Bayi kembar melekat di belakang kepala bertemu selepas setahun bersama

Bayi kembar melekat di belakang kepala bertemu selepas setahun bersama

Pembedahan luar biasa itu membabitkan pakar pembedahan dari Israel dan luar negara.

Pembedahan selama 12 jam yang berlangsung di Soroka Medical Centre di bandar Beersheba itu mengambil masa berbulan-bulan untuk dirancang.

Bayi kembar perempuan yang melekat di belakang kepala sejak dilahirkan setahun lalu akhirnya bersemuka selepas berjaya melalui satu pembedahan pemisahan luar biasa di Israel.

Pembedahan selama 12 jam yang berlangsung di Soroka Medical Centre di bandar Beersheba itu mengambil masa berbulan-bulan untuk dirancang.

Persediaan untuk pembedahan luar biasa yang cukup rumit itu juga termasuk penyediaan graf kulit kepala kedua-dua bayi itu.

Ia turut membabitkan puluhan pakar bedah dari Israel dan dari luar negara.

Difahamkan kedua-dua bayi perempuan yang dirahsiakan identitinya itu kini melalui proses pemulihan dengan baik.

“Mereka kini mampu bernafas dan makan sendiri,” kata Ketua Jabatan Pembedahan Plastik Soroka, Eldad Silberstein kepada Channel 12 News Israel.

Pembedahan ini adalah yang pertama seumpamanya di Israel dan pernah dilaksanakan hanya 20 kali di seluruh dunia.

Beberapa bulan sebelum pembedahan, beg silikon yang boleh mengembung dimasukkan ke dalam kepala mereka dan dikembungkan secara berkala untuk meregangkan kulit.

Kulit baru itu kemudiannya digunakan untuk menutup kepala mereka selepas tengkorak dibina semula.

Persediaan prosedur tersebut juga termasuk membangunkan satu model realiti maya 3D bayi kembar tersebut, kata Ketua Bedah Saraf Soroka, Mickey Gideon.

“Kami bertuah kerana semuanya berjalan seperti yang diharapkan,” tambahnya.

Kedua-dua bayi perempuan yang dilahirkan pada Ogos 2020 itu dijangka akan menjalani kehidupan yang normal sepenuhnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.