Suara ‘peminat’ suara keramat

Suara ‘peminat’ suara keramat

Suara peminat, suara masyarakat, suara rakyat suara keramat. Jatuh bangun biduan, primadona, ustaz mahu pun pemimpin negara boleh ditentukan oleh suara-suara keramat ini.

“Ada sesiapa di sini bernama Intan?” tanya Awie. Saya yang bersila di atas pentas kurang tiga meter dari Eddie, pemain bass kumpulan Wings menjerit, “Kakak saya!”

Eddie menoleh ke arah saya dan dengan gerak bibir yang saya dapat faham dia bertanya, “kakak awak nama Intan?”

Saya mengangguk dan Eddie senyum sambil mengangkat ibu jarinya. Awie meneruskan persembahan mengalunkan lagu popular kumpulan mereka, Intan Ku Kesepian.

Balik dari konsert yang dibuat di tapak “funfair” kampung saya di Bentong itu, saya yang ketika itu baharu nak menginjak usia lima belas tahun heboh bercerita kepada kawan-kawan dan Kak Intan saya yang Eddie Wings ‘bercakap’ dengan saya. Saya bangga. Saya rasa Eddie sudah kenal saya dan cam wajah saya. Saya rasa seronok sosok pujaan saya berinteraksi dengan saya. Seronoknya berminggu-minggu. Kata orang sekarang, susah nak “move on”.

Dua puluh empat tahun selepas kenangan indah itu berlaku, saya bersama isteri dan anak sedang makan di sebuah restoran francais di lapangan terbang sementara menunggu waktu berlepas. Saya terkesima sekejap apabila ternampak sebuah “band” rock yang masyhur duduk makan selang dua tiga buah meja dengan kami.

Keterujaan saya tak dapat dibendung, saya bangun menghampiri, menyapa, dan bersalam dengan mereka. Kepada si penyanyi ini saya menyebut nama seorang kawan baik saya yang saya sangat tahu mempunyai pertalian persaudaraan dengannya tetapi si penyanyi menyambut dingin, lambat menjawab seolah nama yang saya sebut itu tiada sangkut-paut dengannya. Sepatah-dua sahaja jawabannya dengan nada yang tawar.

Begitu juga ahli anggota kumpulan (perhatian: ini bukan kumpulan Wings) yang lain, acuh tak acuh sahaja. Menyedari tidak dialu-alukan, saya meminta diri untuk duduk semula di meja saya selepas bergambar sekeping dua. Dalam perjalanan menuju ke meja tempat isteri dan anak saya duduk itu dapat saya rasakan kulit muka saya berasa tebal. Malu betul apabila tidak dilayan mesra seperti kita datang bertandang ke rumah kawan yang kebetulan sedang mengadakan majlis kenduri tetapi kita tiada dalam senarai undangan. Oh!

Rupa-rupanya kami anak-beranak berada di dalam pesawat yang sama dengan “band” tersebut dan menuju destinasi yang sama juga. Sebaik turun dan hendak keluar dari “airport” kami sekali lagi bertembung. Saya berpesan kepada diri saya agar beri sapaan terakhir sebagai bekalan “husnuzon”. Sekali lagi si penyanyi rock popular ini bersikap mengguriskan hati saya. Ada anggota kumpulan tersebut apabila ternampak saya terus berpaling ke arah lain seolah-olah memberi isyarat supaya ‘jangan tegur aku!’

“Kau ni sensitif sangatlah! Mungkin masa tu mereka sedang ‘stress’?” Sanggah kawan saya apabila saya cerita betapa sombongnya kumpulan rock tersebut dalam menyantuni peminat seperti saya yang selalu menyokong membeli karya mereka yang asli, menghafal senikata dan membeli tiket menonton persembahan mereka.

“Mereka pun macam kita juga kadang-kadang ‘moody’. Mereka pun manusia biasa!”

Manusia biasa! Dek kerana itu saya teringat pula kisah selebriti politik yang mempunyai beribu-ribu penyokong. Di pentas ceramah ketika memujuk rakyat mengundi mereka cukup lunak. Ketika berkempen sanggup duduk bersimpuh di beranda rumah rakyat sambil makan ubi rebus cicah kelapa parut. Setelah menang, batang hidung pun payah nak nampak.

Ketika ada majlis keramaian mereka lebih senang duduk bersama keliling-kelalang mereka sahaja di meja khas “Very Important Person”. Saya melihat beberapa peminat mengintai-intai pemimpin pujaan mereka mencari peluang untuk bergambar. Apabila ada peluang bergambar kelihatan Yang Berhormat ini seronok diraikan tetapi sikap acuh tak acuh dan kelam-kabut hendak balik seperti sangat sibuk itu membuat beberapa peminat kehampaan.

“Aku pun manusia biasa juga,” jawab saya kepada kawan saya yang tidak bersetuju dengan saya tadi.

“Aku juga ada ‘mood’ dan sebagai manusia biasa aku mengambil keputusan untuk singkirkan band ini daripada senarai yang aku minat. Noktah!” saya membalas dengan tekad yang tegas.

Memang benar. Hingga ke hari ini larangan bersiul atau menyanyikan lagu-lagu mereka yang saya perintahkan kepada diri saya masih saya patuhi. Saya seorang warganegara yang memang sentiasa patuh dengan peraturan.

Kisah saya dengan kumpulan rock tersebut seperti juga kisah beribu peminat sang politikus yang saya ceritakan tadi bukan kisah mengada-ngada. Ia tentang sentuhan balas dan timbal-balik penghargaan di atas sokongan yang telah diberikan. Suara peminat, suara masyarakat, suara rakyat suara keramat. Jatuh bangun biduan, primadona, ustaz mahu pun pemimpin negara boleh ditentukan oleh suara-suara keramat ini.

Ya, kita semua manusia biasa. Mereka manusia biasa, kita manusia biasa ada ketika kita tidak sedar perlakuan kita mengguris hati orang lain. Kerana kita manusia biasalah kita kena sentiasa peka dan memahami keadaan sekeliling.

Yang bukan manusia biasa ialah masyarakat yang ketika artis meminta menyokong karya mereka, ketika pemimpin memujuk supaya mengundi mereka, masyarakat ini akur dan ketika mereka tidak dilayan dan dihargai oleh sosok pujaan mereka itu, mereka masih tetap menyokong dengan setia tidak berbelah-bahagi; itu masyarakat luar biasa. Bukan biasa-biasa. Bukan suara rakyat suara keramat tetapi mereka ini masyarakat keramat!

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.