Kalau sastera dibungkam, PEN ada

Kalau sastera dibungkam, PEN ada

Piagam PEN mengikrarkan "kesusasteraan akan terus hidup tanpa apa had serta terus kekal sebagai detak jantung penikmat sastera itu tanpa mengira apa pun perubahan politik di peringkat lokal mahupun antarabangsa".

Hujung November 2020 ini PEN Sejagat (PEN International) akan memulai langkah pertamanya di Malaysia. Langkah sulung ini dirasmikan dengan satu siri wacana sastera yang diberi nama Sembang Baharu. Acara ini akan bekerjasama dengan George Town Literary Festival secara dalam talian. Ia satu usaha pengenalan, yang mana PEN Sejagat akan membuka pusat atau cawangan baharunya, iaitu di Malaysia.

Namun apakah PEN Sejagat? Pernahkah anda mendengar mengenainya? Ia haruslah dilihat dengan hati-hati, dan tidak dikelirukan dengan sebuah lagi organisasi penulis tempatan iaitu PENA.

PEN Sejagat mempunyai matlamat yang kudus untuk melindungi sastera dan sasterawan dari gangguan kuasa. Untuk itu Piagam PEN mengikrarkan “kesusasteraan akan terus hidup tanpa apa had serta terus kekal sebagai detak jantung penikmat sastera itu tanpa mengira apa pun perubahan politik di peringkat lokal mahupun antarabangsa”.

Dalam erti kata lain PEN menegaskan, pembaca dan penghayat sastera mesti diberi izin untuk terus menikmati karya sastera sedia ada tanpa gangguan pemerintah atau kuasa lain.

Dalam hal ini PEN Sejagat meletakkan apa jua keadaan termasuklah kekacauan seperti rusuhan, pertukaran regim apatah lagi ancaman peperangan, tidak boleh menyekat perkembangan kerja seni yang dilihat sebagai satu “warisan kemanusiaan”.

Untuk menjadikan ini realiti, PEN Sejagat mendidik ahlinya agar memainkan fungsi mempengaruhi dengan bakat dan kebolehan berkarya mereka untuk mencapai apa juga persefahaman. Ini untuk memupuk rasa hormat supaya kebencian atas nama apa pun dapat dibasmi. Tidaklah kehairanan kerana keinginan untuk mengutus mesej perdamaian dan kecintaan atau kasih sayang sesama umat manusia adalah mesej sebenar sesebuah kesusasteraan yang unggul. Ia juga untuk memastikan seluruh manusia dapat hidup aman bersama secara setara.

Beberapa tahun lalu apabila 7 karya saya dilarang dan suara saya dibungkam dengan alasan mengganggu kestabilan awam, saya mengharapkan PENA bersuara untuk saya. Malangnya PENA tidak berkutik. Saya harus mencari sokongan PEN di mana Yayasan Sasakawa menerbangkan saya ke Tokyo untuk bertemu dengan orang kuat PEN Sejagat yang juga merupakan tokoh terkemuka PEN Jepun.

PEN Sejagat menggariskan tekad untuk kekal menyokong apa sahaja gagasan idea serta menentang “sebarang bentuk penindasan khususnya terhadap kebebasan bersuara di dalam masyarakat setempat, mahupun di seluruh dunia”. PEN juga memperjuangkan kebebasan media dan menolak keras sebarang penapisan atau sensor. PEN percaya kestabilan politik dan kepesatan ekonomi sejagat, hanya dapat dicapai apabila wacana kritik ke atas pemerintah, dan kuasa dunia lainnya diimbangi dengan dialog, atau dengan wacana balas. PEN juga melawan sebarang kebebasan media berupa kebencian, penerbitan bahan, atau berita palsu apatah lagi fakta yang diputar belit demi meraih agenda politik mahupun peribadi.

Piagam PEN Sejagat ini menjadi rujukan dan faktor pemersatu selain memberikan ilham kepada kaum sasterawan sejak penubuhan PEN pada 1921. Piagam PEN yang saya sentuh di atas akhirnya diterimapakai pada 1948 menerusi satu Persidangan PEN yang dianjurkan di Copenhagen, Denmark.

Pemimpin pertama PEN adalah novelis dan penulis naskah pentas British bernama John Galsworthy. Beliau bertanggungjawab mengarang mercu tanda PEN ini. Saranan yang diketengahkan Galsworthy ini diluluskan sebulat suara dalam Persidangan PEN di Brussels pada 1927, dan tunjang PEN ini kekal menjadi satu monumen dan bahagian daripada Piagam PEN Sejagat.

Namun satu detik yang paling membingungkan terjadi apabila PEN perlu menentukan sikap di tengah-tengah kebangkitan Nazisme di Jerman. Kemunculan Parti Nazi mendorong pemerintah dan kelompok kanan ini membakar ribuan naskah buku dengan alasan karya itu “kotor” semata-mata kerana karya tersebut menentang gagasan mereka. Ketika Persidangan di Dubrovnik, presiden PEN ketika itu, HG Wells, menjadikan saranan yang dibawa oleh Galsworthy sebagai jawapan balas terhadap tindak tanduk Nazi itu.

Saat itu, Persidangan PEN meledak menjadi panas apabila delegasi dari Jerman yang terpengaruh oleh agenda Nazi berusaha menghalang Ernst Toller, seorang dramatis Yahudi-Jerman yang hidup dalam buangan daripada menyampaikan pandangannya. Akan tetapi, kaum sasterawan bertegas untuk memilih mempertahankan Piagam PEN sejagat lantas mendorong perwakilan Jerman untuk keluar dari persidangan dan menarik diri dari PEN. Keadaan ini berterusan sehinggalah selepas Perang Dunia II.
Kejutan di atas menyebabkan para sasterawan di Barat berhimpun di Stockholm, di mana dalam persidangan pertama selepas perang dunia pada 1946, PEN cawangan Amerika Syarikat dan Inggeris bergabung tenaga untuk mengusulkan 2 lagi resolusi.

Pertama, mereka mendesak ahli-ahli PEN agar “menunjangi gagasan menjuarai kemanusiaan yang aman makmur”; serta keduanya menolak sebarang sensor, apatah lagi pengharaman buku. Perbahasan mengenai 2 perkara ini berterusan ketika persidangan di Zurich tahun berikutnya yang mujur berpenghujung dengan semua ahli menerima 2 buah fikir di atas dan mengemukakannya ke dalam Piagam PEN.

Satu lagi perkembangan besar ialah apabila pada 2017, dalam Persidangan ke-83 di Lviv, Ukraine, Artikel 3 Piagam PEN diperkasakan dengan memberi batasan bahawa apa jua bentuk karya yang mendorong “kebencian” perlu ditentang oleh ahli-ahli PEN. Ini termasuklah sebarang bumbu kebencian terhadap kaum, darjat, dan bangsa.

PEN sejagat kemudiannya turut berikrar untuk melindungi kaum penerjemah karya. PEN misalnya menggunapakai sumber hak asasi manusia bahawa pengarang berhak memilih untuk berkarya dalam bahasa apa pun dan tidak harus dihalang. Manakala PEN turut melindungi pengarang wanita yang sering berdepan dengan sekatan, diskriminasi, dan gangguan daripada pemerintah kuku besi.

Kehadiran cawangan PEN International di negara ini membawa jenama PEN Malaysia merupakan satu detik penting yang segar untuk pengarang di Malaysia, baik mereka menulis dalam bahasa apa pun.

Maka mulai 26 Nov sehingga 28 Nov ini, PEN Malaysia berhasrat untuk menerokai kemungkinan bertapak di negara ini. Pada 26 Nov satu acara dalam talian bertajuk “Kalau Sastera Bungkam, Bagaimana Saya Akan Bicara? Satu Penerokaan Ikrar PEN Sejagat” (8.30 malam) akan ditampilkan dengan panel pengarang yang terdiri daripada Bernice Chauly, Jaymani Sevanathan, dan Kulleh Grasi.

Tiga orang penyair ini akan membincangkan bagaimana sastera merentas sempadan dan menjadi modal seni untuk kemanusiaan di celah krisis dan goncangan politik. Ketiga-tiga karyawan ini akan cuba meluahkan bagaimana sastera itu dapat menjadi manifestasi seni dan wacana intelektual buat semua umat manusia. Mereka akan melihat membahaskan dalam dunia penuh kebimbangan oleh pandemik, gasakan kuasa, dan kemerosotan hak asasi manusia, bagaimanakah agaknya pengarang akan kekal bersuara jika dibungkam?

Hari berikunya pada 27 Nov, satu acara dalam talian lain dengan tajuk “The Politics, Poetics and Rituals of Translation” (8.30 malam) akan menampilkan penterjemah dari IBDE, Al-Mustaqeem M Radhi, Chiew Ruoh Peng, Adriana Nordin Manan, dan Jo Kukathas yang akan dikendalikan oleh Fahmi Mustaffa. Chiew Ruoh Peng pernah menterjemahkan tulisan saya di pojok FreeMalaysiaToday ini dengan judul “Cina Gemuk Belakang Rumah” ke bahasa Mandarin.

Acara terakhir pada 28 Nov (juga 8.30 malam) akan didedikasi khas untuk karyawan wanita dengan menampilkan dramatis Ann Lee, Carol Koh, Julya Oui, Siti Rahayu Baharin (antara pengasas MUDA) dan Sreedhevi Iyer. Acara ini akan dipimpin oleh Melizarani T Selva.

Semua acara ini akan boleh diikuti secara langsung menerusi Facebook PEN Malaysia dan George Town Literary Festival (GTLF). Masyarakat sastera baik penulis, penerjemah, dan penerbit diundang untuk bersama-sama mencipta sejarah kehadiran pertama PEN Sejagat menerusi pusat atau cawangan Malaysia ini.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.