Mendalamkan makna ‘agenda Bumiputera sebagai agenda nasional’

Mendalamkan makna ‘agenda Bumiputera sebagai agenda nasional’

Hakikatnya KEB 2024 sudah mencetuskan polarisasi: kebanyakan Bumiputera menyokong agenda di sebalik acara ini, manakala bukan Bumiputera mempersoalkan keperluannya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan “agenda Bumiputera sebagai agenda nasional” menjelang Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 dianjurkan Kementerian Ekonomi bersama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah pada 29 Feb hingga 2 Mac ini.

Pengumuman “agenda Bumiputera sebagai agenda nasional” bertujuan menyatukan sentimen umum sambil berhujah manfaat dasar Bumiputera akan melimpah kepada bukan Bumiputera. Di sebalik ungkapan ini adalah hasrat supaya dasar Bumiputera dipersetujui semua lapisan masyarakat.

Namun, pendekatan kepada perkara ini wajar difikirkan semula, seiring azam Ekonomi Madani bagi memastikan pembangunan modal insan serta menjamin kesaksamaan peluang kepada rakyat jelata.

Hakikatnya, KEB 2024 sudah mencetuskan polarisasi: kebanyakan Bumiputera menyokong agenda di sebalik acara ini, manakala bukan Bumiputera mempersoalkan keperluannya.

Reaksi seperti ini amat beremosi dan kerap dihangatkan ahli politik, tetapi ia juga berpunca daripada kehidupan seharian orang biasa yang harus diiktiraf. Sebahagian besar golongan Bumiputera pernah menerima manfaat atau menyaksikan penerimaan manfaat sistem ini, terutamanya dari segi akses kepada pengajian tinggi, biasiswa dan bantuan kewangan serta pinjaman perniagaan mikro dan kecil.

Sebaliknya, ramai bukan Bumiputera merasakan mereka tidak diberi layanan sama rata atau dikecualikan daripada peluang yang dinikmati golongan Bumiputera.

Perkara yang rumit dan sensitif ini memerlukan perspektif baharu. Saya menyeru tiga aspek difikirkan semula demi mendalamkan makna “agenda Bumiputera sebagai agenda nasional” dan memupuk persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pertama: mengenal pasti tujuan, kaedah dan bidang “agenda Bumiputera” (dasar berasaskan kumpulan secara am) dengan lebih menyeluruh dan sistematik, dan memupuk kesedaran bahawa dasar sama yang menyasarkan kumpulan etnik lain, wanita serta orang kurang upaya (OKU).

Dalam konteks Malaysia, dasar Bumiputera wujud di bawah naungan dasar tindakan afirmatif yang bertujuan meluaskan penyertaan dan menjana keupayaan sesuatu kumpulan disasarkan, yang secara amnya kurang bernasib baik. Dalam konteks global, pelbagai negara memberi layanan istimewa kepada ahli kumpulan ini demi menambah penyertaan mereka dalam sektor di mana penyertaan mereka masih berkurangan. Kumpulan sasaran dasar tindakan afirmatif berbeza antara negara – ada yang memihak kepada kumpulan etnik, kawasan, kasta atau jantina – tetapi secara konsisten, ia dilaksanakan dalam sektor pendidikan tinggi, keusahawanan, pekerjaan profesional dan pengurusan serta pemilikan harta.

Di Malaysia, dasar ini kebanyakannya memanfaatkan Bumiputera, tetapi ada juga yang menyasarkan masyarakat Orang Asli dan India, juga wanita dan OKU melalui program kemasukan pengajian tinggi, biasiswa, pinjaman perniagaan kecil, jaminan kredit dan sebagainya. Selagi kita merangka dasar ini hanya dari segi program pro-Bumiputera, polarisasi akan berterusan dan perspektif kita juga akan terlalu sempit and serong kerana mengabaikan pelbagai program yang memanfaatkan kaum minoriti, wanita dan OKU.

Melangkah ke hadapan, usaha kita lebih baik dilaburkan dalam melaksanakan seluruh dasar ini dengan lebih jelas dan bersepadu, dan secara bertolak ansur antara semua kumpulan.

Kedua: mengambil kira kepentingan semua kaum dan pihak, terutama golongan bawahan sambil mempertingkatkan kesaksamaan dan keberkesanan.

Pengkritik agenda Bumiputera kadangkala ditegur supaya tidak mengadu kepentingan mereka diketepikan, sedangkan kemaraan Bumiputera akan turut memanfaatkan mereka. Tambahan, peluang di sektor swasta sentiasa ada. Hujah ini separuh benar. Secara amnya, institusi pengajian tinggi swasta dan pasaran swasta memberi peluang kepada semua, termasuk bukan Bumiputera. Akan tetapi, kewujudan peluang di sektor swasta tidak menggantikan kekurangan peluang di sektor awam disebabkan kuota etnik atau pengecualian daripada program Bumiputera sahaja. Tambahan, kos pendidikan tinggi swasta jauh lebih tinggi berbanding institusi awam; ramai bukan Bumiputera tidak mampu menanggung beban kewangan ini.

Peningkatan dalam kesaksamaan bermula dengan mengamalkan sikap lebih bersimpati terhadap cabaran sosioekonomi yang dihadapi bukan Bumiputera. Pengakuan ini seharusnya mendorong dialog dasar yang lebih telus dan objektif. Keutamaan harus juga diberi kepada golongan bawahan Bumiputera – terutamanya dalam pengajian tinggi – sambil meneroka ruang untuk memberi layanan istimewa kepada isi rumah kurang berkemampuan tanpa mengira kaum, misalnya dalam program biasiswa atau kemasukan institusi pengajian tinggi awam.

Usaha mempertingkatkan kesaksamaan dan keberkesanan berbeza dari sektor ke sektor; aplikasinya perlu disesuaikan dengan konteks. Dalam kemasukan ke program pengajian tinggi, meritokrasi boleh diamalkan seiring dengan menyasarkan kumpulan etnik dan juga pertimbangan berasaskan keadaan sosioekonomi. Dalam program keusahawanan, peruntukan peluang istimewa mesti menekankan kebolehan, disusuli bantuan dan pemantauan yang menekankan produktiviti, inovasi dan daya saing.

Ketiga: elak jalan buntu di mana pihak ingin memansuhkan “agenda Bumiputera” berlawan dengan mereka yang menegaskan penerusannya. Gubal agenda nasional yang merangkumi Bumiputera dan semua kumpulan disasarkan.

Dasar yang menyasarkan Bumiputera berkembang meluas di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) sejak 1971. Perdebatan mengenai agenda Bumiputera sudah terlalu lama terperangkap dalam putaran ganas yang menghakis kepercayaan antara kaum, serta sering bermula dengan penegasan bahawa DEB, yang secara rasmi dilaksanakan dari 1971 hingga 1990, sepatutnya ditamatkan sepenuhnya pada 1990. Sebenarnya, DEB pada asalnya bermatlamat menjadikan Bumiputera “rakan kongsi penuh dalam ekonomi negara”, tetapi tidak menetapkan 1990 sebagai tarikh tamat yang kukuh; 1990 dirangka sebagai suatu masa untuk mempertimbangkan penerusan dasar ini.

Sememangnya, jurang besar antara Bumiputera dan bukan Bumiputera yang wujud di permulaan DEB tidak mampu dirapatkan dalam tempoh 20 tahun sahaja. Tambahan, DEB tidak menjelma sepenuhnya pada 1971, tetapi berkembang secara beransur-ansur, dan sepanjang perjalanan itu, ada pelbagai program baru diperkenalkan, diubah suai dan juga dihentikan.

Sistem ini meluas dan dinamik, serta dikelolakan oleh sasaran dan tempoh masa berlainan mengikut sektor dan bidang. Pada dekad lepas, program menyasarkan kaum India, Orang Asli, wanita dan OKU diperkenalkan, walaupun masih kecil, ia sudah diarusperdanakan dan diterima secara umum. Dengan mempertimbangkan realiti ini, lebih berguna dan bernas jika kita menggembleng usaha demi membentuk sebuah agenda nasional yang memelihara kepentingan semua kumpulan.

Mampukah Malaysia melaksanakan agenda Bumiputera sebagai agenda nasional? Rencana ini mencadangkan pemikiran semula yang: (1) merangka dasar berasaskan kumpulan yang bertujuan meluaskan penyertaan dan menjana keupayaan, (2) mengambil kira kepentingan semua pihak sambil mengutamakan kesaksamaan dan keberkesanan, (3) menggubal secara sistematik dasar memperkasa Bumiputera serta kumpulan lain.

KEB 2024 bawah naungan Ekonomi Madani berpeluang melakar hala tuju baru yang jelas, mantap dan progresif.

 

Lee Hwok Aun ialah felo penyelidik kanan Institut Pengajian Asia Tenggara Yusof Ishak (ISEAS).

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.