
Empat belas tahun lalu, dunia Melayu kehilangan seorang tokoh intelektual yang banyak menyumbang kepada pembangunan pemikiran dan masyarakat, yakni Prof Syed Hussein Alatas. Dilahirkan di Indonesia, mendapat pendidikan di Belanda, dan menjadi ahli akademik di Singapura dan Malaysia, ketokohan beliau sebagai seorang intelektual awam yang unggul tidak dapat kita nafikan.
Dalam membahaskan pemikiran beliau, ramai yang menyentuh kajian dan sumbangan beliau terhadap isu seperti masalah rasuah, ideologi dan kepimpinan; kritik terhadap feudalisme dan imperialisme Barat; serta persoalan kebudayaan, pembangunan dan banyak lagi. Dalam erti kata lain, Alatas dilihat sebagai seorang cendekiawan dan sarjana, khususnya bidang sosiologi, sejarah dan falsafah.
Namun, ada satu aspek yang sering tersisih atau dipinggirkan, yakni wacana keislamannya. Malah, kita dapat merumuskan yang pemikiran keislaman beliau menjadi penggerak terhadap isu-isu lain yang dibangkitkan. Alatas banyak menekankan aspek moral dan nilai dalam sesebuah masyarakat. Ini tentunya lahir dari komitmen beliau terhadap pesan-pesan universal yang ada dalam Islam.
Peminggiran
Salah satu sebab wacana keislaman yang dibawa oleh Alatas kurang diberi perhatian ialah kerana faktor politik identiti yang melanda Malaysia secara khusus. Dengan kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam Umno pada 1982, Malaysia mula menggerakkan agenda Islamisasi sebagai dasar negara. Anwar Ibrahim merupakan pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang sangat berpengaruh. Pada waktu itu, masyarakat Melayu berada di ambang kebangkitan Islam yang berlandaskan dakwah. Dengan semaraknya semangat dan gerakan dakwah yang memunculkan slogan “Islam sebagai penyelesaian”, projek Islamisasi semakin mendapat tempat.
Secara umumnya, Alatas lebih berminat mempermasalahkan corak pemikiran agama yang mendominasi masyarakat. Pendekatan beliau bersifat diagnostik dan bukan ideologikal. Aspek ini bermakna beliau tidak disukai banyak pihak, terutama golongan yang berkuasa. Secara perlahan-lahan, pemikiran Alatas dibayangi oleh adiknya yang juga merupakan seorang pemikir besar dunia Melayu, yakni Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Sudah tentunya, gagasan dan pendekatan kedua-duanya sangat berbeza. Di Malaysia, gagasan Islamisasi Al-Attas mendapat tempat sehingga Anwar selaku menteri pendidikan pada waktu itu, membantu beliau menubuhkan Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC).
Pendekatan
Sementara itu, Alatas terus bergiat di Singapura sebagai ketua Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) sehingga 1988. Sebahagian besar karya-karyanya yang menyentuh persoalan agama, diterbitkan sewaktu beliau di Singapura. Ini termasuklah buku penting yang berjudul Kita Dengan Islam: Tumbuh Tiada Berbuah (1979). Dalam era yang semarak dengan slogan anti-Barat dan anti-sekular, corak keislaman Alatas yang lebih universalis, kritis dan demokratis, tidak disenangi dan dianggap sebagai ‘liberal’.
Menariknya, pada waktu yang sama, ABIM menerbitkan buku Islam dan Sekularisme (1978) oleh Al-Attas. Buku inilah yang mendapat sambutan di tengah-tengah perubahan politik di Malaysia.
Sebagai seorang intelektual sejati, Alatas menghadapi cabaran orientasi keagamaan dengan keberanian moral dan ketajaman mindanya. Bayangkan, ketika gerakan kebangkitan Islam waktu itu membawa masuk pemikiran ideolog termasyhur waktu itu, Syed Abu’l a’la Maududi, Alatas mengkritik keras. Beliau menulis:
“Memang mereka yang memajukan pendapat-pendapat seperti pendapatnya Maulana Maudoodi telah mencuba menggunakan alasan-alasan dari Al-Quran dan Hadis, tetapi mereka yang menolaknya, sebagai saya sendiri, juga merujuk kepada Al-Quran dan Hadis. Itu sebabnya berteriak kembali kepada Al-Quran dan Hadis tidak cukup jika tidak dikaitkan dengan persoalan tertentu dengan disertai oleh pemikiran yang mendalam.” (Kita dengan Islam, 1979)
Menurut Alatas, yang paling penting dalam membangun pemikiran keislaman yang kuat bukanlah dengan menjurus langsung kepada teks suci Al-Quran mahupun Hadis. Penguasan kita terhadap kondisi masyarakat harus diutamakan. Ini bermakna, Alatas lebih menekankan konteks dan pendekatan atau metodologi. Inilah yang menjadi perhatian utama beliau sebagai pemikir Islam. Seawal 1950-an, beliau menulis:
“Menurut pendapat saya, yang harus kita pelajari dahulu bukanlah Al-Quran tetapi keadaan masharakat Arab Jahiliyah waktu lahirnya Nabi Muhammad. Selain dari itu baik juga jika kita pelajari keadaan masyarakat di sekeliling jasiratul Arab. Sesudah itu baru kita pelajari riwayat hidupnya Nabi Muhammad. Dengan begini baru kita dapat mengerti tindakan-tindakan Nabi Muhammad.” (Islam dan Masharakat, 1958)
Pendekatan Alatas ini mengingatkan kita kepada Al-Muqaddimah, sebuah karya agung Ibn Khaldun pada abad ke-14. Anak beliau, Prof Syed Farid Alatas menyambung pendekatan ini dan kini menjadi ahli pemikiran Ibn Khaldun yang cuba diterapkan semula ke dalam ilmu sosiologi arus utama. Jadi, pembelajaran Islam harus digabungkan dengan sains kemasyarakatan. Ini termasuk mendekatkan diri dengan ilmu falsafah untuk membangun daya berfikir kita.
Satu lagi aspek pendekatan Alatas ialah keyakinannya yang tinggi terhadap fungsi dan penggunaan akal. Sama seperti reformis Islam dunia Melayu di awal abad ke-20, Syed Shaykh Al-Hady, Alatas menganjurkan penggunaan akal seluas-luasnya. Saya kutip dari tulisannya di Mingguan Malaysia pada 2006:
“Jangan kita jijik pada perkataan akal, seolah-olah akal bertentangan dengan wahyu. Akallah yang membedakan hadis palsu dari hadis benar, sunah palsu dari sunah benar, tafsir salah dari tafsir benar, fikiran maju dari fikiran buntu, pendapat sesat dari pendapat tepat, kupasan mendalam dari kupasan cetek, fikiran gigih dari fikiran lembab, dan ucapan merendah diri dari ucapan angkuh.”
Persoalan akal inilah yang mendapat tentangan kuat dari golongan agamawan yang Alatas gelarkan sebagai “manusia Islam lama”. Pada awal 1970-an, terjadi polemik besar antara beliau dengan anggota Majlis Fatwa dari Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) sekitar persoalan pendermaan organ manusia. Polemik ini menunjukkan pendekatan berbeza antara beliau dengan golongan tradisionalis yang cenderung memperkecilkan penggunaan akal dalam menentukan persoalan agama.
Pada 1973, MUIS mengeluarkan fatwa yang melarang umat Islam Singapura dari mendermakan organ mereka. Berdasarkan fatwa dan nasihat MUIS, pemerintah Singapura mengecualikan orang Islam dari Akta Pendermaan Organ Manusia (HOTA) pada 1987.
Akibatnya, ramai orang Islam yang menghidapi penyakit buah pinggang, tidak diberi keutamaan dalam pemindahan ginjal dan terpaksa merana sakit atau menemukan ajal. Fatwa ini akhirnya digantikan pada 2008. Kini, orang Islam dimasukkan ke dalam HOTA secara automatik tanpa pengecualian – lebih tiga dekad setelah Alatas mengkritik pandangan Majlis Fatwa secara terbuka di akhbar Singapura, Berita Harian.
Surat balas-membalas antara beliau dengan MUIS dibukukan pada 1974 dengan judul Biarkan Buta: Sekitar Perbahasan Ilmiah Mengenai Derma Cornea-Mata.
Islam progresif
Wajar dikatakan bahawa Alatas cuba menggerakkan apa yang disebut sebagai “Islam progresif”. Istilah progresif ini digunapakai oleh beliau sendiri seawal pertengahan abad ke-20. Sewaktu belajar di Belanda, beliau memimpin sebuah jurnal berjudul Progressive Islam, yang terbit dari 1954 hingga 1955. Jadi, beliaulah orang pertama yang memperkenalkan istilah ini ke dalam dunia Melayu.
Pada waktu itu, dunia Islam berada di persimpangan besar antara pemikiran progresif yang dibawa oleh tokoh-tokoh reformisme awal seperti Muhammad Abduh, Qasim Amin, dan Ali Abdul Al-Raziq, dan pemikiran haraki (gerakan Islam) seperti Al-Ikhwan Al-Muslimin di Mesir dan Jamaat-e-Islami di Pakistan. Alatas memilih jalur progresif, sama seperti penterjemah Al-Quran tersohor dari India, Abdullah Yusuf Ali.
Pada 1929, Yusuf diundang ke London untuk memberi ceramah mengenai riwayat hidup Nabi Muhammad. Ceramah ini berhujung dengan penubuhan Progressive Islam Association, yang dikaitkan dengan gerakan “membangkitkan pemikiran keislaman” dan mencari penyelesaian terhadap institusi dan corak pandang umat Islam yang semakin “payah dan usang”. Persamaan ini menarik dikaji dengan lanjut.
Corak progresif ini terlihat dari sebahagian besar tulisan-tulisan Alatas yang menyentuh isu-isu keislaman seperti “The Democracy of Islam” (1956), Islam dan Masharakat (1958), “Reflections on the Theories of Religion” (1963), Biarkan Buta (1974), Islam dan Sosialisme (1976), Kita Dengan Islam (1979), dan Ke Mana Dengan Islam (2002). Dalam terbitan-terbitan ini, terlihat wajah keislamannya yang bersifat rasional, humanis, dan demokratik. Ini melambangkan nilai-nilai progresif yang diangkatnya. Sudah tentunya, nilai-nilai ini bersumberkan Islam, jika tidakpun dari khazanah keislaman.
Ini terserlah dalam karya-karyanya yang menyentuh persoalan-persoalan lain, seperti rasuah misalnya. Beliau merujuk kepada Abu Dharr Al-Ghifari, seorang sahabat nabi yang lantang dalam isu keadilan sosial, sebagai sumber inspirasinya dalam meneliti persoalan rasuah dalam masyarakat.
Dalam ceramahnya Cita Sempurna Warisan Sejarah yang dibukukan pada 2000, Alatas juga merujuk kepada sifat moral dalam kepimpinan Ali Abi Talib yang wajar dicontohi umat Islam. Jadi, sangat kuat sumber keislaman dalam kesarjanaan beliau.
Kelanjutan
Oleh itu, wajar kita memberi perhatian kepada gagasan keislaman yang dibawa oleh Alatas. Aspek pemikiran keagamaan beliau kurang diteliti akibat faktor politik dan perlawanan ideologi. Sekalipun kita tidak setuju dengan beberapa aspek pemikiran beliau, kita tidak dapat mempersoalkan komitmen beliau terhadap Islam. Nilai keislaman yang ada dalam pemikirannya begitu kuat dan utuh, terutama dari aspek adab keilmuan dan moral kemanusiaan.
Bagi Alatas, agama merupakan aspek penting dalam kehidupan dan perkembangan masyarakat Melayu. Tidak hairan, persoalan yang sering ditanyakan beliau ialah: Apakah orientasi agama yang dominan di tengah-tengah pembangunan masyarakat? Jika kita mahu masyarakat yang progresif dan terkedepan, kita harus mempermasalahkan orientasi agama yang mundur, jumud, dan autoritarian. Dengan itu, kita dapat menggerakkan lawannya, yakni Islam yang progresif dalam erti kata berani memikir ulang pendapat-pendapat yang menghambat kemajuan masyarakat walaupun ianya sudah lazim dan dianggap sebagai sebahagian dari arus utama.
Inilah sikap konsisten yang membuat beliau dikagumi sebagai seorang intelektual awam sejati yang berani “bercakap benar di depan kekuasaan” (speaks truth to power), mengikut acuan Edward Said dalam “Representations of the Intellectual” (1994). Alatas tidak sesekali bermain politik ataupun bertalam dua muka demi mendapatkan kekuasaan atau penghargaan dari pihak atasan.
Walaupun beliau pernah berkecimpung dalam dunia politik sebagai pengasas parti Gerakan, beliau meninggalkan dunia politik untuk menumpukan perjuangannya dalam bidang akademik dan penulisan. Namun, dampak wacananya tetap masuk ke dunia pemikiran politik sebagai “voice of conscience”.
Oleh kerana sikapnya yang kritis, beliau banyak dipinggirkan sewaktu hidup oleh golongan yang berkuasa, termasuk ahli politik yang korup dan agamawan yang mundur. Hanya setelah beliau meninggal dunia (2007), barulah ramai yang ingin membaca semula dan membahaskan buku-buku beliau. Mungkin inilah nasib para pemikir kritis yang terlalu ke depan pandangan mereka, sehingga masyarakat belum boleh menerima sebelum waktunya.
Oleh itu, terpulanglah kepada generasi sesudahnya untuk terus menggali dari pemikiran progresif Alatas. Namun, ianya tidak harus berhenti di situ. Wajar dibangunkan wacana yang melampaui apa yang diwariskannya. Dengan itu, kita benar-benar melestarikan apa yang dimulakannya sehingga terbina satu tradisi intelektual yang kukuh dan mandiri untuk generasi depan.
Inilah sisi perjuangan intelektual Syed Hussein Alatas: tanpa ragu dan gentar. Seperti pesannya dalam serangkap pantun dalam Cita Sempurna Warisan Sejarah (2000):
Juang serangga hancurkan mangsa,
Dahan dilubang, tikam binasa,
Juang pujangga luhurkan bangsa,
Lawan gelombang alam semasa.
Penutup
Sumbangan Alatas terhadap wacana keislaman dunia Melayu kontemporari tidak harus dilupakan. Di akhir hayatnya, beliau masih terus-menerus membangkitkan persoalan umat tanpa penat dan lelah. Dalam ceramah awamnya yang terakhir di Singapura pada 2002 anjuran Masjid Ba’alwie, beliau masih menunjukkan keprihatinannya yang kuat terhadap pembangunan umat Islam.
Beliau sekali lagi menyeru kepada penggunaan akal untuk memajukan masyarakat. Ini seharusnya bermula dengan sikap ingin tahu. Ujar beliau:
“Jika masyarakat tidak membangun sikap ingin tahu, masyarakat itu tidak akan maju. Islam mengajar kita agar berminat dalam seluruh kehidupan khususnya menggunakan akal untuk merenung dan memahami semua kejadian. Bukan sekadar beri perhatian pada undang-undang, peraturan dan upacara, tetapi berminat dalam seluruh alam semesta itu dituntut bagi setiap Muslim.” (Cabaran Masa Depan Dunia Muslim, 2008)
Bagi yang ingin mempertahankan kuasa dan memperbodohkan masyarakat, pesan ini sudah tentunya menggusarkan. Tetapi, jika kita ingin memajukan masyarakat, kita harus berani menyoal demi kebaikan dan pembaikan; berani melihat masalah, mengakuinya, mempertanggungjawabkannya dan memperbetulkannya mengikut apa yang benar dan baik.
Inilah tugas seorang intelektual sejati, seperti yang dicontohkan oleh Alatas. Inspirasi inilah yang harus kita aspirasikan sekarang.
Mohamed Imran Mohamed Taib seorang penulis dan editor buku “Moral Vision and Social Critique: Selected Essays of Syed Hussein Alatas” (2007). Artikel ini lanjutan dari komentar penulis yang disampaikan pada Seminar Antarabangsa Pemikiran Syed Hussein Alatas anjuran International Institute of Islamic Thought (IIIT) East Asia pada 23 Jan 2021.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.