
Nama yang kita beri kepada bidang kajian mencerminkan sikap kita terhadap kenyataan yang dikaji oleh bidang itu. Umpamanya, ada bidang ilmu ekonomi yang membincangkan persoalan ekonomi seolah-olah ada sesuatu kenyataan yang digambarkan oleh istilah “ekonomi”. Sebenarnya, ekonomi itu tidak wujud secara murni, terpisah daripada unsur-unsur sosial, budaya dan politik. Sebab itu, bidang yang mengkaji persoalan ekonomi pada kurun ke-19 dinamakan ekonomi politik. Itu lebih tepat dan sesuai kerana ekonomi itu merupakan sesuatu yang bersifat politik.
Begitu juga dengan ekologi. Ekologi atau alam sekitar kita tidak wujud dan berkembang terpisah daripada kegiatan dan keputusan politik manusia.
Ekologi atau persekitaran kita merangkumi pelbagai masalah seperti hakisan tanah, rampasan. Hutan, krisis tenaga, pencemaran air, laut, dan udara, hujan asid, greenhouse effect (kesan rumah hijau), pencemaran angkasa, pencemaran daripada pelbagai jenis toksin, masalah sampah, pencemaran radioaktif dan sebagainya. Maksud saya di sini bukan untuk membincangkan tentang setiap jenis masalah ekologi ini, tetapi untuk menghuraikan sifat hubungan ekologi dengan politik dan masyarakat.
Bumi kita ini sedang menghadapi cabaran ekologi yang mungkin akan menjadikannya tidak dapat didiami lagi. Ekologi kita sedang dimusnahkan atas nama pertumbuhan ekonomi dan perkembangan teknologi yang kita tidak dapat hentikan. Pertumbuhan ekonomi itu dijalankan oleh permintaan yang semakin bertambah, sedangkan penawaran untuk barang-barang dan perkhidmatan dipenuhi segolongan pemodal yang pada umumnya tidak mempedulikan alam sekitar. Jadi, masalah ekologi merupakan masalah sosial yang berdasarkan kepada hubungan manusia dalam pengurusan ekonomi nasional.
Bahan-bahan yang memainkan peranan aktif dalam pemusnahan bumi perlu dikawal. Di rantau Asia Tenggara, kelompok masyarakat yang paling mampu melaksanakan kawalan ini adalah pemerintah. Ekologi sebagai bidang yang mengkaji interaksi antara manusia dengan alam sekitar tidak bebas dari kuasa politik. Sebab itulah kita merujuk kepada bidang ini sebagai ekologi politik. Ini adalah sebagai pengakuan hubungan rapat antara ekologi dan politik.
Hubungan ini dapat difahami dari dua segi. Pertama, peranan pemerintah dalam perubahan ekologi dan kedua, kesan perubahan ekologi ke atas proses politik.
Sepanjang yang menyangkut masalah ekologi, ada dua jenis peranan pemerintah dalam proses pembangunan negara. Pertama adalah peranan pemerintah dalam pengaturan melalui dasar. Contohnya dasar kewangan, dasar fiskal, dasar cukai, dan pemberian konsesi dan sebagainya. Yang kedua adalah peranan pemerintah dalam menyediakan dana untuk penyelidikan dan pembangunan.
Pemerintah di kebanyakan negara Asia Tenggara masih menghadapi masalah dalam penguatkuasaan undang-undang dan peraturan berkaitan ekologi. Kadang-kadang ini disebabkan oleh kekurangan kerjasama antara jabatan alam sekitar dengan jabatan lain, agensi dan pemerintah negeri dan tempatan.
Di samping itu, di kebanyakan negara di Dunia Ketiga, jabatan alam sekitar hanya merupakan jabatan penasihat dan perkhidmatan dengan tenaga manusia serta bidang kuasa yang terhad.
Peranan teknologi dalam pembangunan ada kesannya juga di bidang ekologi. Ini merujuk kepada penggunaan teknologi bersih di sektor perkilangan. Teknologi bersih merujuk kepada kemampuan mengurangkan keluaran sisa dalam proses perkilangan. Teknologi seumpama ini memerlukan perbelanjaan tinggi untuk kegiatan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dapat disediakan oleh pemerintah.
Ekologi bukan hanya dipengaruhi faktor-faktor politik, malah ia sendiri menentukan sikap dan keadaan politik. Ini bergantung kepada sejauh mana masalah ekologi membawa kesan buruk kepada kelas bawahan dan orang miskin. Umpamanya, petani yang menghadapi ancaman kepada asas ekologi penghidupan mereka mungkin akan mengambil bahagian dalam tingkah laku politik untuk mendesak pemerintah supaya melakukan perubahan ekologi yang mengutamakan kepentingan kaum petani.
Peranan media dalam ehwal alam sekitar ada implikasi besar ke atas hubungan dua hala antara ekologi dan politik. Dalam melengkapkan orang ramai dengan maklumat dan membangkitkan kesedaran alam sekitar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, apakah media bebas dari kuasa dan kawalan politik dan korporat? Sebenarnya, laporan media tentang persoalan alam sekitar dihinggapi beberapa masalah yang dapat disenaraikan seperti berikut.
Prasangka dan ketidaktepatan
Golongan inteligensia, para profesional dan orang ramai semakin sedar bahawa media bukan hanya kurang tepat malah juga tidak objektif dalam penyampaian kenyataan. Kadang-kadang pemutarbelitan disengajakan, kadang-kadang ia disebabkan keadaan ideologi dalam mana para wartawan menjalankan tugas mereka.
Ini disebabkan oleh kenyataan bahawa media, pada umumnya, memandang pimpinan yang sedia ada sebagai keperluan yang amat mustahak bagi pemeliharaan orde ekonomi politik, dan menaruh lebih banyak kepercayaan dan memberi laporan yang lebih luas kepada pegawai negara, elit korporat, pemimpin agama dan profesor universiti dibandingkan dengan pengguna, mahasiswa, petani dan pembantah. Ini memang terbayang dalam penyataan bahawa media biasanya dikuasai pemerintah, parti atau elit korporat.
Pengiklanan
Media merupakan saluran yang amat penting untuk propaganda korporat. Umpamanya, pada tahun 70-an di Amerika Syarikat, industri memberi sambutan kepada keluasan kesedaran ekologi dengan memperuntukkan jutaan dolar untuk kempen propaganda supaya meyakinkan orang ramai bahawa usahawan AS memberi perhatian pada alam sekitar. Tetapi mereka tidak membelanjakan jutaan dolar untuk pengabadian dan pengawalan pencemaran.
Kesedaran orang ramai
Kesedaran orang ramai terhadap alam sekitar adalah sangat penting terutama sekali kerana kesannya kepada proses pembentukan dasar di negara demokratik. Tetapi, kesedaran orang ramai tentang alam sekitar dipengaruhi cara yang digunakan oleh media dalam mengumumkan sesuatu tentang alam sekitar. Umpamanya, berkenaan dengan aktivisme pro-ekologi media boleh mencelanya, mengabaikannya, ataupun mengisytiharkannya sebagai tidak berkaitan dengan kenyataan.
Ini akan meninggalkan kesan kepada kesedaran orang ramai dan menahan mereka dari mengambil tindakan politik. Dengan cara inilah media dapat membentuk pendapat orang ramai. Di samping itu, media juga mempunyai kemampuan mewujudkan imej pendapat orang ramai menurut laporannya tentang apa yang dipersembahkan sebagai pendapat orang ramai.
Propaganda
Adalah penting juga kecekapan media menggunakan fakta-fakta demi kepentingan elit berkuasa. Contohnya ialah penyiaran laporan televisyen satelit CNN tentang seekor burung yang telah basah kuyup oleh minyak, akibat daripada tumpahan minyak perbuatan Presiden Saddam Hussein dari Iraq semasa Perang Teluk. Kekejaman terhadap alam sekitar yang telah dilakukan oleh pihak lain tidak mempunyai akibat yang banyak sepanjang yang menyangkut kesedaran orang ramai. Ini disebabkan oleh tumpuan perhatian yang diberi oleh media.
Jika media tidak melapor tentang alam sekitar dengan tepat dan bebas daripada kawalan politik, orang ramai dan pemerintah tidak akan memperolehi maklumat benar. Ini akan mengakibatkan pembentukan dan pelaksanaan dasar-dasar ekologi yang salah.
Saya tidak mengusulkan bahawa media terdiri daripada wartawan yang tidak jujur dan kurang ikhlas. Tetapi, kita perlu menerima kenyataan bahawa media berjalan bawah desakan dan paksaan politik dan ideologi tertentu. Kita sepatutnya mempersoalkan sejauh mana media bebas daripada cengkaman politik tempatan dan antarabangsa.
Gerakan ekologi membawa kesan kepada bukan hanya alam sekitar, malah kepada proses demokratik juga, disebabkan oleh kemunculan pelbagai kumpulan pendesak pro-ekologi. Apakah gerakan ekologi akan mengakibatkan perubahan dalam media dan politik ke arah keterbukaan dan demokratisasi di Malaysia? Ini merupakan soal tekad politik.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.