
Namun realitinya, lelaki berusia 61 tahun ini memiliki pemikiran yang tajam di balik senyuman riang dan masih bersemangat untuk terus bekerja lebih kuat lebih-lebih lagi selepas mendedahkan projek terbaharunya.
Mungkin ada yang mengingati Zulhisham sebagai bekas bos Pakar Media dan pengasas Oranje-ISC, salah sebuah agensi media dan pemasaran yang paling berjaya di Malaysia.
Jadi apa yang dibuat personaliti pengiklanan dan media berbakat ini di sebuah perkampungan santai di ceruk Kuala Terengganu?
Ternyata, dia punya alasan yang baik untuk meninggalkan hiruk-pikuk di Lembah Klang demi mencari ketenangan di Terengganu.
Empat hartanah miliknya di Kuala Terengganu, kini menjadi lokasi villa inap desa mewah, yang berfungsi sebagai penginapan mewah yang mampu menyaingi mana-mana hotel bertaraf lima bintang.
Sebuah rumah kampung lama, telah dibaik pulih menjadi sebuah villa indah di bawah jenama Villapadu, begitu juga dua lagi rumah dua tingkat lot tepi di bandar.
Dua lagi harta tanah, satu di sepanjang Sungai Terengganu dan satu lagi di tepi laut, kini hampir siap.

“Ketika wabak mula menular, banyak pemain industri media tutup kedai,” kata Zulhisham kepada FMT. “Saya percaya wabak ini akan berakhir dan keadaan akan kembali normal.”
Sebaliknya, pandemik yang melanda jauh lebih buruk daripada yang pernah dibayangkan, dan dia mendapati dirinya beralih fokus dari media ke pelancongan.
“Pelancongan adalah industri yang berkembang pesat dan memerlukan produk dan perkhidmatan yang berbeza. Sejak bertahun-tahun, pelancongan adalah sumber pendapatan nombor satu Malaysia, hingga akhir-akhir ini,” ujarnya.
Menurut statistik Kementerian Pelancongan, pada tahun 2020, Malaysia menyambut lebih daripada 4 juta pelancong ke pesisirnya, dengan industri ini memberikan sumbangan besar terhadap KDNK negara.
“Walaupun begitu, sebahagian besar potensi Terengganu diabaikan oleh pelancong domestik dan asing, walaupun banyak “produk menawan” yang ditawarkan.
“Orang ramai tidak pernah melihat Terengganu sebagai negeri pelancongan, walaupun memiliki pantai, pulau, tasik dan air terjun yang indah,” katanya.
Tambahnya, sektor makanan di sini juga rancak dan terdapat potensi besar untuk kafe dan restoran lebih berjaya, terutama bagi pengusaha muda.

Katanya kepada FMT, menerusi pemerhatian peribadinya, satu perkara yang menghalang Terengganu daripada menjadi destinasi pelancongan yang hebat adalah kurangnya layanan baik dari penduduk tempatan.
“Saya beritahu diri sendiri, jika saya dapat melakukan lebih baik, atau jauh lebih baik daripada penduduk tempatan dari segi perkhidmatan, saya pasti akan berjaya.”
Oleh itu, dia memutuskan untuk mengubah empat hartanahnya di Kuala Terengganu menjadi inap desa mewah yang menawarkan semua keselesaan yang mereka harapkan untuk percutian bertaraf kelas pertama.
Dia menyediakan senarai semak 10 perkara yang perlu ada dan mematuhinya dengan penuh disiplin – kebersihan, pemasangan paip terbaik, tempat tidur yang selesa, penghawa dingin yang berfungsi, dapur yang lengkap, lokasi strategik, perkhidmatan pelanggan yang baik, sambungan internet, kemudahan hiburan dan perkhidmatan tambahan.
Tetapi mengapa homestay dan bukan hotel? “Kami menawarkan pengalaman yang lebih peribadi. Hotel bergantung kepada pelayan untuk melayan tetamu, tetapi kami melakukannya sendiri di sini.
“Apa yang saya pelajari, untuk berjaya dalam industri ini kita perlu menawarkan perkhidmatan terbaik,” katanya, sambil menegaskan tetamu dijamu dengan makanan ringan sebaik menginjak kaki ke premis Villapadu.

“Saya berusaha untuk melayani pelanggan dengan yang terbaik di luar jangkaan mereka, sebaik sahaja mereka mendaftar masuk,” tegasnya.
Zulhisham tidak berahsia bahawa inap desa di Villapadu adalah untuk tetamu yang berduit; bagi penginapan tiga hari dua malam di Villapadu Desa misalnya, tetamu perlu membelanjakan sekitar RM5,000.
Walau bagaimanapun, untuk harga sedemikian, para tetamu bakal disambut dengan keropok lekor panas sebagai hadiah alu-aluan, dan makanan ringan tempatan seperti akok selain dilayan seperti kerabat diraja sepanjang penginapan mereka.
Jelasnya, di Villapadu, dia dan keluarganya lebih daripada gembira sekiranya dapat melayani setiap permintaan tetamu mereka kerana mereka berharap dapat mengubah persepsi yang dimiliki kebanyakan orang di terhadap inap desa.
Oleh itu, jika tetamu ingin menikmati makanan di ‘rumah’, dia akan memastikan mereka disajikan dengan makanan terbaik di Terengganu.
Sekiranya mereka ingin membawa pulang makanan laut segar yang ditawarkan di negeri ini, dia juga akan mengaturkannya.

Tidak terkesan dengan wabak dan sempadan yang masih ditutup untuk pelancong asing, Zulhisham berkata, “Saya perlu mempersiapkan diri sebelum wabak itu berakhir, dan tiada siapa yang tahu bila ia akan berakhir!”
Memandangkan seluruh keluarganya terbabit dalam perniagaan ini, Villapadu adalah risiko kewangan baginya, namun ia adalah risiko yang menurutnya, sedia untuk ditanggung.
“Hidup adalah mengenai perkongsian. Semua ini adalah perkongsian seluruh ahli keluarga saya. Mereka adalah rakan kongsi saya dan saya tidak memberi mereka gaji, ini adalah urusan pembahagian keuntungan. Mereka tumbuh bersama saya,” ujarnya lagi.
Zulhisham juga dengan senang hati menawarkan bantuan kepada rakan pengendali inap desa yang meminta nasihat mengenai bagaimana menjayakan perniagaan mereka.
“Ia bukan setakat memiliki hartanah untuk disewa; ia mengenai memberikan semuanya kepada pelanggan anda,” akhiri Zulhisham.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]