
Menjadi hab teknologi bukanlah perkara mudah. Bandar-bandar seperti San Francisco, Tel Aviv dan Singapura memang sudah sedia menjadi peneraju. Jika KL mahu berdiri sama tegak seiring mereka, dua perkara perlu dilakukan – memaut gergasi teknologi sedia ada, dan memupuk syarikat teknologi sendiri yang sama hebat.
Artikel saya sebelum ini memfokuskan bagaimana kita boleh mencontohi Ireland untuk menarik syarikat gergasi teknologi. Namun, artikel kedua yang tidak kurang pentingnya adalah mengenai bagaimana mewujudkan kisah kejayaan teknologi Malaysia sendiri.
Satu cara saja boleh memastikan perkara ini, iaitu memfokuskan terhadap segelintir industri khusus – dan ini sesuatu yang telahpun menjadi tumpuan jurubina KL20.
Perkara ini dihuraikan dengan tepat sekali oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim: “Kita meletakkan Malaysia sebagai paksi kepada peneraju dalam semikonduktor, tenaga bersih, teknologi pertanian dan teknologi kewangan Islam.
“Mengukuhkan kelebihan kita akan memanfaatkan usaha bernilai tinggi yang diperlukan untuk mencipta pertumbuhan vertikal baharu dan mengubah nasib kita.”
Ini pendekatan yang menjamin kejayaan. Bagi sebuah negara seperti Malaysia dengan ekosistem teknologi yang masih baharu, kita tidak boleh terlalu tamak dalam merebut peluang. Sebaliknya, kerajaan patut memfokuskan terhadap membangunkan dan memupuk beberapa industri terpilih yang sudah kukuh – dan antara yang paling utama adalah semikonduktor.
Semikonduktor adalah bahan penting dalam mikrocip. Bak kata penulis Chris Miller: “Mikrocip ibarat minyak era baharu”. Mikrocip dilihat dalam setiap barangan “pintar” di sekitar anda: telefon pintar, TV pintar, jam pintar, komputer riba, malah kereta baharu anda.
Malah mikrocip begitu penting hinggakan Taiwan – tempat kelahiran TSMC, pembuat semikonduktor terbesar dunia – kini menjadi pemain geopolitik penting. Kepakarannya dalam pembuatan semikonduktor begitu menjadi rebutan sehinggakan kini terperangkap dalam “permainan tarik tali” antara AS-China.
Ini mendedahkan kelemahan kritikal dalam industri pembuatan semikonduktor, iaitu betapa ia terlalu bergantung kepada Taiwan. Kini ramai menyedari pentingnya mengagihkan pengeluaran supaya dunia tidak terjejas sekiranya sesuatu berlaku kepada Taiwan.
Dan di sinilah terbuka peluang untuk Malaysia membuka pintunya. Sebagai negara berkecuali dengan keupayaan pembuatan semikonduktor yang boleh dikatakan sofistikated, hasil Intel bertapak sejak berdekad-dekad lamanya di Pulau Pinang – gergasi semikonduktor seperti TSMC dan ASML boleh saja bertapak di Malaysia.
Disebabkan itulah pengumuman Phison Electronics dari Taiwan dan diterajui anak jati Malaysia Pua Khein Seng, ketika KL20, bahawa syarikat itu akan memulakan usaha baharu di Malaysia digelar Malaysia AI Storage (MaiStorage) memang langkah pemula yang begitu baik sekali. Sebagai sebahagian daripada usaha ini, Phison akan membawa pulang 200 jurutera berpengalaman, dan pemindahan teknologi bernilai RM1 bilion.
Satu lagi aspek KL20 adalah, ia menggalakkan pendekatan tetingkap tunggal bagi menarik dan memupuk bakat serta pelaburan. Bukan sekadar menyediakan perkhidmatan sedikit demi sedikit, arkitek KL20 mengambil pendekatan holistik untuk menyemai ekosistem teknologi kita.
Bagi syarikat pemula, ini termasuk membantu mereka mewujudkan perniagaan, pembangunan perniagaan tempatan dan antarabangsa, dan permohonan visa. Untuk pemodal teroka, ini termasuk memberikan akses peluang pembiayaan daripada pelabur institusi, membantu mendapatkan ruang pejabat dalam hab pemula, pelepasan yuran visa, dan mempercepatkan kelulusan lesen untuk persediaan dana.
Kita sudah dapat melihat kembalinya sikap optimis terhadap ekosistem teknologi Malaysia, dengan lawatan Satya Nadella, CEO Microsoft, dan Jensen Huang, CEO Nvidia, baru-baru ini. Susulan lawatan-lawatan ini, Microsoft telah memberi komitmen melaburkan RM10.5 bilion untuk membangunkan ekosistem AI Malaysia, manakala usaha sama antara Nvidia-YTL yang baru dimeterai akan melihat pelaburan keseluruhan berjumlah RM20 bilion.
Inilah kesan roda tenaga yang perlu dipergunakan jurubina KL20. Modal memperoleh modal; bakat memperoleh bakat. Mengambil kesempatan daripada ini, “akal” di sebalik KL20 dapat memaut lebih banyak syarikat pemula asing serta pemodal teroka untuk terus bertapak selamanya di Malaysia.
Bukan mudah untuk melaksanakannya dari pelbagai sudut ini, tetapi sekiranya langkah-langkah ini diambil dengan semangat jitu dan bersungguh-sungguh, kita pasti berpeluang merealisasikan potensi besar Malaysia. Lagipun, kita mempunyai tanggungjawab untuk menjadikannya satu realiti, demi kita sendiri dan negara tercinta.
Penulis boleh dihubungi di [email protected].
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.