpan dan mentafsir kata-kata kita dan data yang kita masukkan.
AI juga boleh meniru suara dan penampilan kita, dan boleh digunakan oleh sindiket tertentu bagi tujuan jenayah seperti penipuan, pencurian data, pelanggaran hak cipta dan penyebaran berita palsu.
Privasi, perlindungan dan keselamatan awam terancam
Suka atau tidak, AI yang sangat berkuasa ini berkembang pada kadar di luar jangkaan kita, menyebabkan manusia terpaksa terkejar-kejar. Ia seperti pedang bermata dua, terutamanya apabila privasi, perlindungan dan keselamatan awam menjadi taruhan.
Justeru, kawal selia penggunaan AI bukan sesuatu yang boleh diabaikan. Tadbir urus AI perlu dipeta secara menyeluruh, dari segi integriti, akauntabiliti, ketelusan dan keadilan, bagi semua pemegang taruh.
Dalam kata lain, usaha melindungi teknologi AI daripada disalah guna menjadi keutamaan tertinggi bagi banyak negara, memandangkan risiko dan bahayanya nyata.
Contoh kerangka perundangan berhubung AI termasuk Akta AI Kesatuan Eropah AI; perintah eksekutif Amerika Syarikat mengenai pembangunan dan penggunaan AI yang selamat, terjamin dan boleh dipercayai; serta kerangka tadbir urus model AI Singapura.
Dengan Malaysia menuju ke arah menjadi peneraju pusat data di Asia Tenggara, AI membawa gelombang besar merentas pelbagai industri, daripada pengkomputeran berasaskan Internet kepada perbankan, pembuatan, runcit, penjagaan kesihatan, pendidikan, pertanian, pengangkutan dan pemasaran.
AIGE imbang inovasi dengan etika
Persoalan penting di sini adalah bagaimana untuk kita pastikan pembangunan AI mampan, beretika dan bertanggungjawab dari segi sosial.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) memperkenalkan kerangka Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Negara (AIGE), sebagai garis panduan khusus bagi tiga kategori utama, iaitu pengguna dan orang awam, pembuat dasar, dan penyedia atau pembangun teknologi berasaskan AI.
Kerangka ini menekankan prinsip AI yang bertanggungjawab, termasuk AI bagi kebaikan sosial, membina keyakinan dalam AI dan pendekatan global-tempatan, selaras Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan 2021-2025.
Meskipun dikatakan sebagai langkah proaktif dalam menangani potensi bahaya AI, perundangan biasa tetap menjadi cabaran kerana penyelesaian ‘satu saiz padan semua’ mungkin tidak dapat diguna pakai dalam keadaan tertentu, memandangkan AI mempunyai kemampuan yang pelbagai.
Ini bermakna menguruskan risiko AI memerlukan koordinasi antarabangsa dalam kalangan pemegang taruh berbeza yang mempunyai pelbagai kepentingan, nilai dan persepsi.
Semua bermula dengan kepercayaan
Sistem AI perlu direka bentuk dan digunakan untuk meningkatkan keupayaan manusia, bukan menggantikannya sepenuhnya, dan semestinya, untuk digunakan secara beretika demi kebaikan sosial.
Lagipun, kepercayaan penting untuk penerimaan AI. Kerangka AIGE membantu membina keyakinan awam dengan membimbing pembuat dasar, pembangun dan pengguna dalam mewujudkan sistem AI yang telus, boleh dipertanggungjawabkan dan adil.
Dengan teknologi pintar membentuk semula cara kita bekerja, berinteraksi dan hidup, perlu diingat bahawa landskap AI yang ditadbir urus dengan baik akan menyumbang kepada masa depan lebih mampan, dengan kelebihan daya saing baharu dan peluang untuk negara kita mencapai kegemilangan pada peringkat global.
Chin Shong Chian ialah pembaca FMT.
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.