
Minggu lepas saya mengkritik dan menegur Menteri Pelajaran, Senator Radzi Jidin. Malah saya seru supaya dia letak jawatan. Ini kerana beberapa isu yang gagal diselesaikan. Antaranya, soal UPSR yang dimansuhkan tetapi tidak diberitahu apa gantinya, soal vaksin guru-guru dan pekerja sekolah yang lembab sehinggakan anak-anak belum dapat masuk kelas.
Saya juga bertanya soal 150,000 komputer riba yang dijanjikan setahun dulu, tetapi masih belum diedar kepada keluarga yang memerlukan.
Reaksi dari Pejabat Menteri dan penyokong siber beliau begitu panas. Tun Faisal dan kawan-kawan mereka berkata, saya seorang bekas Menteri yang tidak melakukan apa-apa pun, malah ramai yang tak tahu saya ini pernah jadi Menteri.
Serangan peribadi terhadap saya tidak menguntungkan Radzi Jidin. Saya bukan nak bertanding di Ketereh ataupun di Putrajaya. Saya hanya mengemukakan pertanyaan orang ramai. Jalan paling baik ialah memberi penjelasan.
Kita tidak mahu Menteri yang ada pangkat tinggi dalam partinya, tetapi tidak mampu menjalankan tugas dengan baik. Mengapa guru-guru tidak dapat vaksin sepenuhnya? Bukankah guru-guru dan kakitangan sekolah perlu divaksin sepenuhnya secepat mungkin supaya murid-murid dapat balik ke sekolah?
Mengapa janji buka sekolah berperingkat-peringkat? Soal pembelajaran melalui internet telah menyusahkan anak-anak dan ibu bapa, tetapi Menteri belum ada penyelesaiannya. Sekadar membuka sekolah supaya pelajar dapat bersemuka dengan guru. Apakah ini penyelesaian Menteri?
Mengenai UPSR, memang mudah Menteri buat keputusan mansuhkan peperiksaan itu, tetapi apa gantinya? Siapa yang akan membuat keputusan di mana dan kelas mana anak-anak kita akan ditempatkan di sekolah menengah nanti.
Kalau nak masuk MRSM ada ujian dan peperiksaan yang menentukan kebolehan pelajar yang memohon, tetapi nak masuk sekolah biasa tidak perlu kepada ujian. Di negara lain, mereka tetap ada ujian atau “checkpoint” untuk pastikan pelajar dapat dimasukkan di kelas yang sesuai dan secocok dengan kebolehan mereka.
Di Malaysia, hanya Menteri Pelajaran yang tahu cara penyelesaiannya. Orang lain dan pegawai-pegawai kanan lain tidak perlu tahu.
Bulan Julai akan berakhir dan tidak lama lagi Kementerian Pelajaran akan berjaya melantik hampir 19,000 guru dan ahli akademik baru dari projek luar biasa, di mana jumlah ini direkrut sebagai pendidik dan guru tanpa mereka mempunyai apa-apa pengalaman atau pengetahuan dalam hal pendidikan.
Di negara lain nak jadi guru dan pendidik mestilah menjalani kursus dan kelayakan yang mantap dan kemas. Pengalaman perlu ada dan ilmu sesuai mesti ada untuk pelajar mendapat manfaat.
Di Malaysia guru-guru direka secara “Instant” menyebabkan Rafidah Aziz naik marah dan bertanya, siapa akan menanggung dosa sekiranya anak-anak kita ‘rosak’ dengan dasar terbaharu ini.
Menteri Pelajaran kita memang luar biasa. Keputusan SPM tahun 2020 adalah yang terbaik sejak lima tahun yang lepas, walaupun ada Covid-19 dan belajar melalui internet, kaedah pembelajaran yang paling sukar sekali bagi kebanyakan pelajar dan guru sepanjang hidup mereka.
Menteri kita sepatutnya memberitahu orang ramai apa rahsia peningkatan prestasi ini supaya tahun depan kita akan mendapat keputusan yang terbaik sekali lagi. Kita tidak mahu keputusan terbaik dicapai dengan memberi gred A kepada pelajar yang dapat kelulusan 65% sahaja. Kita tidak mahu silap mata berlaku dalam sistem pendidikan negara.
Ini pertanyaan dan luahan orang ramai yang memerlukan penjelasan menteri.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.