
Mengulas mengenai laporan terbaharu di mana Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata 400 pakar psikiatri di negara ini hanyalah 10% daripada nisbah 1:10,000 pakar kepada pesakit yang disarankan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dua pakar psikiatri memberitahu FMT bahawa isu ini sudah lama berlaku dan kini diburukkan lagi oleh wabak Covid-19.
Perunding psikiatri Dr Philip George berkata, bidang psikiatri dihantui “banyak prejudis, tabu dan stigma”, daripada ahli keluarga juga fraterniti penjagaan kesihatan secara keseluruhannya.
“Bukan mudah mencari seseorang yang benar-benar berminat mendalami bidang psikiatri,” kata George, yang juga ketua Jabatan Psikiatri di International Medical University.
“Ada yang menganggap pakar bedah lebih penting dan pakar psikiatri statusnya lebih rendah. Ini adalah persepsi.
“Imbuhan diterima lebih rendah berbanding bidang lain (dan) psikiatri memerlukan kerja keras individu. Pekerjaan ini juga memberi tekanan dalam pelbagai cara,” katanya sambil menyebut kajian di Amerika Syarikat yang mendapati kadar bunuh diri tinggi dalam kalangan pakar psikiatri.
George berkata, ketiadaan penekanan mengenai bidang psikiatri di peringkat ijazah sarjana muda sebelum ini menyebabkan minggu pengajian dalam bidang berkenaan “sangat berkurangan” berbanding bidang lain.
Beliau menyeru agar bidang psikiatri diwajibkan bagi penempatan latihan praktikal, yang katanya berupaya membawa “perubahan besar” dalam menarik minat lebih ramai menceburkan diri dalamnya.
Beliau juga berharap lebih banyak peluang dan imbuhan lebih baik tersedia agar negara tidak kehilangan bakat-bakat dalam bidang ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia Hazli Zakaria, yang turut berkongsi pandangan sama, menambah jika diteliti kepakaran yang tinggi ganjaran kewangannya, bidang psikiatri tidak dilihat sebagai “menarik”.
Katanya, didorong kekurangan tenaga kerja, pakar psikiatri di negara ini terpaksa menumpukan kepada rawatan berbanding pemulihan, rehabilitasi dan kesedaran mengenai kesihatan mental.
“Ideanya adalah, jika kita dapat fokus kepada usaha mengenal pasti punca daripada awal, kita mampu mengurangkan bilangan orang yang mengalami masalah kesihatan mental yang serius.
“Namun, disebabkan stigma (berkenaan kesihatan mental) dan sumber yang terhad, kita gagal menyediakan penjagaan optima,” katanya.
Beliau berkata, satu daripada empat orang di dunia mengalami masalah mental pada satu masa dalam hidup mereka, dan di Malaysia, sudah ramai rakyat yang ada masalah sebegini sebelum wabak melanda.
Menyentuh mengenai peningkatan laporan membabitkan kegelisahan, tekanan dan bunuh diri semasa wabak, Hazli berkata, Covid-19 menunjukkan negara ini tidak mampu menangani peningkatan kes-kes sedemikian.
“Wabak ini merungkai kemampuan yang tidak memadai dalam apa yang selama ini tidak kita pedulikan – tindak balas terhadap masalah mental.
“Ini sepatutnya menyedarkan negara supaya meletakkan kepentingan kesihatan mental dan fizikal dengan setara,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected].