Turun naik OPR ujian jitu keikhlasan, keupayaan kerajaan PN

Turun naik OPR ujian jitu keikhlasan, keupayaan kerajaan PN

Sekiranya kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin gagal mempengaruhi keputusan BNM menurunkan OPR hari ini, apakah mereka mempunyai keupayaan mendapatkan sokongan ahli Parlimen untuk meluluskan Belanjawan 2021?

Walaupun seluruh dunia menanti permulaan proses mengundi untuk Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat hari ini, rakyat Malaysia seharusnya menumpukan perhatian kepada mesyuarat penting yang hanya berlaku setiap 2 bulan di Bank Negara (BNM).

Malah pada hemah penulis, keputusan BNM hari ini terhadap apa-apa perubahan kepada kadar dasar semalaman (OPR) merupakan ujian jitu pertama terhadap keikhlasan dan keupayaan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tidak terlalu ramai rakyat yang menyedari setiap 2 bulan, OPR boleh diturunkan, dinaikkan atau dikekalkan BNM.

Mesyuarat itu penting bukan saja untuk diperhatikan institusi kewangan dan perniagaan besar, tetapi turut memberi kesan kepada rakyat jelata. Ini kerana perubahan OPR memberi kesan kepada naik turun kadar pinjaman bank dan semua institusi kewangan.

Maka, dengan penularan Covid-19 sehinggakan Yang di-Pertuan Agong menitahkan perlunya Parlimen meluluskan Belanjawan 2021 yang menumpukan kelangsungan hidup, termasuk dalam pemulihan ekonomi, penetapan OPR pada hari ini jelas ujian pertama kerajaan PN.

Penurunan OPR akan memberi panduan jelas kepada institusi kewangan di Malaysia untuk mempertimbangkan penurunan kadar pinjaman kepada pelanggan. Ia sekaligus membuka ruang untuk pinjaman baru diluluskan, yang secara teorinya memudahkan kelayakan meminjam dengan penurunan kadar bayaran balik bulanan.

Oleh itu, sekiranya kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin gagal mempengaruhi keputusan BNM menurunkan OPR hari ini, apakah mereka mempunyai keupayaan mendapatkan sokongan ahli Parlimen untuk meluluskan Belanjawan 2021?

Malah, pasti akan ada yang bakal mempersoalkan keikhlasan kerajaan PN dalam usaha ini, padahal kadar OPR Malaysia sekarang pada tahap 1.75%, boleh dikatakan masih tinggi berbanding negara lain.

Negara lain, khasnya negara anggota Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), termasuk Singapura, kini mengamalkan atau di ambang mengamalkan kadar negatif.

Ramai yang dirujuk penulis berpendapat, BNM bersedia menurunkan OPR, mungkin lebih mendadak sebanyak 0.5%, namun kemungkinan lebih besar ialah sekadar 0.25% buat kali ini kepada 1.5%, berdasarkan trend keputusan BNM sejak penularan Covid-19.

Bagaimanapun, ramai yang runsing dengan desas-desus BNM mungkin mengekalkan OPR 1.75% seperti yang diputuskan pada mesyuarat September lalu atas alasan Covid-19 di Malaysia mula reda, sedangkan ekonomi, khasnya kedudukan kewangan rakyat masih parah.

Maka, menjadi harapan rakyat yang menyedari kepentingan keputusan hari ini untuk OPR diturunkan. Malah, ia seharusnya dilihat sebagai penurunan pertama yang memulakan rentetan penurunan OPR, yang pada hemah penulis seharusnya disasarkan kepada paras 0.5% menjelang pertengahan hingga akhir 2021 demi kelangsungan hidup rakyat. Inilah cabaran keikhlasan dan keupayaan kerajaan PN menjelang Belanjawan 2021.

 

Akhramsyah Sanusi ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.