Desentralisasi terancang pendekatan terbaik perkukuh, melestarikan Malaysia

Desentralisasi terancang pendekatan terbaik perkukuh, melestarikan Malaysia

Yang penting proses pemencaran kuasa ini mestilah terancang dan teratur selepas musyawarah semua pihak dan bukan atas desakan sesetengah politik dalam saat genting.

Saya berterima kasih atas perhatian Naib Presiden Umno Khaled Nordin terhadap pautan Facebook saya baru-baru ini tentang perlunya orang Sabah dan Sarawak mengutarakan aspirasi mereka tentang Malaysia. Saya mengambil maklum teguran beliau dan bersetuju dengan pesanan beliau tentang seruan ke arah penambahbaikan negara.

Izinkan saya memberikan latar belakang tentang pautan saya yang menarik perhatian Khaled serta pertimbangan saya. Ini kerana saya memang selama ini memupuk idea seperti pemencaran kuasa (desentralisasi) bagi mengatasi sentimen ketidakpuasan daripada wilayah Borneo demi memperkukuhkan dan melestarikan Persekutuan Malaysia.

Pautan ini tercetus apabila seorang rakan baik dari Timur meluahkan perasaan bahawa, daripada bersusah payah mencari penyelesaian tentang peruntukan kerusi veto di Dewan Rakyat atau Dewan Negara, “lebih baik Malaya menendang keluar Sabah dan Sarawak dari Malaysia seperti apa yang mereka lakukan terhadap Singapura”.

Sentimen seperti begini memang lumrah dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak. Ia tidak akan hilang kalau kita berdiam-diam dan tidak membalasnya atau menafikan kewujudan. Malah, ia akan berkembang, jika dibiarkan.

Sudah tentu balasan boleh mengambil pelbagai pendekatan dan wacana yang berbeza keberkesanan mengikut keupayaan dan konteks masing-masing.

Pendekatan yang lumrah digunakan dan dicadangkan oleh Khaled ialah mengajak ke arah perpaduan dan menolak sentimen pemisahan secara terus. Ini sesuai dengan kedudukan beliau sebagai pemimpin politik dan saya yakin juga berkesan kerana potensi beliau mempengaruhi perubahan politik tanah air. Saya pun pernah cuba, tetapi tidak berkesan dalam mengatasi perasaan ketidakpercayaan dan ketidakpuasan rakan dari Timur.

Sebagai saintis politik, saya lebih berkesan dengan pendekatan menganalisis secara rasional dan strategik dan memupuk respons yang bersesuaian dengan “kepentingan kendiri yang bijaksana” (enlightened self-interest).

Ini juga asas kepercayaan kepada Persekutuan Malaysia bahawa Malaysia boleh menjamin kepentingan terbaik rakyat Sabah dan Sarawak, dan usaha merealisasikan jaminan ini bukan saja menguntungkan Sabah dan Sarawak, tetapi juga sekali gus melestarikan dan memperkukuhkan Malaysia. Pendekatan saya selalu mengambil bentuk soalan yang menstimulasikan minda (thought-provoking).

Sentimen pemisahan rakan saya bertapak dalam idea pengasingan sendiri (self-isolation) yang agak lazim dalam kalangan rakan dari Timur. Mereka tidak berminat mencari penyelesaian bersama, tetapi cuma berminat untuk apa yang memperbaiki keadaan wilayah mereka. Sebagai contoh, dalam isu pemencaran kuasa, mereka takrifkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) secara tegar (rigid) dan tidak berminat membincangkan pemencaran kuasa yang turut melibatkan negeri Semenanjung.

Untuk mengatasi mentaliti pengasingan diri ini, penyelesaiannya ialah memupuk penyertaan dan pembinaan rasa milik (sense of ownership). Maka, saya menggunakan kaedah psikologi terbalik (reverse psychology) untuk mengajak mereka yang inginkan pemisahan mula dengan fikirkan dan utarakan aspirasi Malaysia yang mereka inginkan. Daripada merungut wilayah Borneo telah diMalayakan, mereka harus cuba memBorneokan Malaya.

Kemunasabahan idea ini jelas. Kalau kedua-dua pihak ingin memperbaiki nasib kita bersama, sekalipun idea kita berbeza, kita boleh bertemu di tengah-tengah dan mencari muafakat. Perbezaan antara dua pihak boleh memperkayakan kita dan tidak perlu memecahkan kita. Sebaliknya, kalau satu pihak sentiasa memikirkan bagaimana untuk memperbaiki keadaan sendiri dalam pengasingan, kesatuan Timur dan Barat dalam Persekutuan Malaysia mungkin meretak sehari nanti.

Ingin ditegaskan sungguhpun saya menyebut Umno dalam menghuraikan sejarah 1963-5, saya langsung tidak bermaksud secara tersurat atau tersirat bahawa Umno akan menendang keluar Sabah dan Sarawak kerana mereka membawa aspirasi yang berlainan.

Sebagai pemupuk tegar kerjasama rentas-parti, saya tidak menidakkan atau benci Umno, sebaliknya cuma memberikan pandangan dan kritikan membina kepada Umno dan sentiasa menyeru masyarakat untuk menangkis kebencian terhadap mana-mana parti, termasuk Umno.

Ini boleh dibuktikan dalam tulisan dan komentar lisan saya selama ini, terutama selepas 2018. Semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH), saya mengkritik diskriminasi yang tidak dihapuskan sepenuhnya terhadap pembangkang, termasuk Umno.

Sementara saya menghayati keprihatinan Khaled tentang pandangan saya yang mungkin disalah faham sebagai menyokong pemisahan, saya ingin menyeru kepada semua pihak untuk berbuka dada mendengar dan meneliti pandangan-pandangan, termasuk yang tidak merdu didengar, dalam proses memperkukuhkan dan melestarikan Malaysia.

Sekiranya suara-suara kritis tidak didengari, maka lebih besar lagi ruang untuk sentimen pemisahan berkembang apabila berlaku krisis politik atau ekonomi.

Idea saya tentang pemencaran kuasa yang terancang dan teratur (planned and orderly decentralisation) agar Malaysia diperkukuhkan dan dilestarikan. Daripada pengalaman Indonesia, Kanada dan Belgium, pemencaran kuasa bukan saja tidak bererti pemisahan, malah adalah penawar yang cukup baik untuk melemahkan sentimen pemisahan.

Yang penting, proses pemencaran kuasa ini mestilah terancang dan teratur selepas musyawarah semua pihak, dan bukan atas desakan sesetengah politik dalam saat genting. Idea saya termasuklah:

i. Pemencaran kuasa yang melibatkan negeri Semenanjung sekali, untuk memastikan sokongan merentas Laut China Selatan dan memastikan pembahagian kuasa antara Persekutuan dan wilayah/negeri yang rasional dan lestari, dan proses perundingan melibatkan semua 11 negeri Semenanjung di samping kerajaan persekutuan dan kerajaan wilayah Sabah dan Sarawak;

ii. Pemencaran kuasa kepada peringkat kerajaan dipilih rakyat di bahagian (Division) di Sabah dan Sarawak, seperti pemencaran kuasa di Indonesia yang tidak terhenti di provinsi, tetapi mencapai ke kabupaten (Regency), untuk mengelakkan wujudnya asas untuk gerakan pemisahan;

iii. Pemberian kuasa veto untuk Sabah dan Sarawak di Dewan Negara yang dipilih sepenuhnya dan diperkasakan kuasanya, bukan di Dewan Rakyat; dan

iv. Sistem pilihan raya campuran (hybrid electoral system) yang menggalakkan penglibatan parti-parti Borneo dalam pilihan raya di Semenanjung dan sebaliknya, supaya parti-parti akan mempunyai aspirasi yang lebih bersifat kebangsaan.

Khaled seorang pemimpin politik kebangsaan yang bervisi panjang dan berpengaruh. Saya berharap dapat berbincang dengan beliau idea-idea di atas dan mendapat pencerahan daripada beliau dalam menerokai cara merealisasikannya.

Sungguhpun pendekatan dan wacana yang kita gunakan mungkin berbeza, hasrat kita untuk memperkukuhkan dan melestarikan Malaysia itu tetaplah sama. Saya mendahului dengan jutaan terima kasih atas perhatian Khaled terhadap seruan saya.

 

Wong Chin Huat adalah saintis politik dari Universiti Sunway.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.