Pakai seluar “fit” boleh buat sperma lelaki kurang subur, betul ke?

Pakai seluar “fit” boleh buat sperma lelaki kurang subur, betul ke?

Dikatakan, antara punca ketidaksuburan lelaki adalah disebabkan oleh gaya hidup termasuklah pemakanan yang tidak sihat dan pemakaian seluar yang terlalu ketat.

Seluar yang mempunyai potongan slim fit mungkin akan membuat anda nampak lebih trendy, namun, masih ada risikonya. (Gambar Rawpixel)

Zaman sekarang, fesyen atau stail ‘hipster’ telah menjadi trend golongan lelaki muda. Antara ciri utama pemakaian gaya ini adalah baju dan seluar yang memiliki potongan slim fit. Namun, ada ura-ura yang mengatakan bahawa pakai seluar ketat boleh buat lelaki kurang subur. Betul ke?

Lelaki dan ketidaksuburan

Setiap kali berbicara tentang ketidaksuburan pasangan suami isteri, sudah pasti wanita yang banyak dipersalahkan. Namun, kajian menunjukkan bahawa ia juga sebenarnya adalah berpunca daripada lelaki.

Menurut Pakar Perunding Kanan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Datuk Dr Zainul Rashid Mohd Razi, tahap kesuburan lelaki secara purata menunjukkan penurunan yang agak ketara.

Beliau turut menyatakan bahawa punca ini berlaku adalah disebabkan oleh gaya hidup semasa yang semakin berubah termasuklah bab pemakanan yang tidak sihat dan pemakaian seluar yang terlalu ketat.

Persoalannya, apa kaitan seluar slim fit dengan ketidaksuburan lelaki?

Mengapa seluar ketat boleh buat lelaki kurang subur?

Laman sesawang Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan United Kingdom (NHS) pula menyatakan bahawa pemakaian seluar slim fit boleh mengakibatkan suhu testis meningkat sehingga 1 darjah celsius. Jadi, ia mungkin merupakan salah satu daripada punca lelaki menjadi kurang subur.

Kenyataan ini turut disokong oleh seorang pakar perubatan. Beliau menyatakan bahawa pemakaiannya seluar yang terlalu ketat akan menyebabkan testis melekat dan terperap lalu menyebabkan suhunya menjadi panas.

Jadi, beliau menyarankan lelaki untuk tidak memakai seluar slim fit bagi mengelakkan perkara ini menjadi lebih teruk. Selain itu, beliau turut mencadangkan untuk lelaki menyejukkan testis mereka menggunakan pek ais setiap kali sebelum bersama isteri.

Sebenarnya, pemakaian seluar yang terlalu ketat mungkin merupakan salah satu daripada punca ketidaksuburan lelaki. Pun begitu, ia tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana terdapat banyak lagi punca lain seperti pemakanan, kecacatan genetik, kekurangan hormon testosteron dan beberapa kondisi kesihatan yang lain.

Pun begitu, lebih baik mencegah sebelum parah, bukan?

Konklusi

Kesimpulannya, seluar yang mempunyai potongan slim fit mungkin akan membuat anda nampak lebih trendy. Namun, masih ada risikonya. Jadi, tidak salah untuk bergaya hipster ala-ala Wak Doyok, cuma elakkan daripada kerap memakai seluar slim fit ini ya!

Artikel ini telah disiarkan di Hello Doctor. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.