Mana lebih baik, mansuh atau tambah baik Auku?

Mana lebih baik, mansuh atau tambah baik Auku?

Kerajaan telah meminda Auku sejak 1971 dan pada masa sama masih ada suara menggesa undang-undang itu dimansuhkan.

Ada pepatah menyebut ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’ bermaksud dalam mendidik seorang anak itu harus dari kecil lagi. Perumpamaan itu mungkin turut terpakai dalam usaha melahirkan mahasiswa berkaliber memimpin negara menjadi lebih hebat pada masa depan.

Selain peruntukan RM16.3 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Belanjawan 2024, menyaksikan peningkatan 6.8%, kerajaan pada tahun ini juga telah mengorak langkah dengan membuat pindaan baharu terhadap Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 yang diluluskan Dewan Rakyat, 18 Mac lalu.

Mengikut rekod sudah tujuh kali akta itu dipinda sejak diperkenalkan pada 1971. Pindaan pada 2012 membenarkan mahasiswa menyertai kegiatan anjuran parti politik di luar kampus.

Auku turut dipinda pada 1971, 1975, 1983, 1996 dan 2009.

Kini ia hanya menunggu pula untuk diluluskan Dewan Negara sebelum dilaksanakan. Menerusi pindaan itu, penambahbaikan pada Seksyen 15A akta tersebut membenarkan majlis perwakilan pelajar dan badan pelajar memungut wang dan menerima sumbangan, tertakluk pada peraturan dan undang-undang.

Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir menjelaskan pindaan kepada seksyen itu masih tidak membenarkan pelajar atas kapasiti individu untuk terlibat dengan aktiviti pungutan wang atau penerimaan wang atau apa-apa sumbangan lain melainkan jika tindakan tersebut dibuat atas nama atau bagi pihak Majlis Perwakilan Pelajar atau mana-mana badan pelajar.

Pindaan kepada Auku itu telah menimbulkan pelbagai reaksi. Ada menyokong, malah ada juga mengharapkan ‘sesuatu yang lebih’ seperti memansuhkan terus undang-undang itu untuk memastikan universiti mendapat autonomi sepenuhnya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Putra Malaysia Arifin Abdu dalam hujah menyokongnya berkata pindaan itu mampu menggalakkan budaya berorganisasi dengan menyegarkan gerakan diterajui pelajar sendiri yang didakwa semakin lesu.

Beliau berpandangan tambah baik kepada Seksyen 15 Auku mampu meningkatkan pelajar menguruskan kewangan dan sumber dana penting.

Namun dalam tulisannya di sebuah media, Arifin menolak gesaan untuk memansuhkan Auku kerana bimbang mengganggu peruntukan akta berkenaan mengenai penubuhan dan tadbir urus sesebuah universiti.

“Sebenarnya pindaan Auku dari 2012 hingga 2019 terbukti memberi kebebasan penuh kepada mahasiswa berpolitik di dalam dan di luar kampus hingga tidak sewajarnya timbul sebarang tanggapan akta itu menyekat kebebasan pelajar hingga menjadi jumud dan pasif.

“Autonomi pilihan raya kampus diuruskan sepenuhnya oleh mahasiswa bermakna tiada lagi tuduhan anarki kepada pentadbir hal ehwal pelajar universiti mencampuri urusan politik mahasiswa,” tulisnya yang turut mempersoalkan bagaimana autonomi itu memberi kesan kepada sambutan mahasiswa menunaikan tanggungjawab mengundi.

Bagi Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) pula, pindaan itu walaupun disifatkan sebagai usaha mengorak langkah ke arah pemerkasaan autonomi pelajar namun gabungan berpendapat ada pindaan tidak berasas membabitkan Seksyen 48 (4) jadual pertama Auku- pengubahan tempoh lantikan majlis perwakilan pelajar.

Sebelum ini, menurut Seksyen 48(4), ahli MPP dan pemegang jawatannya hendaklah dipilih selama satu tahun namun pindaan itu memberi kuasa kepada ahli Lembaga untuk memanjangkan atau memendekkan tempoh MPP.

KMUM membantah kerana mendakwa pindaan itu akan membuka ruang penyalahgunaan kuasa. Sebab itu, mereka mahu seksyen sebelum ini dikekalkan. Mereka juga mahu Auku dimansuhkan.

Sebenarnya suara-suara mahu Auku dimansuhkan turut kedengaran di Dewan Rakyat ketika Ahli Parlimen membahaskan pindaan terbabit. Mereka mahu akta baharu diperkenalkan bagi menggantikannya.

Namun semua telah dijawab Zambry yang menjelaskan pemansuhan Auku boleh mengganggu perjalanan universiti awam jika diteruskan kerana membabitkan kewujudan perlembagaan baharu kepada semua universiti awam. Alasannya proses itu mengambil masa amat panjang.

“Mengambil kira semua penambahbaikan yang dibuat kepada Auku sejak 1971, kementerian berpandangan lebih realistik sekiranya Auku ditambah baik di seksyen dibangkitkan pemegang taruh iaitu mahasiswa berbanding dimansuhkan,” katanya.

Melangkah ke hadapan, ruang perlu diberi untuk menambah baik Auku pada masa depan dan meneruskan sesi libat urus dengan mahasiswa serta pentadbir universiti itu sendiri.

Ini kerana sebarang penambahbaikan tanpa mengambil pandangan mereka hanya akan menambah polemik dan perdebatan tiada penamat.

Polemik dan bantahan berterusan sebenarnya tidak begitu sihat walaupun pelajar di institut pengajian tinggi dan ahli akademik digalakkan bersuara mempertahankan pendapat. Sebaiknya satu titik tengah perlu dicari.

Begitu juga cadangan memansuhkan Auku. Biarlah pandangan semua pihak terus diraikan dan pada masa sama penjelasan kerajaan perlu dihormati. Akhirnya satu kata putus terbaik diambil untuk kepentingan negara.

Malaysia perlu bergerak dengan cendekiawan dan tenaga mahir dilahirkan dari ‘kilang’ universiti dan institut pengajian lain baik dalam bidang akademik atau kemahiran.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.