
Sebut saja apa yang tidak ada di Dubai, bangunan pencakar langit tertinggi di dunia, pusat membeli-belah terbesar di dunia semuanya berada di sini.
Terkini kota mega itu sekali lagi menjadi perhatian dunia apabila baharu saja membuka kolam selam paling dalam di dunia. Bukan saja paling dalam di dunia, malah kolam sedalam 60 meter ini berada di bawah permukaan air.
Menurut CNN, ia sekali gus mengatasi rekod yang sebelum ini dipegang Deepspot di Poland dengan kedalaman lebih 45 meter.
Kolam yang dikenali sebagai Deep Dive Dubai itu mampu menampung 14 juta liter air atau sama dengan jumlah enam kolam renang bersaiz olimpik, dan sekurang-kurangnya empat kali lebih besar dari kolam selaman lain di dunia.
Pada 27 Jun, Rekod Dunia Guinness mengisytiharkan kolam itu sebagai ‘Kolam renang paling dalam untuk menyelam di dunia’.
Buat masa ini kemudahan menyelam itu hanya dibuka untuk penyelam yang mendapat undangan.
Putera Mahkota Dubai, Sheikh Hamdan bin Mohammed Al Maktoum, seorang penyelam berpengalaman menjadi antara pengunjung pertama di Deep Dive Dubai dan turut berkongsi pengalamannya di media sosial.
Tarikan paling utama di Deep Dive Dubai semestinya kota di bawah air yang bakal membawa penyelam meneroka ‘tinggalan’ pangsapuri, perpustakaan, ruang permainan serta studio yang ditenggelami air.
Lapor USA Today, Deep Dive Dubai mempunyai kota di bawah air dengan kemudahan lengkap seperti bangku, lampu jalan dan tingkap untuk mempamer barangan jualan. Terdapat juga pangsapuri yang lengkap dengan bilik tidur, ruang makan dan garaj yang lengkap dengan kereta dan motosikal.
Menurut Diver Net, Deep Dive Dubai akan dibuka kepada semua dengan usia minima 10 tahun. Pun begitu, penyelam perlu mempunyai sijil menyelam yang dikeluarkan oleh Persatuan Tenaga Pengajar Selam Profesional (PADI).
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]