
Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China (PKC) berlangsung di Beijing dari 16 hingga 22 Okt.
Pada kongres itu, Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat PKC Xi Jinping membentangkan laporan penting yang merumuskan tugasan PKC sepanjang lima tahun lalu serta perubahan signifikan yang dialami China dalam era baharu sejak sedekad lalu.
Laporan itu turut merangka tindak bagi memacu kebangkitan bangsa secara menyeluruh menerusi modenisasi ala China, sekali gus memaparkan komitmen China untuk memberikan sumbangan lebih besar kepada keamanan dan pembangunan manusia.
Harungi onak ranjau, mara ke depan
Sejak sosialisme bercirikan China memasuki era baharu, PKC mengetuai rakyat berjuang sehati sejiwa hingga melakar pencapaian cemerlang yang tercatat dalam lipatan sejarah.
Masalah kemiskinan mutlak diselesaikan secara tuntas, membolehkan 832 kaunti miskin dan hampir 100 juta penduduk miskin keluar daripada belenggu kemiskinan. Pencapaian ini menandakan kemenangan perjuangan membasmi kemiskinan yang berskala paling besar dalam sejarah.
Lonjakan besar direalisasikan dalam pembangunan ekonomi apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat daripada 54 trilion yuan (RM35.3 trilion) kepada 114 trilion yuan (RM74.5 trilion), menyumbang 18.5% keseluruhan ekonomi dunia. KDNK per kapita pula meningkat daripada 39,800 yuan (RM26,032) kepada 81,000 yuan (RM52,980).
Landskap keterbukaan terus diperdalam dan diperluas, menyaksikan China muncul sebagai rakan dagang utama bagi lebih 140 negara dan wilayah. Selain terdepan dari segi nilai perdagangan barangan, China juga menduduki tempat teratas dalam menarik pelaburan asing dan menanam modal di luar negara.
China turut berjaya mewujudkan masyarakat makmur sederhana secara menyeluruh, sekali gus merealisasikan Matlamat Seratus Tahun Pertama.
Juang sehati sejiwa, corak masa hadapan
China kini mengorak langkah baharu ke arah merealisasikan Matlamat Seratus Tahun Kedua untuk memacu kebangkitan bangsa secara menyeluruh menerusi modenisasi ala China.
Usaha akan dilipatgandakan untuk menjana pembangunan berkualiti sambil mempercepat pembentukan paradigma pembangunan baharu yang mengambil kitaran domestik sebagai tonggak utama, di samping kitaran domestik dan kitaran antarabangsa saling menggalakkan.
Tumpuan utama lain antaranya termasuk mengembangkan demokrasi rakyat seluruh proses dan menjamin kedudukan rakyat sebagai tuan negara; mempertingkat keyakinan dan pengukuhan diri dalam bidang kebudayaan serta memperkaya kerohanian rakyat; menambah baik kesejahteraan rakyat hingga mencapai kemakmuran bersama seluruh masyarakat; memacu pembangunan hijau dan menggalakkan simbiosis antara manusia dan alam.
Xi menyatakan bahawa modenisasi ala China mengandungi elemen-elemen yang wujud dalam proses pemodenan semua negara, di samping menonjolkan keunikannya berdasarkan keadaan negara sendiri.
Modenisasi ala China menyediakan pilihan baharu untuk umat manusia merealisasikan pemodenan.
Membangun secara damai, berkongsi susah senang
China bukan sahaja gigih memperjuangkan kesejahteraan rakyat dan kebangkitan bangsa, malah berdedikasi terhadap kemajuan manusia dan keharmonian dunia.
Xi menekankan bahawa China komited memelihara keamanan dunia, memacu pembangunan bersama dan menggalakkan pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan.
China akan mengekalkan dasar luar yang damai dan bebas, menentang sebarang bentuk hegemoni dan politik kuasa, dan menyuntik tenaga positif kepada keamanan dunia.
Di samping memperkukuh kerjasama muhibah dengan semua negara, China komited melaksanakan strategi keterbukaan yang saling menguntungkan dan menawarkan peluang baharu untuk pembangunan dunia.
Negara Tembok Besar ini akan mempertahankan norma asas hubungan antarabangsa, mendukung multilateralisme jitu, dan meneroka pendekatan baharu untuk tadbir urus sejagat menerusi Inisiatif Pembangunan Global dan Inisiatif Keselamatan Global.
Berdasarkan praktik sendiri, China akan terus membekalkan kebijaksanaan untuk merungkai masalah dalam pembangunan manusia dan menyumbang ke arah menciptakan corak baharu tamadun manusia.
Ayuh berganding bahu, kejar pembangunan bersama
China dan Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-10 perkongsian strategik komprehensif pada tahun depan, serta jubli emas hubungan diplomatik pada tahun berikutnya.
China sudi berkongsi peluang baharu dan menyahut cabaran baharu bersama Malaysia dalam menuju visi komuniti berkongsi nasib sesama negara.
China sedia memperkukuh kerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai bidang khususnya pada era pasca pandemik, meningkatkan penyelarasan strategi pembangunan, dan memacu pembangunan berkualiti Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).
China akan bersama-sama Malaysia menegakkan multilateralisme jitu, mempercepat integrasi serantau, dan terus menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran dunia serta kesejahteraan rakyat semua negara.
Ouyang Yujing ialah Duta Besar China di Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.