
Bahagian hadapan pasar kelihatan ayam dan daging segar bergantungan, sementara di bahagian belakangnya pula penuh dengan sayuran hijau.

Di celah-celah kesibukan Jalan Chowrasta, tersembunyi kedai-kedai lama berusia puluhan tahun termasuk kedai pembuat kulit popiah tradisional mempertahankan perniagaan keluarga yang diwarisi sejak beberapa generasi.
Di seberang pasar itu pula, resipi teh halia rahsia yang diturunkan seorang datuk berasal dari Sri Lanka kepada cucu-cucunya telah menghangatkan penduduk tempatan sejak tahun 1942.

Terkenal sebagai antara pasar tertua di Malaysia, hakikat bahawa ia jauh lebih tua daripada beberapa kota dan bandar di negara ini agak mengejutkan.
Pada pertengahan abad ke-19, Pasar Chowrasta pertama kali dihuni oleh tahanan dan bekas banduan, namun bekas banduan ini mula menjual hasil segar seperti sayur-sayuran, dan ikan untuk mencari rezeki yang halal.
Mereka kemudiannya disertai etnik Tamil yang berhijrah dari Tamil Nadu, India dan terus mendiami kawasan tersebut.

Pasar setingkat itu dibina pada tahun 1890 oleh Majlis Perbandaran George Town, diikuti pembinaan tingkat kedua pada tahun 1961, menjadikannya bangunan pertama di Pulau Pinang yang mempunyai eskalator.
Menjelang abad ke-20, pedagang China juga mula menjual barangan di Chowrasta. Sebaik aktiviti perniagaan melimpah ke luar, peniaga mula membanjiri jalan-jalan yang mengelilingi pasar tersebut hingga lama-kelamaan menjadi sebahagian daripadanya.

Turut dikenali sebagai ‘Pasar Pencuri’, nama Chowrasta mempunyai asal usul yang cukup menarik. Bukan kerana ‘mengunyah’ makanan enak di pasar tersebut, sebaliknya ia berasal dari istilah chowk dalam bahasa Hindi yang bermaksud pasar jalanan.
Dalam bahasa Urdu, perkataan Chowrasta bermaksud persimpangan jalan sama seperti Penang Road, Chowrasta Road, Kuala Kangsar Road dan Tamil Street yang mengelilingi Pasar Chowrasta.

Dikelilingi kubis segar, terung dan bunga kantan, Gao, 75 tahun telah berniaga menjual sayur-sayuran segar di pasar ini sejak berusia 14 tahun lagi.
“Ini adalah kedai bapa saudara saya, tetapi saya mula membantunya setelah saya berhenti bersekolah,
“Setiap hari saya di sini dari jam 5 pagi hingga 12 malam dan saya tidak mengambil cuti sejak saya berusia 14 tahun,” kata Gao, sambil menambah dia tetap meraikan Tahun Baru Cina bersama keluarga selain sambutan istimewa lain.

Di luar Chowrasta Walk, sebuah kedai kecil berwarna hijau beroperasi sejak 1950-an lagi. Keluarga yang menjalankan perniagaan ini masih setia bersama, seperti setianya mereka terhadap kaedah tradisional perniagaan itu.
Berbekalkan segenggam adunan doh, sepantas kilat Rebecca Lim membuat lingkaran nipis kulit popiah yang sempurna, kemahiran yang telah dikuasainya sejak berusia 8 tahun lagi.

Kini dalam usia 30-an, Lim dengan mudah menekan bebola doh ke atas kuali panas tanpa halangan dan dalam masa kurang dari lima saat kepingan kulit popiah disusun ke atas timbunan yang sedia untuk digulung.
Wajah-wajah terkenal seperti Chef Wan, Martin Yan, Axian juga bintang antarabangsa seperti Ainsley Harriot terpampang pada kain rentang di belakang Lim, kenangan yang dirakam bersama bapanya, Lim Ah Hoe.
Kini berusia 80 tahun, bapa Lim yang terkenal sebagai pembuat kulit popiah buatan tangan tradisional Pulau Pinang, sesekali masih gigih menyokong anak-anaknya.

Satu lagi perniagaan keluarga yang telah diwariskan turun temurun di Jalan Tamil dan terdiri daripada tiga kedai berbeza yang dikendalikan oleh lima bersaudara yang berjanji akan memenuhi selera pelanggannya.
Ketika seorang daripada mereka menjual cucur udang pada waktu petang, aroma halia yang menyegarkan di waktu pagi mengundang anda mendekati sebuah warung kecil di bawah teduhan pokok.
Di belakangnya pula, Abdul Majeed, 48 sedang menuang teh halia segar hasil resipi rahsia yang lebih tua darinya.
“Saya mengambil alih warung ayah pada 1985, tetapi sebelum itu ia adalah warung datuk saya,” kata Abdul, sambil menambah datuknya berhijrah ke sini dari Sri Lanka dan membawa bersama resipi teh halia terkenal itu pada 1942.

Walaupun teh halia Abdul sangat sesuai pada hari yang sejuk, jika anda mahukan penghilang dahaga ketika cuaca panas, tiga saudaranya yang lain boleh membantu anda kerana kedai mereka yang menjual minuman berais terletak berhampiran.
Dijual dalam botol dengan biji selasih dan isi kelapa segar, minuman berais berwarna merah jambu yang turut dikenali sebagai ais tingkap berusia 102 tahun ini kekal relevan sehingga kini.
Selepas bercakap kepada FMT, semua pengusaha kedai berusia sedekad ini mengakui turut terkesan dengan perintah sekatan pergerakan kerana kekurangan pelancong. Namun, mereka terus bertahan dan berharap sempadan akan dibuka semula dan pelancong akan menikmati apa yang mampu ditawarkan di Pulau Pinang.
Pasar Chowrasta
Lot 124, Jalan Penang,
10100 George Town, Pulau Pinang
Waktu Operasi: 6.30 pagi – 6 petang
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]