
Penang Forum berulang kali bersuara supaya projek Tebus Guna Selatan Pulau Pinang (PSR) dibatalkan dan pihak kami amat terharu dengan sokongan pemimpin dan orang ramai yang turut membantah projek ini baru-baru ini.
Penang Forum merupakan gabungan organisasi bukan kerajaan yang berkempen ke arah demokrasi tempatan serta pembangunan lestari di Pulau Pinang. Walaupun kami juga bersuara mengenai isu sosial dan alam sekitar di peringkat nasional, namun fokus kami untuk penambahbaikan dasar, pemerintahan dan penyertaan awam di Pulau Pinang sendiri.
Untuk menyahut seruan tindakan iklim, Penang Forum merintis satu projek pada 2009 dengan fokus projek tersebut untuk mempromosi pengangkutan awam serta mengurangkan keperluan bagi menggunakan kenderaan peribadi. Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) merupakan kerjasama antara kerajaan Pulau Pinang dan masyarakat sivil, terdapat pelbagai dokumen yang jelas untuk membuktikan perkara ini.
Kerajaan negeri kemudiannya mengubah pelan tersebut untuk melibatkan pembinaan jajaran LRT dan monorail serta beberapa lebuh raya yang tidak menjimatkan kos. Lagipun, pelan itu memerlukan bukit-bukau dipotong dan tanah swasta diambil alih secara besar-besaran.
Untuk beberapa tahun seterusnya, Penang Forum cuba meyakinkan kerajaan negeri agar memilih pelan lebih bersepadu yang menampilkan pengangkutan alternatif lebih baik, lebih murah dan lebih cepat dilaksanakan, namun segala usaha kami diabaikan kerajaan negeri.
Projek PSR diperkenalkan pada 2015 sebagai satu cara untuk membiayai pelan pengangkutan PTMP versi pemaju yang terlalu mahal. Pada perjanjian terakhir antara kerajaan negeri dan pemaju, projek tambakan ini lari daripada tujuan asalnya. Kini justifikasi utama untuk projek penambakan PSR bukanlah membiayai PTMP, tetapi demi mengembangkan kawasan industri dengan fasa utama seluas 1,200 ekar.
Tiga soalan belum dijawab
Walaupun dihujani pelbagai bantahan, kerajaan Pulau Pinang belum menjawab tiga soalan mudah yang diutarakan wakil Penang Forum, Lim Mah Hui, yang diulang di sini:
- Adakah kerajaan negeri dapat memberi justifikasi terhadap anggaran populasi untuk ketiga-tiga pulau yang dijangka mencecah 446,000 penduduk pada 2030 seperti yang dinyatakan dalam laporan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA)?
- Bolehkah kerajaan negeri menjelaskan bagaimana pihaknya akan membiayai projek PTMP, yang akan menelan belanja berbillion-billion, sedangkan jangkaan keuntungan yang bakal diperolehi daripada penambakan separuh Pulau A hanya dianggarkan RM600 juta dalam masa tujuh hingga 10 tahun?
- Bolehkah kerajaan negeri menjelaskan bagaimana kos bagi projek PSR melambung daripada RM8 bilion untuk dua pulau (berjumlah 3,530 ekar atau 1,428ha) pada 2015, kepada RM7 bilion untuk separuh pulau sahaja (hanya 1,200 ekar atau 485ha) pada 2021?
Selain mengundang risiko ekonomi yang besar, PSR akan mendatangkan risiko alam sekitar amat menggemparkan.
Penambakan tiga pulau berkeluasan 4,500 ekar atau 1,821ha memerlukan isi padu 190 juta meter padu pasir. Jika ini sukar dibayangkan orang awam, Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Sahabat Alam Malaysia menyamakan jumlah penggunaan pasir ini dengan keluasan 76,000 kolam renang bersaiz Olimpik.
Saintis, Kam Suan Pheng pula menyamakannya dengan isipadu tanah daripada semua bukit-bukau di Pulau Pinang, jika ia dikikis sehingga tinggal 1m kedalaman sahaja.
Untuk maklumat, pasir ini bukan dibuang ke kawasan tandus, sebaliknya di kawasan penangkapan udang dan sumber perikanan paling kaya di Pulau Pinang. Ia dikenal pasti sebagai kawasan sensitif alam sekitar yang mempunyai terumbu karang, tempat pendaratan penyu dan juga kawasan rayau ikan lumba-lumba.
Pemusnahan di Perak juga
Walaupun dengan segala “kejuruteraan eko” yang mahal, impak kesan projek penambakan berskala besar seperti kehilangan kawasan perikanan, kerosakan kekal kepada pantai dan juga dataran lumpur, serta kesan hakisan dan pemendapan lumpur akan menjadi masalah buat selama-lamanya.
PSR dijangka menghasilkan 3.2 juta tan karbon setiap tahun (Pekeliling “18 nasihat”, Majlis Perancangan Fizikal Malaysia, 2019). Pulau Pinang memerlukan 147 juta pokok matang, hanya untuk mengimbangi penghasilan karbon daripada projek PSR (berdasarkan 21.8kg karbon yang dapat diasingkan setiap pokok)!
Selain itu, pasir perlu dilombong dari dasar laut seluas 819.7km2, mungkin di perairan Perak, untuk projek PSR. Perlombongan pasir ini akan memusnahkan kawasan perikanan, mengurangkan biodiversiti laut, membinasakan zon bentik (dasar laut) serta menyebabkan sedimen marin yang menyerap karbon terdedah, lalu menjurus kepada peningkatan pengasidan laut.
Satu kajian penting yang diterbitkan awal tahun ini oleh Nature, jurnal mingguan saintifik dari Britain, menunjukkan jumlah karbon yang dihasilkan aktiviti perikanan pukat tunda di seluruh dunia melebihi pembebasan karbon oleh industri penerbangan global. Rentetan itu, aktiviti perlombongan pasir lebih dahsyat lagi.
Tiga pulau buatan ini juga terdedah kepada kenaikan paras laut pada dekad mendatang. Apabila isu ini diajukan, pemaju bercadang menaikkan ketinggian pulau tambak ini – ini memerlukan lebih banyak pasir marin yang harus dilombong dari dasar laut yang lebih luas lagi dan seterusnya menghasilkan karbon melampau.
Daripada 1,200 ekar dalam fasa pertama pulau buatan A, 700 ekar bakal diperuntukkan kepada “Green Tech Park” yang menyasarkan industri elektrik dan elektronik “bernilai tinggi”. Pemaju PSR juga mendakwa RM70 bilion pelaburan asing dan 300,000 peluang pekerjaan bernilai RM100 bilion dapat dijana dalam tempoh 30 tahun.
Pemimpin Pulau Pinang suka membayangkan PSR boleh meniru serta meneruskan kejayaan Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas (FIZ), yang berkembang pesat di kawasan penambakan pada 1980-an. Tetapi, ini adalah tanggapan palsu berdasarkan perbandingan cetek yang tidak mencerminkan sejarah evolusi FIZ dan tidak mengambil kira aspek kedudukan Pulau Pinang dalam ekosistem perindustrian global masa kini yang sering berubah.
Ruang untuk perkembangan industri di Seberang Perai
Sektor pembuatan di Seberang Perai sudah kukuh dan stabil, serta masih ada ruang untuk dikembangkan dan disepadukan sebagai koridor perindustrian dari Batu Kawan ke Taman Teknologi Tinggi Kulim di Kedah.
Syarat bagi kejayaan perindustrian Pulau Pinang ke peringkat seterusnya tidak hanya bergantung kepada kewujudan tanah pembangunan sahaja – terdapat bekalan tanah mencukupi di Pulau Pinang – tetapi bergantung kepada kebolehan Pulau Pinang untuk menarik dan mengekalkan bakat manusia.
Pulau Pinang tentu akan gagal menarik bakat berkualiti, sekiranya kerajaan negeri tidak pandai mempelbagaikan ekonomi, sebaliknya masih tidak berpandangan jauh dan hanya obses dengan projek PSR ini.
Kepentingan “Reimagine, Recreate, Restore” merupakan tema utama Hari Alam Sekitar Sedunia pada 5 Jun 2021, menyaksikan pelancaran Dekad untuk Pemulihan Ekosistem oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Pemimpin Pulau Pinang seharusnya memanfaatkan Hari Alam Sekitar Sedunia untuk menyelesaikan isu lama seperti bukit botak, timbunan sampah plastik dan bertoksik di sepanjang pantai terhakis, pencemaran sungai dan banjir berulang, serta pencemaran marin melampau di Selat Pulau Pinang dan di kawasan utara pulau.
Hari Lautan Sedunia pada 8 Jun memfokuskan tema “Lautan: Kehidupan dan Penghidupan”. Lautan dapat menampung mata pencarian dan komuniti nelayan, seterusnya industri makanan tempatan supaya orang Pulau Pinang dapat menikmati makanan laut segar pada harga berpatutan.
Daripada sibuk memecahbelahkan komuniti nelayan dan membuang pasir ke dalam “periuk nasi” mereka, pemimpi Pulau Pinang seharusnya memperkasakan nelayan untuk memainkan peranan sebagai penjaga tradisi kawasan perikanan, sambil mendukung kesejahteraan dan ketahanan masyarakat setempat.
Pekerjaan untuk siapa? Warga asing?
Sewaktu pandemik Covid-19 ini, ramai mengharapkan peluang pekerjaan yang diwujudkan projek PSR, walaupun belum diberikan kepastian. Dalam tempoh empat tahun pertama, mungkin lebih, majoriti pekerja yang diupah adalah pekerja asing dalam operasi pembinaan dan pengorekan – bakal memanfaatkan pengusaha asrama warga asing berhampiran kawasan projek, namun menimbulkan persoalan dari segi impak kepada komuniti nelayan tempatan.
Namun, kerajaan negeri digesa mengotakan janjinya untuk membangunkan Seberang Perai dengan mengalihkan perkembangan kawasan perindustrian ke tanah besar Pulau Pinang, seperti yang termaktub dalam visi Penang 2030. Ini supaya kerajaan negeri dapat mencapai penyelesaian menang-menang – iaitu mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan baru dalam bidang pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan, seraya mengekalkan mata pencarian nelayan, menjaga keselamatan makanan Pulau Pinang serta memelihara kesihatan biodiversiti ekosistem pantai kita.
Kerajaan negeri sepatutnya mengutamakan tindakan iklim, tetapi ia dan pemaju sebaliknya bertungkus-lumus memasarkan projek PSR sebagai projek hijau. Sebagai contoh, menganjurkan pertandingan pelan reka bentuk induk peringkat antarabangsa dengan penyertaan pemenang yang secara ironinya bertemakan “BiodiverCity”, dan mengiklankan di akhbar dengan memuji diri atas prinsip “eko” PSR.
Kerajaan negeri juga dengan bangganya mengumumkan rancangan PSR menggukana teknologi hijau seperti tenaga boleh diperbaharui, mengitar semula air, seni bina terkini dan landskap lestari. Kendatipun begitu, adakah langkah ini memadai untuk menjadikan PSR hijau dan mampan? Ataupun luaran lestari projek PSR ini sekadar pencucian hijau yang menyorok penyata imbangan alam sekitar sebenar?
Bencana alam besar-besaran
Ketua Menteri Pulau Pinang berhasrat melarang penggunaan straw minuman kerana ia menyumbang kepada sampah di lautan. Beliau dilaporkan berkata: “Ini dasar kerajaan negeri demi Pulau Pinang dan bumi”.
Namun, pada masa sama, beliau mendorong projek pembangunan PSR “hijau” dan “mampan”, yang tidak lain tidak bukan sebuah projek dirancang dengan teliti dan sengaja mengakibatkan bencana alam sekitar secara besar-besaran.
Cukuplah sudah memutarbelitkan fakta. Janganlah kita membiarkan rakyat terpedaya projek tambakan laut berskala besar yang bakal mendatangkan malapetaka. Perkara ini tidak memberi pengajaran sebaik-baiknya kepada generasi muda, yang mula penat dengan kemunafikan orang tua serta gelisah dengan masa depan mereka.
Cara projek pembangunan yang dipimpin pihak swasta ini cuba berselindung di belakang pencucian hijau atau “greenwashing” amat memalukan. Akhirnya, pencucian hijau ini hanya akan memudaratkan iklim dan alam sekitar, bukan sahaja kepada Pulau Pinang, tetapi juga kepada planet ini.
Kami menyeru kerajaan pusat membatalkan kelulusan EIA dan projek PSR ini.
Penang Forum ialah gabungan NGO yang berkempen ke arah demokrasi tempatan dan pembangunan lestari.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.