Impak pemanasan global kepada kesihatan

Impak pemanasan global kepada kesihatan

Kajian mendapati 98% punca pemanasan global adalah disebabkan oleh pelepasan gas karbon dioksida dari pembakaran bahan bakar fosil seperti petrol dan arang batu.

Cuaca yang terlalu panas akan memberi kesan kepada kesihatan. (Gambar Rawpixel)

Pemanasan global merupakan fenomena berkaitan peningkatan suhu bumi secara makro akibat dari dua faktor iaitu kesan rumah hijau dan penipisan lapisan ozon. Kesan rumah hijau ialah apabila bahang matahari terperangkap dalam lapisan atmosfera dan menghalang pembalikan semula bahang dari bumi ke atmosfera.

Kajian mendapati 98% punca pemanasan global adalah disebabkan oleh pelepasan gas karbon dioksida dari pembakaran bahan bakar fosil seperti petrol dan arang batu. Ini meningkatkan suhu lantas mengganggu iklim dunia secara mendadak dan tidak menentu.

Kesan dari pemanasan global:

  1. Berikutan cuaca yang terlalu panas maka terjadinya kebakaran hutan. Ini mengakibatkan pencemaran selain dari pembakaran terbuka, bahan api dan asap kenderaan yang membawa kepada pelbagai penyakit seperti asma.
  2. Pelbagai penyakit akan timbul dan seterusnya meningkatkan perbelanjaan perubatan bagi menanganinya.
  3. Penyakit berjangkit seperti denggi dan malaria mudah merebah.
  4. Kemarau dan perubahan pada pola hujan mengurangkan kuantiti serta kualiti sumber air sekal gus menyusutkan hasil tanaman dan ternakan.
  5. Banjir yang menjadi-jadi akibat gejala cuaca ekstrem meningkatkan risiko pencemaran air minuman serta penyebaran penyakit malah, turut memaksa kepada pemindahan penduduk.
  6. Perubahan iklim melampau turut melanda Amerika Syarikat pada 2011, melibatkan bencana kepada masyarakat dan kesihatan.

Akibat dari gejala pemanasan akan mengakibatkan penyakit-penyakit berikut:

Cuci tangan dengan bersih setiap kali masuk ke dalam rumah. (Gambar Rawpixel)

Cirit-birit

Ia selalunya dipengaruhi oleh penyebaran berbagai mikro organisma penyebar penyakit antaranya kriptosporodium, giardia dan e.coli.

Cara mencegah:

  • Cuci tangan dan kaki setiap kali sebelum masuk ke dalam rumah. Risiko terkena kotoran atau kuman semasa berada di luar adalah tinggi.
  • Sediakan alas kaki di pintu hadapan dan dapur bagi mencegah penyebaran kotoran atau parasit yang boleh memasuki kulit.
  • Jangan beli makanan di tempat yang mempunyai tahap kebersihan yang rendah.
  • Minum air yang sudah dimasak sepenuhnya.
Nyamuk lebih mudah membiak dalam cuaca lembap dan hangat. (Gambar Rawpixel)

Demam denggi berdarah dan malaria

Nyamuk membiak lebih mudah dalam cuaca lembap dan hangat terutamanya jenis aedes aegypti dan anopheles yang merupakan penyebar virus denggi dan parasite malaria.

Cara mencegah:

  • Tidur dalam kelambu.
  • Sembur kediaman dengan semburan nyamuk sejam sebelum tidur.
  • Sapukan krim pencegah gigitan nyamuk.
  • Bersihkan bekas-bekas takungan air.
  • Jangan biarkan sekitar rumah ditumbuhi lalang dan semak samun.
  • Taburkan ubat pembunuh larva dalam bekas pasu bunga, kolam air dan sebagainya.
  • Pelihara ikan untuk membunuh larva nyamuk.
  • Pastikan tiada kain bergantungan di rumah.
Lindungi kulit dengan sapuan losyen pelindung matahari SPF. (Gambar Rawpixel)

Kanser kulit

Pemanasan global merosakkan lapisan ozon seterusnya meningkatkan kes kejadian kanser kulit.

Cara mencegah:

  • Sapukan krim atau losyen pelindung matahari (SPF) pada wajah, telinga, badan dan kaki sebelum keluar rumah.
  • Pilih krim SPF 15 untuk jangka masa yang pendek atau SPF 30 yang lebih kuat jika anda keluar bagi tempoh yang panjang.

Penyakit paru obstruktif kronik

Pencemaran udara akibat cuaca yang tidak stabil boleh menyebabkan gangguan pernafasan seperti asma dan lebih teruk lagi penyakit paru obstruktif kronik. Asap turut membawa racun dioksin yang boleh mengakibatkan kanser paru-paru.

Cara mencegah:

  • Pakai mask.
  • Elakkan berada di luar rumah terlalu lama.
  • Sekiranya anda adalah pengidap penyakit paru obstruktif kronik, elakkan dari terkena influenza atau pneumonia yang boleh memburukkan lagi kesihatan.
  • Dapatkan vaksinasi influenza setiap tahun dan vaksinasi pneumokokus setiap enam tahun.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.