Risiko besar mewarisi kerajaan di saat getir

Risiko besar mewarisi kerajaan di saat getir

Kerajaan baharu harus membuat manifesto baharu atau menggabungkan hala tuju yang terbaik dan praktikal khusus untuk memulihkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Mengambil alih sebuah syarikat memang nampak mudah tetapi risikonya besar jika tidak berhati-hati. ‘Due-diligence’ atau ketelitian wajar harus dilakukan sebelum pengambilalihan atau ‘membeli’ sesebuah syarikat. Ini bagi memastikan liabiliti seperti isu undang-undang, hutang, saman, dan sebagainya tidak diwarisi.

Lebih mencabar apabila mengambil alih sebuah kerajaan selepas pilihan raya. Due diligence tidak terpakai. Kemenangan pilihan raya datang satu pakej dengan ‘beban’ yang ditinggalkan pentadbiran yang lalu. Bak kata orang putih, “lock, stock, and barrel”. Baik, buruk, polisi yang sedang berjalan, kepincangan, imej yang baik dan yang buruk datang bersama kuasa pemerintahan.

Lebih parah bila mewarisi kerajaan di saat getir seperti sekarang ini. Inflasi menggila, ekonomi tidak menentu, nilai pertukaran asing merudum, harga barang dan bahan mentah mencanak terutama yang diimport dan kesatuan bangsa Malaysia yang caca-marba dan goyah akibat isu perkauman dan agama yang dimainkan.

Semua harus move on demi negara. Yang bersetuju mendaulatkan titah Yang di-Pertuan Agong bergabung menyelamatkan negara dari Parlimen tergantung mesti mengambil sikap buang yang keruh ambil yang jernih. Jangan sampai rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Mahu tidak mahu, parti-parti yang berperang semasa pilihan raya terpaksa menelan apa jua peluru-peluru, selaran, dan serangan toksik yang dilemparkan antara satu sama lain. Tidak guna mengungkit-ungkit kisah lama.

Pembangkang yang menolak titah Agong untuk wujudkan kerajaan perpaduan juga tidak terkecuali. Negara perlukan pembangkang yang bertanggungjawab bagi melakukan semak imbang. Berhenti menggambarkan komplot dan konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan di dalam mahupun di luar Parlimen kerana itu akan mengganggu pemulihan ekonomi. Tiada pelaburan akan masuk jika politik dan negara tidak stabil.

Oleh kerana tiada satu parti yang menang dan memerintah secara bersendirian, maka manifesto parti atau gabungan tertentu yang dijaja semasa pilihan raya sudah tidak terpakai. Kerajaan baharu harus membuat manifesto baharu atau menggabungkan hala tuju yang terbaik dan praktikal khusus untuk memulihkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Pembangkang tidak sepatutnya mengungkit-mengungkit manifesto kempen PRU15. Apa lagi memainkan semula manifesto dari PRU13 dan PRU14 dalam bentuk poster, video, dan TikTok. Amat tidak matang!

Cabaran terlalu banyak, sebahagian besar faktor luaran. Malaysia negara perdagangan. Negara mengimport kira-kira RM55 bilion setahun untuk bahan makanan. Ayam daging dan ayam telur kita ternak, tetapi benih ayam, makanan ayam, dan vitamin serta ubat-ubatan semua diimport.

Pengalaman terputusnya bekalan ayam selama sebulan dan telur ayam gred A, B dan C selama enam bulan yang didakwa akibat penyaluran subsidi yang tidak cekap kepada penternak oleh pentadbiran terdahulu harus menjadi pengajaran seumur hidup. Rakyat tidak patut menjadi mangsa ketidakcekapan pemerintah dan mangsa kerakusan peniaga.

Inflasi, harga barang dan sekuriti makanan tentunya menjadi cabaran-cabaran yang mesti dirungkai oleh Kerajaan baharu ini. Ini pastinya tidak boleh dilaksanakan dalam masa setahun dua, waima 100 hari. Perkara yang sama turut melanda seluruh dunia.

Hutang negara RM1.5 trilion ‘kebobrokan’ yang yang perlu diselesaikan. Ini termasuk hutang 1MDB. Jangan sampai cucu cicit menyumpah datuk nenek kerana hutang yang diwarisi tidak lunas sampai ke tua.

Kerajaan baharu juga mesti kreatif dan inovatif dalam menjana sumber pendapatan baru untuk negara. Angsa-angsa yang mengeluarkan telur emas tidak harus diperah hingga mati yang merugikan negara akhirnya.

Kerajaan tidak harus malu untuk memperkenalkan semula sistem cukai GST tetapi mungkin dengan kadar bawah 6%, tidak seperti pertama kali dilaksanakan dahulu.

Persetankan komentar dan sindiran. Lebih 80% negara-negara di seluruh dunia menggunakan GST. Tidak salah menggunakan world best practices. Telan yang tersasul dulu. Lagipun GST dilaksanakan oleh pentadbiran BN yang sekarang merupakan salah satu anggota pemerintah baharu. Timbalan menteri kewangan sekarang juga yang sama pada masa itu. No hal-lah!

Kalau diamati, banyak lagi yang masih tertunggak peninggalan dari pentadbiran terdahulu. Pengeluar gula pasir tempatan telah meminta pemerintah ketika itu untuk menaikkan harga kawalan gula sebanyak RM0.20 pada Mei 2021, RM0.40/kg (Februari 2022) dan RM0.70/kg (Mei 2022). Harga gula kawalan sedia ada ditetapkan pada 2018 dan sejak itu tidak berubah walaupun harga gula mentah telah meningkat lebih dari 100%.

Kegagalan melihat semula harga kawalan gula boleh menyebabkan kedua-dua pengeluar tempatan itu akan gulung tikar dan bekalan gula akan terjejas.

Tarif elektrik satu lagi perkara yang tertunggak tinggalan pentadbiran terdahulu. TNB cuba beberapa kali semasa kerajaan terdahulu untuk menaikkan tarif tetapi ditolak. Walaupun demikian, kenaikan tarif dikira kurang mendesak kerana keuntungan yang diumumkan TNB baru-baru ini masih dalam lingkungan RM1 bilion.

Harga petrol RON95, diesel bersubsidi, minyak masak polibeg bersubsidi, gas cecair LPG, beras, dan tepung gandum kegunaan am sebahagian barangan asas yang harga kawalannya perlu dilihat semula kerana kos pengeluaran dan pengedaran yang telah meningkat.

Sebahagian harga kawalan yang ditetapkan ditampung subsidi dari kerajaan seperti RON95, diesel, minyak masak, LPG, ayam dan telur. Penyaluran subsidi perlu dirasionalisasikan semula agar yang layak sahaja yang menerimanya bagi mengatasi masalah ketirisan.

Begitu juga dengan barang-barang keperluan lain seperti makanan laut, sayur-sayuran, barang-barang keperluan rumah serta makanan bermasak di gerai makanan dan restoran.

Apakah pentadbiran baharu memiliki ‘political will’ untuk membetulkan kepincangan ini melalui subsidi bersasar? Jika salah langkah, kerajaan boleh tumbang!

Too much on plate tetapi perlu dipertimbangkan. Perlu diutamakan dan distrategikan agar tepung tidak berselerak ketika rambut ditarik. Kementerian Ekonomi katanya sedang meneliti semua perkara tersebut dan mesti melibatkan semua kementerian yang terbabit.

Landskap politik telah berubah. Rakyat telah membuat pilihan. Tiada satu parti atau gabungan yang boleh membentuk kerajaan secara bersendirian. Kebetulannya, semua parti politik pernah menjadi kerajaan.

Rakyat sedang memerhati dan tentunya telah matang untuk menilai mana yang intan dan mana yang kaca.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.