
Mesir meneruskan usahanya untuk memulihara dan mempamer kapal tertua di dunia miliknya berikutan pemindahan kapal Firaun berusia 4,600 itu ke muzium baharu yang bakal dibuka di luar ibu kota Kaherah.
Sebagai sebahagian usaha memulihara warisan kuno terbabit, negara itu akan memindahkan Kapal Solar Raja Khufu dari tapak arkeologi di Piramid Giza ke bangunan yang dibina khas di dalam Muzium Besar Mesir, lokasi berteknologi tinggi yang bakal dibuka akhir tahun ini.
Dipercayai dibina untuk Raja Khufu, Kapal Solar tersebut dianggap kapal tertua yang masih utuh binaannya di dunia.
Oleh kerana ia dikaitkan dengan Raja Khufu, bot itu dipercayai disimpan sekitar tahun 2,500 sebelum masihi (SM), dalam sebuah lubang di kaki piramid Besar Giza. Ia ditemui pada 1954 oleh pengkaji purba Mesir, Kamal el-Mallakh.
Kapal berkenaan pertama kali dipamerkan kepada awam pada 1985 di Muzium Bot Solar Giza, berhampiran tapak ia ditemui.
“Projek memindahkan bot pertama Khufu bertujuan untuk memelihara kapal terbesar, tertua dan relik organik terpenting diperbuat daripada kayu dalam sejarah peradaban manusia, berusia 4,600 tahun itu.
“Kami juga mahu mempamerkan artifak ini dalam cara yang lebih sempurna bersesuaian dengan kepentingannya di Muzium Besar Mesir,” kata Kementerian Pelancongan dan Antikuiti.
Kapal seberat 45 tan, panjang 43.5 meter dan lebar 5.8 meter itu dipindahkan ke lokasi barunya menggunakan pengangkut modular yang bergerak sendiri dan sampai ke destinasi pada kelajuan satu kilometer sejam.
“Ia akan menjadi permata utama muzium buat dunia yang baru saja ditambah dengan artifak hebat, iaitu sebuah kapal yang masih utuh dan tertua di dunia,” kata Pierre Sironval, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BESIX.
Muzium Besar Mesir adalah antara binaan terbesar di Mesir moden dan akan menjadi lokasi buat ribuan objek yang mendokumentasikan peradaban Mesir, termasuk harta karun Tutankhamun.
Sejumlah 5,300 harta ini akan dipamerkan buat pertama kalinya sejak penemuannya pada tahun 1922. Dibina di Dataran Giza, muzium ini memiliki luas permukaan sekitar lima juta kaki persegi dan diharapkan dapat menarik berjuta-juta pengunjung setiap tahun ke Mesir.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]