Kelemumur & Psoriasis kulit kepala: Nampak sama, tapi tak serupa! Ini bezanya

Kelemumur & Psoriasis kulit kepala: Nampak sama, tapi tak serupa! Ini bezanya

Kulit kepala yang gatal dan berkuping, mungkin disebabkan kelemumur atau lebih serius seperti psoriasis, kondisi yang menyebabkan kemerahan pada kulit kepala dan sukar dicegah.

Kehadiran kelemumur boleh menjadi tidak selesa atau memalukan namun psoriasis adalah lebih kronik. (Gambar Rawpixel)

Kita dengan mudah dapat mengecam jika seseorang itu mengalami kelemumur dengan memerhatikan kepingan putih di kulit kepalanya.

Tetapi bagaimana jika serpihan itu beserta tompokan bersisik merah? Adakah itu psoriasis kulit kepala atau hanya gejala yang berkaitan dengan kelemumur?

Sekiranya kulit kepala terasa gatal dan berkuping, doktor akan dapat membezakan sama ada gejala tersebut dipicu oleh kelemumur atau masalah yang lebih serius seperti psoriasis, kondisi yang menyebabkan kemerahan pada kulit kepala.

Sebaik sahaja anda memperoleh diagnosis yang tepat, penyebab dan simptomnya pasti dapat diatasi!

Kami di Hello Doktor akan berkongsi cara untuk membezakan kelemumur dan psoriasis kulit kepala; gejala, punca dan pilihan rawatannya, jom baca!

Kelemumur, kenal lebih lanjut!

Kelemumur adalah masalah kulit kepala yang biasa berlaku dan selalunya tidak perlu dirisaukan.

Anda mungkin melihat kepingan berwarna putih atau kuning yang jatuh daripada kulit kepala dan menempel pada rambut atau pakaian. Ia turut menyebabkan kegatalan.

Ada beberapa perkara boleh menyebabkan masalah ini:

1. Dermatitis seborrheic: Kondisi ini akibatkan kulit kepala berkuping yang berminyak, gatal, dan terengsa. Ia juga boleh berlaku di kening, pangkal paha, atau bahkan pada bulu dada anda.

2. Dermatitis kontak: Produk penjagaan rambut seperti syampu, gel, atau pewarna boleh merengsakan kulit kepala dan menyebabkan kemerahan, gatal-gatal, dan berkeruping.

3. Kulat yang disebut sebagai malassezia adalah kulat yang tumbuh subur pada minyak di kulit kepala anda.

4. Sekiranya rambut jarang dicuci, kulit yang berminyak boleh mengelupas.

5. Kulit kering boleh menyebabkan serpihan kecil di kulit kepala. Anda juga cenderung mempunyai kulit kering di seluruh badan.

6. Hormon lelaki: Lelaki lebih cenderung mengalami kelemumur berbanding wanita.

7. Individu dengan sistem imun yang tidak dapat melawan penyakit, seperti penderita HIV, lebih cenderung mendapat kelemumur.

Seperti yang anda sedia maklum, masalah kulit kepala ini biasanya tidak serius. Ia juga bukan bersifat berjangkit, namun kehadirannya boleh menjadi tidak selesa atau memalukan.

Seterusnya, psoriasis kulit kepala

Psoriasis berupaya mempengaruhi kulit kepala anda, dan tompokan bersisik merah boleh menyebabkannya berbentuk kepingan seakan kelemumur.

Pun begitu, ada bezanya kerana:

1. Ia adalah kronik: Psoriasis biasanya berlangsung lebih lama manakala kelemumur bersifat datang dan pergi.

2. Lebih cenderung untuk bersisik daripada mengelupas: Psoriasis bertahap ringan mempunyai fizikal tompok-tompok bersisik, keperakan atau seakan serbuk bedak yang mungkin muncul dalam kepingan kecil. Jenis yang parah pula adalah lebih serius dengan gejala kemerahan beserta kesakitan.

3. Ia mungkin merebak: Tompok psoriasis boleh merebak dan melewati garis rambut anda lalu ke dahi, belakang leher, atau kulit di sekitar telinga. Anda juga mungkin mempunyai tompokan psoriasis di bahagian badan yang lain, seperti siku, kaki, telapak tangan, atau belakang badan.

4. Merupakan penyakit autoimun: Psoriasis dipicu oleh sistem ketahanan badan anda; sel darah putih yang seharusnya melawan penyakit, bertindak menyerang sel kulit sendiri.

Boleh dicegah atau tidak?

Kelemumur

Berita baik, kelemumur biasanya dapat dicegah! Mengamalkan syampu kelemumur setiap hari sudah cukup untuk mengelakkan ia daripada terbentuk.

Menjaga kebersihan rambut anda, secara umum adalah idea yang baik. Ini kerana minyak dan kotoran berisiko terkumpul di kulit kepala lantas menyebabkan kulit kepala menjadi kering.

Bukan itu sahaja, menyikat rambut juga dapat bantu mengelakkan minyak terkumpul pada kulit kepala.

Psoriasis

Malangnya, hingga kini masih belum ada cara untuk mencegah psoriasis.

Ia boleh terbentuk pada sesiapa sahaja, tanpa mengira usia. Tapi ia jarang berlaku dalam kalangan kanak-kanak.

Kondisi ini juga selalunya muncul antara usia 15 dan 35 tahun, namun ia masih boleh terjadi pada usia berapa pun.

Kelemumur dan psoriasis, apa pilihan rawatan?

Untuk psoriasis kulit kepala:

Kondisi ini boleh dirawat dengan krim topikal, salap, atau buih yang bertindak melambatkan pembentukan kulit dan menenangkan tompok-tompok merah yang meradang di kulit kepala.

Produk-produk perubatan ini mungkin mengandungi vitamin atau steroid (ubat anti radang kuat) untuk mengawal keradangan.

Cahaya UV turut digunakan dalam beberapa kes untuk merawat psoriasis, selain remedi Ayurveda.

Buat masalah kelemumur pula:

Kelemumur ringan biasanya sudah dapat dirawat dengan syampu biasa.

Bagi kelemumur teruk, pertimbangkan syampu yang mengandungi salah satu daripada bahan berikut:

  • Selenium sulfida
  • Coal tar
  • Asid salisilik
  • Zink pyrithione
  • Ketoconazole

Peringatan! Coal tar boleh menyebabkan perubahan warna rambut dan menjadikan kulit kepala lebih sensitif terhadap sinaran matahari. Pastikan anda merujuk doktor sebelum menggunakannya.

Temui doktor sekiranya…

Gejala kelemumur anda tidak pulih walaupun sudah menggunakan syampu antikelemumur selama lebih daripada sebulan.

Doktor bakal memeriksa kepingan kulit kecil daripada kulit kepala anda di bawah mikroskop, lalu menghantarnya ke makmal.

Sekiranya psoriasis disertai gejala lain seperti bengkak, sakit dan kekejangan pada sendi, anda mungkin memerlukan bantuan doktor. Lebih baik didiagnosis sebelum keadaan bertambah buruk.

Semoga tiada lagi kekeliruan antara kelemumur dan psoriasis, walaupun kedua-duanya berkongsi gejala kulit kepala berkeruping.

Sekiranya rawatan di kaunter tidak berkesan, pakar dermatologi akan menjalankan pemeriksaan teliti untuk mengenal pasti punca dan memberikan ubat yang bersesuaian.

Artikel ini telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.