Lelaki juga alami menopaus?

Lelaki juga alami menopaus?

Andropaus berlaku akibat dari pengurangan hormon testosterone yang turut berkaitan dengan peningkatan usia seorang lelaki.

Semakin meningkat usia seorang lelaki itu, tahap testosteron akan menurun secara beransur-ansur. (Gambar Rawpixel)

Kesan perubahan hormon atau menopaus, mungkin selama ini ramai yang menyangka hanya wanita sahaja yang akan mengalaminya. Tetapi terdapat kajian yang mengatakan bahawa lelaki turut berdepan simptom perubahan hormon atau dikenali sebagai andropaus.

Apa itu andropaus?

Andropaus berlaku akibat dari pengurangan hormon testosterone yang turut berkaitan dengan peningkatan usia seorang lelaki. Testosteron bertanggungjawab kepada perubahan suara, jisim otot, pertumbuhan rambut pada muka dan tubuh pada lelaki.

Apabila seorang individu lelaki semakin meningkat usia, tahap testosteron akan menurun secara beransur-ansur dan kesannya akan muncul simptom pada aspek fizikal dan psikologi.

Perubahan hormon adalah satu proses penuaan semulajadi. Walau bagaimana pun, perubahan hormon yang berlaku mungkin tidak dramatik seperti yang berlaku ke atas individu wanita. Dianggarkan bahawa testosteron berkurangan hampir 10% setiap dekad selepas lelaki mencapai usia 30 tahun.

Individu yang mengalami andropaus mungkin mempunyai beberapa simptom berkaitan dan berisiko berdepan dengan masalah kesihatan yang lebih serius seperti osteoporosis sekiranya tidak diberi rawatan yang sewajarnya.

Simptom

Walaupun simptom yang dihadapi mungkin berbeza bagi setiap individu, beberapa simptom fizikal, seksual dan psikologi umum yang mungkin dialami apabila berdepan masalah andropaus adalah seperti:

  • Kelesuan, kurang tenaga
  • Keletihan, sukar untuk fokus
  • Kemurungan, kesedihan
  • Masalah seksual seperti hilang keinginan seksual, sukar untuk ereksi
  • Perubahan emosi, hilang motivasi
  • Kehilangan jisim otot, kekuatan tubuh
  • Peningkatan berat badan
  • Keyakinan diri berkurangan
  • Sukar untuk tidur, insomnia

Tidak seperti menopaus wanita, apabila pengeluaran hormon terhenti sepenuhnya, penurunan hormon testosteron pada lelaki berlaku secara perlahan-lahan. Testis, tidak seperti ovari, tidak akan berhenti menghasilkan testosteron. Individu lelaki yang sihat, mungkin masih dapat menghasilkan sperma pada usia 80 tahun atau lebih dari itu.

Namun, jika seseorang individu lelaki itu mengalami penyakit atau sebarang masalah kesihatan, perubahan pada fungsi dan keupayaan testis mungkin akan berlaku seawal usia 45 hingga 50 tahun dan akan menjadi lebih dramatik selepas usia 70 tahun.

Bolehkah andropaus dirawat?

Jika tahap testosteron rendah, terapi penggantian testosteron boleh membantu simpton seperti:

  • Kehilangan minat seks
  • Kemurungan
  • Keletihan

Sama seperti terapi penggantian hormon pada wanita, terapi penggantian testosteron berisiko mengalami kesan sampingan, ia mungkin memburukkan penyakit kanser prostat.

Rawatan paling umum untuk merawat masalah ini adalah dengan melakukan perubahan pada gaya hidup tertentu, seperti:

  • Diet
  • Bersenam
  • Mengamalkan pemakanan sihat
  • Dapatkan tidur yang secukupnya
  • Kurangkan tekanan
  • Ubatan, seperti anti-kemurungan (jika anda alami masalah kemurungan)

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.