Rawat mata dengan uncang teh

Rawat mata dengan uncang teh

Teh selain sedap diminum, uncangnya juga mempunyai pelbagai manfaat untuk kesihatan mata seperti mengurangkan bengkak, mencerahkan lingkaran bawah mata dan lain-lain.

Uncang teh mengandungi khasiat yang boleh merawat mata. (Gambar Rawpixel)

Jika anda penggemar teh, jangan dibuang uncangnya. Basuh dan gunakan sebagai rawatan mata. Tetapi perlu diingat, jangan pakai sebarangan uncang, sebaiknya gunakan uncang teh hitam, teh putih atau teh hijau. Anda juga boleh menggunakan teh herbal seperti teh chamomile, teh melati dan teh daun pudina.

Cuba lihat beberapa manfaat uncang teh untuk rawatan mata:

1. Kurangkan mata bengkak

Kandungan flavonoid, iaitu salah satu antioksidan dan tanin dalam teh hitam dan teh hijau memiliki kesan positif untuk mata bengkak. Kandungan tersebut juga membantu menjaga kulit di sekitar mata agar kekal tegang.

2. Bantu sembuhkan mata merah

Teh calendula dan teh chamomile memiliki potensi meredakan gejala mata merah. Teh ini dapat membantu menghilangkan lebihan cairan yang mengalir dari mata, sekaligus mengurangkan pembengkakan dan iritasi.

Sementara teh hijau memiliki khasiat antimikroba yang boleh menangkis bakteria yang menyebabkan iritasi dan kemerahan.

3. Cerahkan lingkaran hitam

Kurang tidur biasanya akan menyebabkan muncul lingkaran hitam di sekitar mata. Lingkaran hitam atau mata panda ini tentunya mengganggu penampilan.

Menggunakan teh hitam atau teh hijau yang mengandung kafein boleh melancarkan kembali pembuluh darah sekitar mata dan mencerahkan lingkaran hitam yang muncul.

4. Meredakan bintil pada mata

Bintil biasakanya akan muncul di tepi pelupuk mata. Teh hitam dan teh chamomile boleh membantu mengubati bintil tersebut. Sifat antibakteria yang dimilikinya juga membantu iritasi mata.

5. Mengatasi gejala “rosacea” pada mata

Penyakit “rosacea” adalah penyakit kulit kemerahan atau benjolan seperti jerawat yang kadang-kala mengandungi nanah. Menggunakan teh lavender, teh chamomile, dan teh hijau dapat mengurangkan gejala “rosacea”.

6. Melembapkan mata kering

Mata kering sering terjadi kepada mereka yang bekerja di dalam ruang berhawa dingin, memandang skrin komputer terlalu lama atau sering menaiki motosikal.

Teh hitam dapat membantu mengekalkan lembapan mata dan mengurangkan gejala mata kering.

7. Mengatasi mata lebam

Lebam atau bengkak pada mata boleh diubati dengan teh lavender dan teh chamomile. Teh tersebut membantu meredakan perdarahan dalaman serta menenangkan kulit iritasi dan meredakan rasa sakit.

Cara menggunakan:

  1. Ambil uncang yang telah digunakan, perah airnya.
  2. Sejukkan atau masuk ke dalam peti sejuk. Biar selama 10 hingga 20 minit.
  3. Kemudian letakkan uncang pada mata yang tertutup sambil lakukan urutan lembut sekitar mata. Lakukan selama 15 hingga 30 minit.
  4. Setelah itu cuci mata dengan bersih.

Harus diingat!

  1. Jangan gunakan uncang yang panas.
  2. Mata adalah kawasan sensitif, pastikan uncang dan tangan anda bersih sebelum rawatan.
  3. Gunting tali uncang dan pastikan tiada ubat stapler pada uncang.
  4. Jangan gosok atau sentuh mata semasa proses rawatan sedang dilakukan.
  5. Jika terasa gatal atau panas, hentikan rawatan.

Walaupun beberapa jenis teh yang telah disebutkan di atas memiliki kandungan yang mampu mengatasi gangguan pada mata, penyelidikan lebih lanjut masih diperlukan.

Sekiranya masalah mata berada pada tahap yang teruk, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu untuk menghindari kesan sampingan yang tidak diingini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.