Raja-raja Melayu pelindung kita

Raja-raja Melayu pelindung kita

Tidak tepat untuk mentafsir perlembagaan dalam bentuk yang mengurangkan peranan raja-raja kepada semata-mata pak turut bagi tindakan dan nasihat eksekutif.

Dari Hamid Sultan Abu Backer

Secara peribadinya, hakikat bahawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan menjadi Yang di-Pertuan Agong seterusnya mencetuskan ilham bagi saya.

Kisah hidup saya di Johor bermula pada 1960, ketika saya berusia lima tahun.

Bapa saya, seorang India Muslim, ketika itu mengendalikan Restoran Islamic Capitol yang popular di Jalan Meldrum, Johor Bahru, ketika itu penuh dengan ahli perniagaan Cina dan India.

Beliau memulakan perniagaannya di sebuah kedai di Jalan Segget pada awal 1920an, berkongsi dengan penyewa utama, sebuah kedai kopi Cina. Hubungan mereka begitu mesra sehinggakan apabila anak tauke kedai kopi Cina itu menjadi peguam dan mahu memulakan firmanya di premis tersebut, bapa saya sanggup berpindah.

Pada masa itu, kedua-dua pengusaha menjalankan perniagaan dengan penuh harmoni bawah pemantauan istana, yang terletak tidak jauh daripada kedai mereka.

Pada zaman ini, mungkin tidak terbayang pengusaha Cina dan Muslim yang menjual makanan tradisi mereka di kedai yang sama turut tinggal di tingkat atas kedai tersebut, tetapi begitulah keadaannya pada zaman itu.

Datuk saya, seorang India Muslim dari Thopputhurai di Tamil Nadu, India, sudah berada di Johor sebelum Perang Dunia I. Beliau bekerja dengan keluarga diraja Muar dan Batu Pahat, pekan-pekan yang turut menyaksikan kaum Cina dan India makmur bawah pemerintahan Sultan Johor.

Pada zaman kanak-kanak saya, bukan sesuatu yang asing melihat kerabat diraja Johor, pegawai tentera negeri dan ahli politik kerap berkunjung ke kedai bapa saya.

Malah, pada suatu hari, ketika saya cuba-cuba membantu menyediakan pelbagai hidangan mi, Sultan muncul. Setiausahanya memesan hidangan “mi sayur”, dan bapa saya tergesa-gesa melayan mereka. Sultan bagaimanapun memberikan isyarat agar bapa saya membenarkan saya terus “membantu”.

Juga menjadi rutin melihat Sultan, tanpa pengiring keselamatan, mengunjungi akuarium yang terletak bertentangan dengan kedai tempat bapa saya meniaga. Rakyat yang berada di sekeliling menjaga jarak mereka sebagai tanda hormat. Terdetik pada fikiran saya, Sultan kelihatan agak selesa dalam kalangan rakyatnya.

Sultan begitu sederhana dan mesra rakyat, dan sebagai balasan, rakyat sangat hormat dan taat pada baginda.

Saya turut saksikan beberapa ahli politik, mesra dipanggil “Cikgu” pada masa itu, membawa borang dan dokumen untuk memberi taklimat dan membantu orang ramai memohon kerakyatan. Saya masih terlalu muda ketika itu untuk faham perkara ini, tetapi saya ingat bapa saya menyakinkan pemohon kerakyatan bahawa Raja-raja Melayu akan sentiasa melindungi dan menjaga keselamatan kami.

Jika bukan kerana raja-raja bersetuju melepaskan beberapa hak mereka dalam mentadbir negara, selain mengurniakan kerakyatan kepada penduduk, ramai antara kita akan terpinggir dalam persekitaran yang tidak mesra.

Perkara yang sering diulang-ulang bapa saya, bahawa Raja-raja Melayu akan melindungi kami, terpahat pada minda saya. Perkara ini lama-kelamaan menjadi asas kepada beberapa penghakiman di mana saya menerangkan tentang ketuanan raja-raja, yang saya anggap sebagai tonggak kerajaan yang keempat.

Berdasarkan analisis saya terhadap Perlembagaan Persekutuan, saya mencapai kesimpulan bahawa bapa pengasas kita hanya memberi tiga tonggak tradisi – legislatif, eksekutif dan kehakiman – “lesen” untuk mentadbir negara.

Kata putus, seperti yang saya fahami, kekal dengan raja-raja.

Atas sebab ini, saya percaya tidak tepat untuk mentafsir perlembagaan dalam bentuk yang mengurangkan peranan raja-raja kepada sekadar pak turut bagi tindakan dan nasihat eksekutif.

Malah, terdapat banyak peruntukan yang menyatakan sebaliknya, memberi raja-raja peranan positif dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.

Sebagai contoh, walaupun Perkara 40(1) menghendaki Agong bertindak atas nasihat Jemaah Menteri atau wakilnya, baginda tidak diwajibkan bertindak serta-merta, dan berhak meminta maklumat tambahan.

Perkara 40(2) memberikan hak budi bicara mutlak kepada Agong dalam hal-hal seperti pelantikan perdana menteri, antara lainnya.

Perkara 38 memberikan kuasa yang luas kepada Majlis Raja-Raja dalam beberapa aspek penting pentadbiran negara.

Dalam perkara jenayah, kuasa pengampunan dan keputusan akhir mengenai hukuman terletak sepenuhnya pada raja-raja.

Seterusnya, Perkara 181 mengekalkan kuasa prerogatif raja-raja. Mengikut pertimbangan saya, kuasa ini boleh digunakan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang sekiranya ia dilanggar oleh mana-mana tiga tonggak kerajaan.

Tentera dan kunci Parlimen juga diletakkan bawah raja-raja.

Akhirnya, kuasa mutlak untuk mengisytiharkan darurat seperti dalam Perkara 150 menjadi ciri ketuanan raja-raja Melayu.

Selama bertahun-tahun saya perhatikan bahawa tiga tonggak tradisi kerajaan tidak bertindak menuruti sumpah jawatan mereka, yang menghendaki mereka memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Kegagalan ini membolehkan rasuah dan amalan korup berleluasa, meremeh-remehkan keadilan sosial dan kedaulatan undang-undang, selain mengakibatkan doktrin pengasingan kuasa sekadar mitos di negara ini.

Pada pandangan saya, rasuah endemik seperti itu, salah laku ahli politik yang direka untuk meruntuhkan perpaduan, mencetuskan perpecahan dan kebencian, serta penyalahgunaan retorik perkauman dan agama secara liberal demi kepentingan politik boleh memberikan hak kepada raja-raja untuk mengeluarkan perisytiharan darurat.

Bagi saya, raja-raja Melayu, menerusi Agong, mempunyai kuasa secara perlembagaan untuk terlibat dalam pentadbiran negara apabila perlu. Hujah sebaliknya oleh ahli perundangan dan pakar perlembagaan adalah tidak mampan dalam rangka perlembagaan kita.

Atas sebab itu, saya mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa beliau bersedia mempertimbangkan pandangan dan cadangan Agong seterusnya.

 

Penulis adalah hakim yang telah bersara.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.