Mi Goreng Mamak: sedia dinikmati bila-bila masa

Mi Goreng Mamak: sedia dinikmati bila-bila masa

Tidak sukar mencari sebuah kedai Mamak 24 jam yang boleh menyediakan sepinggan mi goreng baru dimasak kepada pelanggan, tidak kira sarapan pagi, makan tengahari, minum petang, atau di tengah-tengah malam.

Mi goreng Mamak kegemaran masyarakat Malaysia tanpa mengira kaum. (Gambar Butterkicap)

Mi goreng Mamak adalah salah satu hidangan tempatan yang melampaui batasan waktu, boleh didapati di Kedai Mamak yang agak meluas di seluruh negara.

Tidak kira sarapan pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam, atau di tengah-tengah malam, tidak sukar mencari sebuah kedai Mamak 24 jam yang boleh menyediakan sepinggan mi goreng baru dimasak kepada pelanggan.

Perkataan Mamak berasal dari perkataan Tamil untuk bapa saudara, dan di Malaysia ia paling kerap digunakan untuk merujuk kepada restoran yang dikendalikan oleh atau menghidangkan makanan India Muslim dan lain-lain hidangan India Selatan.

Mi goreng Mamak boleh menjadi topik hangat bagi mereka yang benar-benar menyukainya. Walaupun bahan-bahan, protein dan sayur-sayuran yang digunakan mungkin berbeza dari resipi ke resepi, ia sentiasa menggunakan mi kuning dan salut sos gelap. Nikmatilah resipi ini.

Bahan-bahan:

Bahan-bahan yang digunakan. (Gambar Butterkicap)
  • 300g mi kuning
  • 12 udang besar, dikupas & dibuang urat
  • 200g daging lembu, dipotong nipis
  • 4 sudu besar kacang panggang atau kacang goreng hancur
  • 2 biji telur, dipukul perlahan
  • 1 jambak daun sawi
  • ¼ cawan taugeh
  • 1 ubi keladi, dikupas
  • 1 kentang rebus, potong dadu
  • ¼ tomato, dibelah empat
  • 1 tauhu goreng, potong dadu
  • 1 cucur udang, potong dadu
  • ½ cawan air
  • ½ cawan stok udang
  • ¼ sudu kecil garam
  • ¼ sudu kecil gula
  • 3 sudu besar minyak masak termasuk tambahan untuk menyediakan kuali
  • 3 sudu besar bawang goreng
  • 2 cili hijau, dihiris nipis

Campuran sos

  • 1 sudu teh cuka beras
  • 1 sudu besar kicap pekat
  • 1 sudu besar kicap manis
  • 1 sudu besar karamel memasak
  • 1 limau Kasturi

Aromatiks

  • 12 bawang kecil
  • 12 ulas bawang putih
  • 2 sudu besar udang kering
  • 2 sudu besar cili boh

Kaedah: persediaan

1. Dalam periuk kecil, tuang secukup air untuk menutup ubi keladi dan masak sehingga mendidih. Bila keladi lembut dan boleh dicucuk garpu dengan senang, lenyek dengan kira-kira 3 sudu besar air dari periuk sama. Tepikan.

2. Kisar bahan-bahan aromatik sehingga halus dalam pengisar makanan.

3. Panaskan dan sediakan kuali anda dengan mengelap lapisan nipis minyak di sekitar permukaan kuali dengan tuala kertas. Kuali anda panas secukupnya bila lapisan minyak telah kering dan kuali seolah-olah bercahaya.

4. Masukkan minyak masak. Jika kuali anda cukup panas, minyak akan menjadi panas dalam beberapa saat. Jika tidak, biarkan ia mencapai suhu 180°C hingga 200°C.

Kaedah: Mari kita memasak!

(Gambar Butterkicap)

1. Masukkan 5 sudu campuran aromatik ke dalam kuali dan tumis sehingga ia gelap dan sudah pecah minyak.

2. Kemudian, masukkan udang dan daging dan kacau. Taburkan gula di atas daging. Jika anda hebat menggunakan kuali, lambungkan bahan-bahan dan benarkan api menyentuh bahan-bahan sehingga udang dan daging masak.

3. Masukkan tomato dan 2 sudu besar keladi yang telah dilecek. Terus kacau atau lambung untuk keluarkan jus tomato.

(Gambar Butterkicap)

4. Masukkan mi kuning dan air dan kacau atau lambung sehingga mi masak. Kalau boleh, biarkan api menyentuh mi.

5. Seterusnya, masukkan cucur udang, tauhu, kentang, sawi, taugeh, 3 sudu besar kacang tanah hancur dan 2 sudu kecil campuran sos.

6. Masukkan stok udang dan kacau atau lambung bahan-bahan sehingga cecair diserap dan sayur-sayuran layu. Anda mahu mi yang lembab tetapi tidak berair.

(Gambar Butterkicap)

7. Tambah 1 lagi sudu besar kacang tanah hancur dan taburkan garam ke atas mi. Gaul dan campur dengan cepat.

8. Buatkan perigi di tengah-tengah mi. Tuangkan telur ke dalam perigi dan biarkan ia untuk beberapa saat sebelum dikacau sedikit dan dicampurkannya dengan mi.

9. Sudah pun siap. Bila menghidang mi goreng mamak, taburkan bawang goreng dan cili potong di atasnya terdahulu.

Tip tambahan

1. Rebus ubi keladi dengan stok sayuran atau stok ayam untuk perisa tambahan.

2. Jangan cuba gunakan api untuk memasak mi jika anda memasak di dapur yang kecil tertutup atau tidak tahu apa yang anda lakukan!

3. Ia akan agak berasap bila memasak mi goreng Mamak. Tutupkan pengesan asap anda, masak di luar rumah, atau gunakan kipas berputar untuk meniup asap keluar!

4. Anda juga boleh hidangi mi goreng Mamak dengan lebih limau kasturi. Potong bahagian atas limau supaya senang diperah.

Mudah, betul? Walaupun proses memasak mi goreng Mamak kelihatan menakutkan, ia sebenarnya agak mudah dan anda perlu mencuba membuat resipi ini.

Artikel ini telah disiarkan di butterkicap.com Butterkicap adalah platfom dan komuniti yang menceritakan tentang makanan dan kebudayaan di Malaysia.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.