
Kenyataan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bahawa amalan seperti penggunaan tenaga tidak berhemah serta penjanaan elektrik menggunakan arang batu dan gas asli boleh menyebabkan ekonomi bergantung kepada harga sumber asli ditetapkan negara lain menjelang 2050 harus diambil perhatian.
Beliau mendedahkan penggunaan gas asli di Semenanjung untuk menjana elektrik dan sebagai bahan asas industri melebihi pengeluaran domestik. Tahun lalu, Malaysia mengimport sekitar 25% keperluan gas asli untuk Semenanjung dari negara luar.
Kadar import itu dijangka naik lagi tahun ini dan akan terus meningkat sekiranya peralihan tenaga tidak berlaku lebih cepat. Pergerakan ekonomi pasti turut terkesan kerana salah satu nadi perkembangannya dengan memastikan keberadaan dan kemampanan tenaga termasuk elektrik.
Dalam mengalihkan peralihan tenaga itu, penggunaan sumber tenaga boleh baharu (TBB) boleh menjadi kunci menjayakannya. Bagi pensyarah kanan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Amir Abdul Razak yang juga ketua kluster tenaga berpatutan dan bersih (SDG7), Malaysia mempunyai pelbagai kelebihan.
Amir berpendapat, Malaysia lokasi ideal mengembangkan penggunaan tenaga solar. Antara faktor dikemukakannya kerana negara menerima sinaran matahari berterusan antara empat hingga lapan jam sehari dengan purata 4,000 ke 5,000 unit watt per meter persegi (W/m2).
“Harga bahan api fosil yang semakin meningkat saban tahun di seluruh dunia menyebabkan kos tenaga elektrik juga naik.
“Peralihan sumber tenaga kepada tenaga solar berpotensi mengurangkan bil elektrik domestik dan perniagaan, malah menyumbang kepada kelestarian tenaga dan mesra alam,” katanya mengulas keperluan negara untuk memfokuskan kepada sumber TBB mulai kini.
Bertitik tolak dari itu, kerajaan turut membantu menyediakan alternatif pemasangan solar termasuk Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS) digerakkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air diketuai Fadillah Yusof sejak Mac lalu.
Menerusi inisiatif itu, sistem solar PV (fotovoltaik) akan dipasang di premis kediaman oleh pengguna domestik membolehkan ruang bumbung bangunan dimanfaatkan untuk penjanaan RE bawah Program Net Energy Metering (NEM).
Rebat berjumlah RM1,000/kWac hingga maksimum RM4,000 akan diberikan kepada pengguna baharu NEM Rakyat yang mengemukakan permohonan NEM kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia pada dan selepas 1 April 2024.
Langkah itu juga boleh dianggap serampang dua mata kerana bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan kepada bil elektrik tinggi, SolaRIS juga selaras komitmen Malaysia terhadap kelestarian alam sekitar dan komitmen mengurangkan sehingga 45% gas rumah hijau (GHG) menjelang 2030.
Namun, harus diakui pasti wujud persoalan dari segi kemampuan kewangan pengguna. Amir mengakui pelaburan awal tinggi diperlukan untuk membina sistem panel solar, namun jelasnya penjimatan kos dan penghasilan tenaga elektrik percuma dijana daripadanya juga perlu menjadi pertimbangan.
“Panel solar biasanya mempunyai purata jangka hayat 25 hingga 30 tahun dan dapat menghasilkan elektrik percuma selama beberapa dekad, secara tidak langsung dapat menampung pulangan balik pelaburan awal serta menyediakan penjimatan kewangan signifikan.
“Tambahan pula, insentif dan rebat kerajaan dapat meningkatkan kemampuan rakyat untuk menggunakan tenaga solar, seterusnya menjadikannya satu pelaburan jangka panjang berbaloi bagi rakyat,” kata Azmi.
Bagi mencari alternatif lain, kerajaan juga melancarkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) serta Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) yang menggariskan strategi menyeluruh dan inisiatif berimpak tinggi bagi mempercepat usaha peralihan tenaga negara.
Meski diakui komitmen tinggi kerajaan, namun Putrajaya juga perlu bersedia dengan polisi yang jelas dan telus. Ini memandangkan ada pemain industri beranggapan syarat tertentu menambah beban mereka.
Mengikut perancangan yang dibuat, secara dasarnya kerajaan sudah bersedia menjayakan peralihan tenaga bagi menghadapi cabaran masa depan serta memastikan ekonomi terus bergerak dengan mengurangkan perbelanjaan mengimport gas asli.
Namun, tambah baik perlu terus dilakukan selaras peredaran masa serta perkembangan ekonomi untuk menyesuaikan situasi semua pihak berkaitan.
Langkah itu bagi mewujudkan situasi menang-menang pada masa depan. Baik untuk negara, alam sekitar, pengguna dan pemain industri.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.