Eiffel Tower dibuka semula selepas 9 bulan ‘lena’

Eiffel Tower dibuka semula selepas 9 bulan ‘lena’

Ia adalah penutupan paling lama sejak Perang Dunia ll.

Kapasiti harian pengunjung dihadkan kepada 13,000 orang sahaja dan pelawat perlu menunjukkan bukti vaksinasi atau ujian Covid-19 negatif untuk masuk. (Gambar AFP)

Menara Eiffel dibuka semula kepada pengunjung pada Jumaat buat pertama kalinya selepas sembilan bulan ditutup.

Ia adalah penutupan paling lama sejak Perang Dunia ll.

Lif yang terkenal dengan jolokan “Iron Lady” juga akan dihidupkan kembali bagi membawa pelancong ke puncak menara pada ketinggian 300 meter, seolah dikejutkan dari lena yang panjang akibat penularan Covid-19.

Difahamkan, kapasiti harian akan dihadkan kepada 13,000 orang, kira-kira separuh daripada kadar normal, bagi menghormati penjarakan sosial.

Dan mulai Rabu minggu depan, pengunjung perlu menunjukkan bukti vaksinasi atau ujian negatif, selaras dengan syarat yang dikenakan oleh kerajaan baru-baru ini.

“Ternyata ia adalah komplikasi operasi tambahan, tetapi ia masih terkawal,” kata ketua operasi syarikat, Jean-François Martins, kepada AFP.

Setelah kakitangan menjalankan pemeriksaan keselamatan akhir, dia mengumumkan bahawa menara ikonik di dunia itu sedia untuk dibuka.

Tempahan tiket awal untuk cuti musim panas menggariskan bagaimana industri pelancongan di Paris telah berubah akibat sekatan perjalanan.

Martins berkata “hampir tiada” pemegang tiket Britain, sementara hanya 15% adalah warga Amerika dan sangat sedikit dari Asia.

Separuh daripada pengunjung dijangka warga Perancis, sementara warga Itali dan Sepanyol dijangka lebih tinggi daripada biasanya.

Penutupan paling lama itu telah menyebabkan kewangan syarikat operasi, Sete yang menguruskan monumen tersebut bagi pihak berkuasa kota Paris terjejas.

Ia akan meminta bantuan tambahan kerajaan dan suntikan tunai kira-kira AS$70 juta untuk terus bertahan, setelah pendapatannya jatuh 75% kepada hanya AS$29 juta pada tahun 2020.

Karya agung sentuhan arkitek Gustave Eiffel itu turut berdepan masalah berkaitan kerja mengecat. Ini adalah kali ke-20 ia dicat semula sejak pembinaannya pada tahun 1889.

Kerja itu terpaksa dihentikan pada Februari lalu kerana tahap plumbum yang tinggi dikesan di lokasi, yang menimbulkan risiko kesihatan terhadap pekerja.

Ujian masih dijalankan dan kerja mengecat akan hanya disambung pada musim luruh. Ini bermakna sebahagian daripada menara itu akan ditutup dengan perancah dan jaring keselamatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.