Lelaki tinggi hormon testosteron kurang pemurah, pentingkan diri sendiri?

Lelaki tinggi hormon testosteron kurang pemurah, pentingkan diri sendiri?

Kajian membuktikan paras hormon testosteron ada kaitan dengan sifat pemurah dan pentingkan diri sendiri.

Kajian mendapati paras hormon testosteron yang tinggi boleh menyebabkan lelaki pentingkan diri sendiri. (Gambar Rawpixel)

Lelaki yang mempunyai paras hormon testosteron tinggi dikatakan kurang pemurah dan cenderung bersikap pentingkan diri sendiri, kata satu kajian.

Daily Mail melaporkan, pakar psikologi dari China dan Switzerland melakukan kajian itu berdasarkan aktiviti otak responden lelaki ketika mereka melakukan tugas memilih antara sifat pemurah dan pentingkan diri sendiri.

Pasukan doktor itu kemudiannya mendapati lelaki yang diberi hormon testosteron tambahan, kira-kira tiga jam sebelum melakukan tugas itu lebih pentingkan diri sendiri.

Hormon itu dikesan melumpuhkan aktiviti di bahagian otak yang membabitkan pertimbangan terhadap kebajikan orang lain.

Kajian itu dilakukan oleh pakar psikologi, Jianxin Oua dari Universiti Shenzhen China dan beberapa rakan doktornya.

“Hormon testosteron dikaitkan dengan kelakukan agresif pada haiwan dan manusia.

“Di sini kita menunjukkan terdapat kaitan antara peningkatan paras hormon testosteron dan sikap pentingkan diri sendiri dalam membuat keputusan berkaitan ekonomi dan mengenal pasti mekanisme saraf di mana hormon itu boleh menjadikan mereka kurang pemurah,” tulis penyelidik dalam kertas kajian mereka.

Kajian itu membabitkan seramai 58 lelaki yang dibahagikan kepada dua kumpulan di mana salah satunya diberi gel testosteron manakala satu lagi kumpulan diberi gel placebo diperbuat daripada air dan alkohol.

Selepas tiga jam tempoh berehat, responden melakukan imbasan MRI dan aktiviti otak mereka diukur ketika melakukan tugas ditetapkan dikenali sebagai ‘social discounting’.

Ini termasuk memberi pertimbangan terhadap mereka dari pelbagai jarak sosial iaitu keluarga, kenalan hingga orang asing.

Setiap responden diberi pilihan sama ada mereka lebih suka mengambil wang yang diberikan untuk diri mereka (pilihan pentingkan diri sendiri) atau jumlah wang lebih kecil di mana mereka turut diberi wang (pilihan pemurah).

“Kami dapati paras hormon testosteron yang tinggi boleh menyebabkan lelaki cenderung memilih pentingkan diri sendiri terutama membabitkan individu yang mempunyai hubungan lebih jauh,” rumus penyelidik itu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.