
Tidak beberapa lama dulu terdapat cadangan untuk melanjutkan lagi had usia persaraan dalam negara daripada 60 tahun seperti yang ditetapkan ketika ini. Cadangan yang dikemukakan ini perlu mendapat pertimbangan teliti dan mendalam daripada kerajaan serta pihak berkepentingan dalam negara sebelum sebarang keputusan muktamad diambil.
Untuk rekod, had usia bersara di Malaysia sudah mengalami tiga kali perubahan dalam tempoh 20 tahun lalu. Bermula 2001 apabila umur bersara penjawat awam dilanjutkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun dan kemudian pada 2008, dilanjutkan daripada 56 tahun kepada 58 tahun. Perubahan sekali lagi disaksikan pada 2012 apabila had usia persaraan dilanjutkan daripada 58 tahun kepada 60 tahun. Kini terdapat beberapa pihak yang ingin mencadangkan supaya had usia persaraan ini dinaikkan sekali lagi.
Cadangan diberikan ini adalah berdasarkan beberapa faktor dan perkembangan semasa yang sedang berlaku dalam negara kita serta luar negara seperti ekonomi dan keadaan kewangan semasa negara. Faktor jangka hayat dan usia penduduk Malaysia yang dilihat semakin meningkat dari tahun ke tahun juga sering digunakan sebagai alasan untuk menaikkan had usia bersara ini. Terdapat juga faktor keutamaan yang perlu diberikan terhadap sesetengah sektor kritikal pekerjaan tertentu yang melibatkan penggunaan pekerja mahir yang memerlukan pengekalan seseorang pekerja selama yang mungkin.
Faktor perbandingan terhadap beberapa negara lain yang mengambil langkah melanjutkan usia persaraan wajib di negara masing-masing seperti dilakukan Perancis baru–baru ini juga sering menjadi pertimbangan. Walaupun semua faktor dinyatakan ini dilihat relevan dengan cadangan dikemukakan, namun secara realistiknya cadangan untuk menaikkan had usia bersara ini mungkin akan mengakibatkan timbulnya kesan atau impak negatif lain terutama terhadap pekerja yang terlibat serta masyarakat secara keseluruhannya.
Walaupun kadar usia penduduk Malaysia dilihat meningkat dari tahun ke tahun, faktor kesihatan pekerja juga perlu diberi tumpuan. Tidak dapat dinafikan, secara fitrahnya, makin bertambah usia seseorang manusia itu, maka makin kuranglah tahap tenaga atau kualiti kesihatan mereka. Jika tahap tenaga dan faktor kesihatan seseorang pekerja terjejas akibat peningkatan usia mereka, ini boleh menjejaskan kualiti kerja yang ingin dihasilkan kelak. Jika ini dibiarkan berlaku, ia sudah pasti akan menjejaskan kualiti perkhidmatan yang ingin diberikan kepada masyarakat sekeliling. Dengan penambahan had usia persaraan, ia juga akan menyebabkan ruang dan peluang baru pekerjaan terutama di sektor perkhidmatan awam menjadi semakin mengecil serta sukar untuk diceburi oleh generasi muda yang memerlukan pekerjaan.
Secara tidak langsung, ia juga akan meningkatkan kadar pengangguran dalam negara kita untuk tempoh jangka masa panjang khususnya dalam kalangan generasi muda. Sekiranya dibiarkan berlaku juga, ramai generasi muda akan mula tawar hati dan berhijrah ke negara lain untuk mendapatkan pekerjaan. Sekiranya kalangan generasi muda yang berhijrah ke luar negara ini memiliki tahap kebijaksanaan dan kemahiran tinggi, maka negara kita alami masalah “brain drain” yang serius. Ini sekali gus akan merugikan negara. Negara kita akan hadapi masalah kehilangan dan kekurangan pekerja tempatan yang muda, bijak, bertenaga dan berkemahiran.
Akhirnya negara kita akan mula bergantung sepenuhnya kepada pekerja asing dan pekerja tua tempatan yang kurang tenaga serta kurang daya inovasi dan kreativiti. Namun, kerajaan boleh mempertimbangkan langkah untuk naikkan had usia persaraan untuk sektor tertentu yang dilihat sebagai kritikal serta memerlukan langkah kenaikan had usia persaraan tanpa melibatkan semua jenis pekerjaan yang ada dalam sektor pekerjaan dalam negara. Apapun langkah ingin diambil, adalah diharapkan cadangan dikemukakan untuk menaikkan had usia persaraan diteliti lebih terperinci dan mendalam dengan mengambil kira pendapat semua pihak berkaitan isu berkenaan.
Perlu diketahui juga, rata-rata pekerja khususnya pekerja kelas bawahan memang ingin bersara awal kerana tidak tahan lagi melayan kerenah pihak majikan dan atasan mereka yang kurang profesional, tidak tahan lagi memenuhi segala sasaran kerja tahunan atau KPI yang tidak realistik, tidak tahan lagi dengan jumlah gaji dan elaun bulanan yang kecil dan tidak sesuai dengan keadaan kos sara hidup yang meningkat pada masa kini di samping masalah kesihatan dialami mereka akibat peningkatan usia.
Yang dilihat ingin sangat bekerja lama sampai usia 100 tahun dan lebih selalunya adalah kalangan pihak atasan. Oleh itu, kajian teliti perlu dilakukan dengan mengambil kira pendapat semua pihak khususnya dalam kalangan pihak pekerja bawahan dan bukan hanya pandangan pihak atasan yang ingin berada di puncak kuasa dan bekerja selama-lamanya. Isu had usia bersara adalah satu isu amat sensitif.
Kerajaan perlu mengambil iktibar daripada apa yang sedang berlaku di Perancis yang menaikkan had usia bersara pekerja mereka daripada 62 tahun kepada 64 tahun baru-baru ini. Tindakan dilakukan kerajaan Perancis secara terburu–buru ini akhirnya menyebabkan ramai rakyat mereka bangkit merusuh di jalan raya.
Muzaffar Syah Mallow adalah pensyarah kanan Universiti Sains Islam Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.