
Turut menerima tempiasnya, Taman Buaya dan Rekreasi Melaka serta Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka (MBRS) yang lazimnya menjadi tumpuan pelancong pada setiap hujung minggu.
Justeru, untuk meneruskan kelangsungan ‘hidup’, kedua-dua santuari berkenaan yang terkenal dengan pelbagai habitat reptilia, mamalia dan rama-rama, menukar strategi bagi menjana pendapatan dengan memberi fokus kepada aktiviti pelancongan secara maya berikutan sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan mulai 1 Jun lepas.
Pengurus Besar Taman Buaya dan Rekreasi Melaka Ahmad Syarifuddin Mohamad berkata pihaknya mula berjinak-jinak dengan kaedah pelancongan secara maya dengan memaparkan pertunjukkan penstriman secara langsung melalui platform Facebook bermula 12 Jun lepas.

“Penonton begitu teruja melihat sebahagian hidupan di santuari berkenaan yang dipaparkan menerusi Facebook Live.
“Sebelum ini, kita hanya memaparkan sebahagian haiwan yang ada di Taman Buaya dan Rekreasi Melaka ini namun beralih kepada sesi yang lebih menyeluruh dengan menampilkan habitat haiwan, selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton,” katanya.
Pelancongan secara maya di Taman Buaya dan Rekreasi Melaka ini diadakan dalam dua sesi, berlangsung kira-kira sejam setengah pada setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad pada pukul 11 pagi dan 2.30 petang.

“Penonton perlu mendaftar dan membuat bayaran RM7 sebelum diberikan pautan menerusi akaun YouTube,” katanya menambah mereka turut menerima peserta dari Singapura dan Indonesia.
Penonton akan dibawa secara maya menerokai sekitar Taman Buaya dan Rekreasi Melaka yang mempunyai kawasan miniatur bangunan ikonik di Malaysia, mengenali reptilia seperti ular dan tuntung serta kumpulan mamalia termasuk rakun.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]