
Biarpun dunia kian moden dengan kepesatan arus teknologi, namun seorang usahawan memilih kaedah unik yang lebih tradisional bagi mengusahakan perniagaan piza di Ipoh, Perak.
Berbanding ketuhar biasa, Abdul Rahim Abdul Razak yang juga seorang pengembara tegar menggunakan kayu api untuk membakar piza bagi menonjolkan keunikan rasa makanan terkenal dari Itali itu.
Dia baru saja mengusahakan perniagaan Ipoh Pizza Kayu Api bersama dua sahabat baiknya sejak Mac lalu.
“Apa yang istimewanya mengenai penggunaan kayu api ialah ia mempunyai aroma yang tersendiri. Kami cuba menghidupkan konsep klasik untuk membakar piza berbanding menggunakan arang atau ketuhar.
“Lebih istimewa lagi apabila kami mengolah sendiri resepi, hasil pengalaman saya yang banyak mengembara ke luar negara selain mempelajari teknik pembuatan di YouTube.
“Sebaik pulang, saya cuba mengusahakan perniagaan piza dengan mengekalkan cita rasa tempatan. Saya begitu berpuas hati melihat pelanggan menikmati makanan ini,” katanya katanya ketika ditemui Bernama di kedainya di Pengkalan Pegoh, kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar, baru-baru ini.
Abdul Rahim menjelaskan, ketuhar bata yang digunakannya juga adalah hasil rujukan dan kajian di internet dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti struktur binaan, suhu, susunan kayu api untuk membakar piza dengan masa yang minimum selain dihidangkan dengan penuh kerangupan.
Anak jati Cameron Highland itu berkata, dia mengupah orang untuk menghasilkan ketuhar bata selain tidak jemu mencari suhu terbaik untuk membakar piza yang enak dan tahan lama.
“Saya dan rakan sekerja sentiasa melakukan kajian ke atas doh tepung dan bermain dengan suhu api. Kami bertiga pernah cuba menggunakan suhu setinggi 700 darjah celcius namun tekstur rotinya berbeza walaupun cepat masak dalam tempoh dua minit saja.
“Selepas mendapat respon daripada pelanggan, kami menggunakan suhu 400 darjah celcius yang mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 minit untuk siap dibakar dan rasanya lebih lembut,” katanya.
Walaupun kedai ini hanya boleh beroperasi dengan mengambil tempahan untuk dibawa pulang namun ia tidak mematahkan semangat empat pekerjanya menyiapkan pesanan yang boleh mencecah 60 keping sehari.
“Ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini kami sedikit terjejas kerana terdapat kawasan di Ipoh yang dikenakan PKP Diperketatkan (PKPD) selain tidak boleh rentas daerah.
“Kita juga perlu patuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk masa yang terhad untuk menjalankan perniagaan.
“Saya baru saja mulakan perniagaan ini dan usaha mengukuhkan jenama ketika wabak Covid-19 melanda dianggap satu cabaran. Sebaik tamat PKP nanti saya merancang untuk memperluaskan lagi pernaigaan,” katanya.