
Mungkin ramai sudah biasa mendengar kisah sejarah tenggelamnya kapal Titanic yang berlaku 109 tahun lalu. Namun, pernahkah anda membayangkan bagaimana perasaan berada di atas kapal penumpang terbesar itu?
Jika teringin, orang ramai boleh merasai pengalaman itu di China apabila sebuah taman tema dikatakan sedang membina sebuah replika kapal berkenaan.
Kapal diberi nama ‘Unsinkable Titanic’ itu dalam proses pembinaan di Daying, Sichuan dan mempunyai saiz yang sama dengan Titanic sebenar iaitu berukuran 296 meter panjang dan 28.19 meter lebar.
Replika terbabit bakal menjadi mercu tanda penting dipanggil sebagai Romandisea di taman tema itu yang akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan sama seperti dewan makan, teater, dek pemerhatian dan kolam renang.
Tetamu juga boleh merasai pengalaman bermalam di atas kapal itu yang berlabuh secara kekal di Sungai Qijiang, terletak kira-kira 130 kilometer dari Chengdu.
Bagaimanapun, sehingga kini taman tema itu masih tidak menetapkan tarikh pembukaan tarikan baru terbabit.
CNN pernah melaporkan mengenai projek itu pada 2016 ketika beberapa pekerja pembinaan mula memasang salah satu bahagian kapal berkenaan.
Sekeping gambar yang didedahkan oleh agensi berita AFP pula menunjukkan perkembangan terbaru pembinaan replika kapal itu.
Menurut AFP, pembinaan replika itu memerlukan kira-kira 23,000 tan keluli dan projek itu dianggarkan menelan belanja 1 bilion yuan (RM642 juta).
Namun, ia bukan satu-satunya kapal yang dicadangkan sebagai replika kepada kapal asal Titanic.
Pada 2018, sebuah syarikat Australia, Blue Star Line mengumumkan kerja membina Titanic II diteruskan semula selepas tertangguh sejak sekian lama.
Ia dipromosikan sebagai kapal yang sama seperti Titanic yang dilengkapi dengan 835 kabin dan boleh menempatkan seramai 2,435 orang penumpang.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]