Perkembangan Sekolah Ilmu Mandiri: Pemikiran Syed Hussein Alatas

Perkembangan Sekolah Ilmu Mandiri: Pemikiran Syed Hussein Alatas

Sekolah Ilmu Mandiri mungkin satu-satunya sekolah pemikiran dalam ilmu kemanusiaan yang muncul di Dunia Melayu.

Tanggal 23 Januari 2007, adalah hari datuk saya kembali ke Rahmatullah. Empat belas tahun berlalu sejak wafat beliau. Empat tahun lalu, saya menulis sebuah makalah sempena ulang tahun wafat beliau yang ke-10. Makalah itu lebih bersifat peribadi daripada akademik, dengan memberi tumpuan kepada kesannya kepada saya.

Kali ini, saya ingin membincangkan pemikirannya mengenai perkembangan intelektual di Dunia Ketiga dan apa yang diperlukan untuk mewujudkan masyarakat yang lebih progresif. Khususnya, saya akan mengambil perhatian tentang idea-idea beliau yang telah mewujudkan apa yang kita dapat sebut sebagai Sekolah Ilmu Mandiri (School of Autonomous Knowledge).

Sekolah Ilmu Mandiri boleh ditakrifkan sebagai sekolah pemikiran di mana pembinaan teori, pembentukan konsep, penerapan kaedah sains sosial, dan pemahaman fenomena dilakukan dengan cara yang sesuai untuk masyarakat tertentu dan bertentangan dengan kepentingan Eurosentrik, nasionalis, dan sektarian. Sekolah Ilmu Mandiri ini berasal daripada pemikiran Syed Hussein Alatas mengenai tradisi sains sosial mandiri (autonomous social science tradition) yang saya akan membincangkan menjelang akhir makalah ini.

Idea-idea Alatas mengenai tradisi tersebut muncul ketika dia memerhatikan kemunduran masyarakat membangun di peringkat ekonomi-politik dan penghasilan ilmu. Faktor yang terkemudian mendorongnya untuk memikir tentang fenomenon minda tertawan dalam masyarakat membangun. Bagi minda tertawan, Alatas merujuk kepada pemikiran para sarjana dalam masyarakat membangun tanpa secara kritik menerima ilmu Barat. Mereka tidak selektif ketika menerima ilmu ini. Ketika membincangkan masalah sosial yang khas bagi masyarakatnya, minda tertawan tidak mampu berfikir secara kritik atau bebas dan sebaliknya dianggap ‘tertawan’ oleh cara pemikiran Eurosentrik.

Minda tertawan merupakan fenomenon yang khas bagi dunia bukan Barat. Walaupun ia wujud di Barat juga, sarjana ilmu sosial di sana hampir tidak dilatih dalam ilmu sosial bukan Barat dan tidak dilatih oleh sarjana bukan Barat dalam bahasa bukan Barat. Justeru itu, minda tertawan di Barat tidak wujud dalam konteks penguasaan oleh dunia bukan Barat.

Minda tertawan

Alatas membahagikan masalah-masalah setiap masyarakat dalam dua kategori: subjektif dan objektif. Sedangkan kategori subjektif berkaitan dengan masalah individu, kategori objektif berkaitan dengan masalah yang terdapat di luar individu. Masalah individu itu adalah berkaitan dengan minda dan cara pemikiran. Minda tertawan adalah masalah subjektif yang paling mendesak dalam masyarakat Asia. Sebaliknya, rasuah adalah masalah objektif yang paling mendesak dalam berbagai manifestasinya.

Bagi Alatas, menyelesaikan masalah subjektif, iaitu minda tertawan, adalah prasyarat untuk menangani masalah objektif seperti kemunduran ekonomi dan sikap pemimpin politik terhadap rasuah. Alatas menyatakan bahawa kemunduran masyarakat Asia dan Afrika lebih disebabkan oleh faktor subjektif daripada masalah objektif. Masalah objektif, walaupun kelihatannya tidak dapat diatasi, dapat diatasi jika masyarakat mampu menyekat pengaruh minda tertawan.

Walaupun konsep minda tertawan pada awalnya digunakan untuk membincangkan kebergantungan akademik kepada ilmu Barat, ia juga ternyata dalam bidang kehidupan yang lebih praktikal seperti perancangan pembangunan, politik tempatan, dan hal ehwal agama. Minda tertawan dalam bidang perancangan pembangunan menggunakan bahasa ‘perubahan’ dan ‘kecekapan’ ketika membincangkan pembangunan ekonomi. Para pelajar dan pekerja dianggap sebagai ‘modal insan’ yang hanya berguna sebagai alat atau input dalam mempercepatkan pertumbuhan ekonomi.

Ajaran-ajaran untuk menjadi manusia yang baik dan berakhlak akan terpinggir ketika dunia membangun mengajuk model pembangunan di Dunia Pertama dalam usaha mengejar pertumbuhan ekonomi yang sempit.

Syed Farid Alatas (komunikasi peribadi, Jan 2021) turut memperluaskan konsep minda tertawan ketika memperhatikan penguasaan institusi politik dan agama di Malaysia. Dalam bidang politik, pemikiran eksklusif perkauman dalam kalangan beberapa sarjana Melayu merupakan tiruan buta wacana parti dan ahli politik Melayu ultranasionalis. Segala kebencian yang dilafazkan parti ultranationalis hanya diulangi oleh sarjana dan pihak lain tanpa mempersoalkan asal-usul ucapan kebencian itu.

Dalam bidang agama, diskriminasi anti-Syiah dan stereotaip yang berleluasa dalam kalangan sebilangan sarjana Muslim Sunni berakibat daripada penerimaan tidak kritik ucapan kebencian anti-Syiah yang disebarkan oleh pihak berkuasa agama. Dalam contoh-contoh penguasaan tempatan ini, tidak ada usaha untuk berfikir secara kritik tentang bangsa atau agama. Di sebaliknya, pendapat beberapa sahaja diterima secara total.

Tidak kira di mana dan bagaimana minda tertawan memperlihatkan dirinya, apa yang diperlukan untuk menentangnya adalah minda kreatif. Hanya minda kreatif yang dapat mengatasi bentuk penguasaan tempatan dan antarabangsa serta memudahkan kemunculan intelektual dan kepimpinan progresif supaya mewujudkan masyarakat yang lebih maju.

Bagi Alatas, masyarakat yang lebih maju bersifat sosialis. Buku beliau yang berjudul Islam dan Sosialisme ditulis semasa sosialisme dianggap sebagai melawan agama oleh sebilangan segmen gerakan kebangkitan Islam pada tahun 1970-an. Namun, permusuhan tersebut terhadap kapitalisme keterlaluan tidak wujud. Bahagian gerakan kebangkitan Islam ini dianggap ‘tertawan’ oleh model kapitalisme, sementara mereka mengabaikan rangka alternatif pembangunan negara.

Alatas menunjukkan bahawa Islam dan sosialisme tidak begitu berbeza; Islam mengandungi beberapa ciri-ciri sosialis. Kedua-duanya memperlakukan seseorang secara saksama tidak kira jantina, agama, atau latar belakang sosio-ekonomi.

Tradisi memupuk minda

Perkembangan minda kreatif, ketika kita menyekat pengaruh minda tertawan, harus mengakibatkan perkembangan tradisi sains sosial mandiri. Hanya tradisi sedemikian dapat memupuk minda kreatif. Ketika menulis dalam konteks masyarakat Asia, Alatas mentakrifkan tradisi sains sosial Asia mandiri sebagai “perhubungan antara penyelidikan dan pemikiran sains sosial dengan masyarakat Asia”.

Tradisi ini memerlukan kita menghuraikankan masalah, mencipta konsep, dan menerapkan kaedah sains sosial dengan cara yang kreatif di mana seseorang mungkin dipengaruhi oleh mana-mana tradisi tetapi tidak menirunya tanpa kritik. Usaha ini perlu mengambil kira kekhususan masyarakat Asia. Namun, kita harus memahami bahawa minda kreatif ini tidak bertentangan dengan Barat. Sebaliknya, minda kreatif terlibat dalam proses asimilasi ilmu Barat dengan sikap yang selektif dan mandiri.

Minda kreatif juga bercita-cita untuk memiliki kemampuan dan taraf intelektual yang lebih tinggi ketika membandingkan sains sosial tempatan dan serantau dengan sains sosial Barat. Alatas sendiri mengakui sumbangan Barat sejauh mana sosialisme memperjuangkan hak pekerja, menentang imperialisme, dan menganjurkan pengagihan kekayaan yang lebih setara.

Berdasarkan seruan beliau untuk tradisi sains sosial yang mandiri, usaha intelektual Alatas merangkumi penubuhan Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Nasional Singapura pada 1967. Di samping menjadi platform penting bagi para sarjana untuk membincangkan masalah Dunia Melayu, Alatas juga bertujuan mendorong pengembangan pendekatan alternatif dalam pengajian Melayu dari segi sejarah, ekonomi, politik, dan masyarakatnya. Ini bermaksud penerapan konsep, teori dan kaedah yang kritik dan sesuai untuk Dunia Melayu dan bukan tiruan ilmu Barat.

Kita boleh mengatakan bahawa Jabatan Pengajian Melayu adalah perintis demi pembangunan sebuah sekolah pemikiran yang kita boleh sebut sebagai Sekolah Ilmu Mandiri.

Walaupun Alatas tidak membincangkan sebuah sekolah pemikiran, ideanya mengenai tradisi sains sosial mandiri telah mempengaruhi para sarjana selama dua generasi. Para sarjana Dunia Melayu seperti Chandra Muzaffar, Shaharuddin Maaruf, Syed Farid Alatas, Noor Aisha Abdul Rahman, Norshahril Saat, Azhar Ibrahim, dan Pradana Boy Zulian adalah sebahagian daripada pemikir yang mewakili Sekolah Ilmu Mandiri ini.

Kemudian, para sarjana muda generasi saya di Singapura, Malaysia, Indonesia dan sekitarnya sedang menerapkan tradisi kritikal ini dalam kesarjanaan mereka ketika melakukan pendidikan mereka.

Pengaruh pemikiran Alatas tidak terbatas kepada rantau ini. Sama seperti Sekolah Frankfurt dan Sekolah Chicago telah mempengaruhi para sarjana di luar Eropah dan Amerika Utara, begitu juga Sekolah Ilmu Mandiri telah mempengaruhi para sarjana di luar Dunia Melayu, seperti di Afrika dan Asia Selatan. Akhirnya, kita boleh mengatakan bahawa Sekolah Ilmu Mandiri mungkin satu-satunya sekolah pemikiran dalam ilmu kemanusiaan yang muncul di Dunia Melayu.

 

Imad Alatas adalah cucu Syed Hussein Alatas dan mahasiswa pascasarjana di Universiti Nasional Singapura.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.