
Adakah penggunaan buku teks masih relevan pada abad ke-21? Atau adakah kita perlu beralih kepada kaedah yang lebih interaktif?
Ya.
Buku teks digital harus menggantikan buku teks yang bercetak dengan aksara dan ilustrasi yang kaku. Ini kerana, penggunaan buku teks elektronik dapat menjimatkan belanja kerajaan sehingga 70% berbanding kos penyediaan buku teks sekolah seluruh Malaysia. Penjimatan berlaku kerana kos pencetakan (kertas dan dakwat) dan kos-kos lain yang tidak lagi terlibat.
Selain itu, penggunaan buku teks digital juga dapat mengatasi masalah beg berat yang dialami pelajar. Isu ini sangat membimbangkan ibu bapa pelajar dan pakar-pakar kesihatan kerana ia boleh mendatangkan mudarat kepada pelajar dalam masa jangka masa panjang.
Tambahan pula, penggunaan buku teks elektronik lebih ringan dan mudah disimpan. Buku teks digital yang paling sesuai digunakan ialah buku teks berformat E-Pub.
Ia merupakan format buku yang lebih ringan dan diterima di semua jenis peranti. Jika ingin membandingkan E-Pub dan format PDF, ia lebih ringan sebanyak 10 kali ganda.
Pelajar yang berada di alam persekolahan sekarang merupakan golongan ‘Digital Natives’ iaitu golongan yang membesar dengan teknologi seperti komputer, internet, Google, media sosial dan YouTube.
Apa kata gunakan kelebihan pelajar itu untuk melakukan peralihan daripada buku teks ke buku teks digital. Kita perlu menggunakan semua peluang yang ada untuk masa depan anak-anak yang merupakan pemimpin yang akan menggantikan pemimpin sekarang supaya negara akan beralih kepada negara lebih maju.
Kesimpulannya, pembelajaran perlulah selaras dengan era teknologi. Kita haruslah memanfaatkan segala teknologi. Jika dilihat semula, kita sangatlah bergantung pada buku teks dan buku kerja untuk mencari maklumat di zaman ketiadaan teknologi seperti internet.
Namun kini, kita boleh mencari maklumat hanya dengan menggunakan internet. Buku teks bukanlah bahan rujukan utama pada masa kini.
Muhammad Irfan Aiman adalah pembaca FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.