
Peminat kumpulan muzik dari Norway, A-ha mungkin masih teringat mengenai keunikan video muzik lagu berjudul ‘Take on Me’ yang menggunakan elemen gerak animasi.
Apa yang menarik, teknik rotoskop animasi itu seolah-olah membawa ke satu dunia lain apabila semuanya digambarkan menerusi satu lakaran hitam putih menggunakan pensil.
Kerana ingin tampil berbeza, sebuah kafe di Russia juga menonjolkan elemen berseni berkenaan di dua lokasi cawangan mereka iaitu di Moscow dan St Petersburg.
Rekaan seorang artis tempatan, Anfisa Toshina itu turut mencuri perhatian netizen di media sosial yang tertarik dengan keunikan pada kafe berkenaan.
Seluruh ruang dalaman kafe itu kelihatan seolah-olah dilukis dengan menggunakan arang pada sekeping kertas.
Ia sekali gus mencipta satu ilusi bahawa anda adalah satu-satunya ‘objek’ tiga dimensi (3D) dalam dunia dua dimensi.
Bagi yang kali pertama melihatnya mungkin menganggap ia adalah satu konsep agak pelik namun ia sebenarnya bukanlah perkara baru kerana ada pemilik kafe pernah melakukan perkara sama sebelum ini.
Konsep itu diperkenalkan kali pertama di Korea Selatan oleh pereka Kafe Yeonnam-dong 239-20 dan sejak itu ia ditiru oleh beberapa usahawan lain yang cuba mencari populariti dan keuntungan menerusi rekaan unik terbabit.
Beberapa tahun lalu, ia juga pernah dilihat di Jepun sebelum dilakukan di Rusia dan mungkin lebih banyak negara akan menggunakan konsep sama selepas ini.
Bagaimanapun, dari sudut positif, kewujudan beberapa kafe dengan konsep hiasan dalaman sama seperti ini memberi peluang kepada pelanggan yang tidak dapat merasai pengalaman itu di Korea Selatan.
Mereka kini mempunyai pilihan lain untuk menikmati secawan kopi, sama ada di Russia, Korea Selatan, mahupun Jepun.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]