
Buat kali pertamanya, Iran berkongsi koleksi artifak dan warisan sejarah mereka yang berusia 5,000 tahun menerusi satu pameran terbesar yang pernah diadakan di Britain dalam tempoh 90 tahun.
Pameran bertajuk ‘Epic Iran’ itu mengumpulkan pelbagai bahan pameran seperti arca daripada zaman kuno, fotografi serta objek bersejarah yang menjadi simbol terhadap budaya dan seni negara itu.
Terdapat lebih 300 barangan yang dipamerkan untuk tatapan orang ramai di Muzium Victoria & Albert (V&A), London, termasuk manuskrip lama, seramik, permaidani serta tekstil.
Pameran terbabit dipecahkan kepada 10 bahagian iaitu ‘Empayar Parsi’ yang merangkumi zaman Achaemenid, ‘Perubahan Kepercayaan’ yang memberi fokus terhadap peranan Islam dalam budaya mereka.
Pengunjung juga boleh melihat bahagian ‘Kecemerlangan Sastera’ yang mempamerkan bahan puisi Parsi.
“Sejak kebelakangan ini, orang ramai mula menyedari bahawa Iran sebenarnya kaya dengan tradisi seni dan warisan budaya yang bermula sejak dahulu lagi,” kata kurator bersama muzium terbabit, John Curtis.
Artifak yang dipamerkan itu termasuk tinggalan purba seperti ‘Cyrus Cylinder’ dan ‘Lion Rhyton’ selain barangan kontemporari seperti gambar visual dihasilkan oleh artis, Shirin Aliabadi.
Semua barang pameran itu sama ada dikumpul oleh pihak muzium atau dipinjam daripada pihak tertentu.
“Sebenarnya agak sukar untuk mengadakan sebuah pameran. Ia bukan satu perkara mudah untuk membawa semua bahan pameran ini dari Iran,” kata Curtis.
Menurutnya, mereka berusaha untuk mengumpul objek bersejarah dari pelbagai tempat bagi memastikan pengunjung mendapat gambaran sebenar mengenai warisan sejarah Iran.
“Kita bergantung kepada pelbagai sumber untuk memperoleh bahan pameran ini. Setakat ini, saya merasakan kami berjaya melaksanakannya dengan baik.
“Apa yang anda lihat adalah gambaran keseluruhannya mengenai sejarah peradaban Iran,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]