
Rusia dijangka membina sebuah bangunan pencakar langit kedua tertinggi di dunia di St Petersburg yang akan menjadi identiti terbaru negara itu.
Pelan pembangunan Lakhta Center II yang mempunyai ketinggian 703 meter itu didedahkan oleh sebuah firma seni bina dari Scotland, Kettle Collective, baru-baru ini.
Projek terbaru itu sekali gus bakal mengenepikan Menara Shanghai yang diiktiraf sebagai bangunan kedua tertinggi dunia dengan ketinggian 632 meter ketika ini.
Setakat ini, Burj Khalifa di Dubai kekal sebagai bangunan tertinggi dunia dengan ketinggian 828 meter.
Berdasarkan pelan firma itu, bangunan terbabit dibina dengan tingkat yang boleh diduduki paling tinggi dan galeri tinjau tertinggi dunia pada ketinggian 590 meter.
Lakhta Center II akan dibina di pinggir bandar St Petersburg iaitu bersebelahan dengan Lakhta Center yang menjadi bangunan tertinggi di Eropah serta menempatkan ibu pejabat syarikat tenaga, Gazprom.
Bangunan itu akan direka oleh Tony Kettle yang juga bertanggungjawab menjadi pereka bangunan Lakhta Center ketika bertugas di firma seni bina RMJM.
Menerusi gambar dikeluarkan, bangunan setinggi 87 tingkat itu mempunyai rekaan unik seolah-olah seperti diputar dari bahagian bawah.
“Lakhta Center terbaru ini akan menjadi contoh terhadap rekaan bersifat lestari bagi projek bangunan pencakar langit.
“Ia akan dibina dengan ciri penjimatan tenaga dan berdasarkan itu juga kita akan mewujudkan ruang atrium secara menegak yang menjadi nadi di daerah perniagaan terbaru ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kettle, Colin Bone berkata, rekaan menggabungkan nilai estetik dan fungsi bangunan itu berupaya mengurangkan kekuatan angin yang akan memberi impak kepada struktur berkenaan.
“Projek ini adalah kerjasama besar untuk firma kami yang dilakukan ketika kita berdepan cabaran global yang bukan hanya untuk Kettle Collective tetapi seluruh industri,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]