
Artikel ini agak panjang, tetapi sila luangkan sedikit masa untuk membacanya dengan teliti demi kebaikan bersama. Saya mahu anda semua mengingatkan saudara-mara dan rakan-rakan anda untuk berwaspada dengan perangkap “pekerjaan bergaji lumayan di luar negara” supaya tidak menjadi mangsa penipuan.
Saya bersama Pengerusi Jawatankuasa MCA Daerah Sepang merangkap Pengerusi MCA Negeri Selangor, Ng Chok Sin hari ini mengiringi mangsa sindiket pemerdagangan manusia untuk membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Pelek.
Mangsa menceritakan kejadian yang menimpanya. Difahamkan, mangsa diperdaya oleh rakan sendiri dengan menawarkan pekerjaan bergaji lumayan di Dubai. Malangnya, mangsa diseludup ke Kemboja serta dipaksa untuk melakukan pekerjaan haram dan lebih teruk, mangsa turut didera.
Pada mulanya, “rakan” mangsa sering menghubungi mangsa untuk menunjukkan kehidupan selesa bekerja di Dubai, seperti makan di restoran mewah, menginap di hotel lima bintang, dan gaji asas sebanyak RM8,000 sebulan. Bukan mudah bagi seseorang untuk menolak tawaran yang lumayan seperti ini termasuklah mangsa ini sendiri.
Mangsa dan “rakan” tersebut telah mengenali antara satu sama lain selama bertahun-tahun dan mempunyai hubungan peribadi yang baik, dan mangsa tidak pernah mendengar tentang sindiket pemerdagangan manusia berlaku di Dubai. Jadi, dia tanpa ragu-ragu bersetuju dengan tawaran “rakan” tersebut untuk bekerja bersamanya.
“Rakan” tersebut mengaturkan mangsa menghubungi seorang “pegawai” untuk menjalankan sesi temuduga yang ringkas dan kemudiannya membeli tiket penerbangan ke Dubai. Namun, perjalanan ini adalah permulaan kepada mimpi ngeri mangsa.
Setibanya di Dubai, mangsa dibawa oleh “pegawai” temuduga ke tempat kerja mereka. Mereka diberi peluang untuk menghubungi keluarga dengan pengawasan. Selepas itu, mereka perlu menyerahkan telefon bimbit kepada pekerja di sana.
Jenis pekerjaan yang disediakan bagaimanapun tidak sama seperti dijanjikan. Mangsa terpaksa melakukan penipuan dalam talian, dengan memperdaya pelabur luar negara terutamanya negara barat untuk melabur melalui laman web sindiket.
Dalam tempoh itu, mangsa dipaksa oleh penyelia untuk menghantar mesej kepada “rakan” tersebut, mengatakan bahawa mangsa tidak dapat terus bekerja atas alasan sendiri dan dia dibayar pampasan seperti dalam kontrak untuk pulang ke Malaysia (ini adalah cara untuk melindungi pembohong, iaitu “rakan” mangsa).
Selepas itu, penyelia tersebut mengosongkan rekod komunikasi mangsa dengan “rakan” ini termasuk “pegawai” temuduga. Mangsa juga mendapati bahawa syarikat itu masih mencari pekerja dan akan membayar insentif sebanyak RM1,500 seorang jika mendapat calon pekerja untuk bekerja di Dubai manakala RM3,000 untuk bekerja di Kemboja. Melalui itu, mangsa mula sedar bahawa dia sudah ditipu oleh “rakan”nya.
Mangsa tidak dapat menjalankan tugasnya kerana tidak berniat untuk menipu orang lain. Dia gagal mencapai KPI ditetapkan oleh syarikat itu iaitu setiap hari sekurang-kurangnya seorang mangsa perlu ditipu untuk melabur wang. Dia juga didenda RM100 setiap hari atau dipukul di bahagian muka secara berterusan.
Kira-kira sebulan kemudian, mangsa dan lebih 20 rakan sekerja yang juga warganegara Malaysia diberitahu bahawa syarikat akan memindahkan mereka ke ibu pejabat di Thailand. Tetapi mereka diatur dan dipindahkan ke Sihanoukville, Kemboja. Semasa pemindahan, mangsa tidak mempunyai cara untuk mendapatkan pasport dan tiket penerbangan mereka dan dikelilingi serta dikawal ketat oleh sekumpulan pekerja lain.
Selepas tiba di Kemboja, mereka mengesyaki sesuatu yang tidak kena. Keadaan kehidupan di Kemboja lebih teruk dan mangsa masih tidak dapat menggunakan telefon bimbit di luar kawalan. Mereka yang tidak memenuhi KPI juga akan dikenakan hukuman dera yang lebih berat. Mereka akan digari dan dipukul serta ditendang selain akan dihukum dengan renjatan elektrik.
Ibu pejabat Kemboja mempunyai kira-kira 20 orang warganegara Malaysia, termasuk empat hingga lima wanita, dua orang berbangsa Melayu dan lain-lain adalah bangsa Cina. Kebanyakan mereka terpedaya dengan insentif pekerjaan ditawarkan dan ditipu.
Dikatakan tidak kurang daripada 10 syarikat serupa beroperasi di Sihanoukville, Kemboja. Selain dipukul tanpa berperikemanusiaan secara berterusan, syarikat itu juga memaksa mangsa untuk mengumpul wang kira-kira USD$15,000 dalam masa sehari jika mahu bebas.
Malangnya, tiada cara untuk mangsa mengumpul wang itu dalam masa satu hari. Syarikat itu kemudiannya meletakkan mangsa di “pasaran pekerja” mereka untuk mengesyorkan mangsa kepada syarikat lain. Namun, syarikat yang pergi ke temuduga tidak sanggup “membeli” mangsa.
Akibatnya, mangsa dipukul dan ditendang sekali lagi dan terpaksa menggunakan deposit akaun bank untuk membeli mata wang maya (USDT) dan memindahkannya ke akaun mata wang maya syarikat tersebut.
Keluarga mangsa berjaya menyelamatkan mangsa dan menghantarnya pulang ke Malaysia dengan kos kira-kira USD$16,000 melalui rakan tempatan di Kemboja.
Semasa membuat laporan di balai polis, kami juga mendengar kejadian yang sama, iaitu seorang isteri pergi ke balai polis untuk melaporkan bahawa suaminya pergi bekerja di Dubai dan kemudiannya dipindah ke Brazil dan terus terputus hubungan.
Justeru itu, saya ingin mengingatkan sekali lagi kepada semua pihak supaya tidak mudah mempercayai iklan-iklan dalam media sosial atau rakan yang tidak boleh dipercayai, dan juga mengingatkan ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan yang lain supaya sentiasa berhati-hati tentang segala-galanya supaya tidak tertipu dan menyebabkan kerugian.
Pada masa sama, kami menyeru agensi kerajaan yang berkaitan seperti polis, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Luar serta pihak berkuasa yang lain supaya mengambil perhatian terhadap kejadian ini.
Tindakan segera perlu diambil bagi memerangi sindiket penyeludupan manusia seterusnya menyelamatkan warganegara kita yang terperangkap di seluruh dunia.
Siew Shen Kae adalah ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda MCA.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.