
Jumaat lalu, ada dua maklum balas dan perspektif berbeza dapat kita lihat berkait penarikan balik saman difailkan McDonald’s Malaysia terhadap BDS Malaysia iaitu gerakan menggalakkan pemboikotan terhadap kepentingan Israel.
Pemilik francais McDonald’s Malaysia Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd menyatakan keputusannya itu hasil positif proses mediasi antara kedua-dua pihak. BDS pula menyatakan, badan itu tidak terkejut dan tidak menjejaskan pendiriannya terus memboikot restoran makanan segera berkenaan.
Persoalannya wajarkah McDonald’s Malaysia terus diboikot? Bagi menjawab soalan ini, saya ingin mengupas sebuah konsep francais, iaitu lesen pemaju, terlebih dahulu.
Lesen pemaju adalah autonomi diberikan syarikat induk McDonald’s Corporation kepada syarikat-syarikat di sebuah rantau atau negara untuk membuka dan menguruskan restoran McDonald’s mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Pemegang lesen pemaju membayar royalti kepada McDonald’s Corporation di Amerika Syarikat, di mana pemegang saham terbesarnya (70.14%) adalah pemegang saham bebas.
Dalam konteks Malaysia, pemegang lesen pemaju adalah Lion Horn Pte Ltd yang beroperasi melalui anak syarikatnya, Gerbang Alaf. Manakala di Israel, McDonald’s Israel adalah di bawah kelolaan Alonyal Ltd.
Menurut laporan kewangan McDonald’s Corporation, tiada bukti atau transaksi yang menunjukkan bahawa syarikat tersebut telah menyalurkan dana ke Israel. Malah, McDonald’s Corporation mengambil sikap berkecuali dalam konflik Israel-Palestin.
Yang memberikan makanan percuma kepada tentera Zionis adalah McDonald’s Israel sendiri.
Begitu juga di Malaysia, McDonald’s Malaysia menggunakan autonominya untuk menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM1 juta kepada tabung kemanusiaan Palestin bawah Jabatan Perdana Menteri pada 17 Okt lalu.
Ini menunjukkan mereka adalah senada dengan kita (rakyat Malaysia) dalam membela nasib saudara kita di bumi Palestin.
Pada hemat saya, sebagai negara demokrasi yang matang, mungkin sudah tiba masa untuk kita mengambil pendekatan lebih praktikal dalam sesuatu perkara.
Kempen untuk “mengambinghitamkan” McDonald’s Malaysia berpotensi menyebabkan lebih 20,000 pekerja golongan B40 kehilangan pekerjaan.
Walaupun ada hujah menyatakan jika rakyat tidak berbelanja di McDonald’s Malaysia, mereka boleh berbelanja di syarikat B atau C, namun adakah syarikat itu mampu menyediakan persekitaran kondusif bagi pekerja yang mungkin kehilangan pekerjaan?.
Berapa lama pula pekerja yang terjejas akan menganggur sebelum mendapatkan pekerjaan baharu, terutama ketika ekonomi negara dalam proses dipulihkan.
Bukan itu sahaja, dalam rantaian bekalan syarikat multinasional disokong syarikat kecil tempatan seperti kilang roti juga terjejas. Penutupan McDonald’s dijangka memberi dampak besar kepada kesinambungan pengusaha kecil di dalamnya.
Sikap ahli politik yang terus berdiam diri dan enggan memberi pencerahan kepada rakyat juga amat mengecewakan. Bukankah 20,000 pekerja McDonald’s Malaysia dan mereka yang terlibat dalam ekosistem rantaian bekalan ini juga merupakan pengundi kamu?
Jika bukan kamu, siapa lagi yang akan membela nasib mereka?
Wajar kita menepuk dada bertanya, perlukah kita terus memboikot McDonald’s Malaysia selepas mempertimbangkan struktur francais di atas?
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.