
Pernahkah anda bayangkan bagaimana agaknya perasaan menaiki sebuah lif kaca di salah sebuah menara pencakar langit tertinggi di New York, Amerika Syarikat? Pasti gerun bukan?
Bagi mereka yang ingin merasai pengalaman itu, ia baru saja direalisasikan menerusi satu lokasi tumpuan terbaru, Summit One Vanderbilt yang bakal dibuka di Menara One Vanderbilt di Manhattan pada Oktober ini.
Lif kaca terletak di bahagian luar bagunan dikenali sebagai Ascent itu akan membawa pengunjung naik ke paras setinggi 369 meter untuk menyaksikan pemandangan indah seluruh bandar New York.
Jika pengunjung inginkan pengalaman yang lebih mencabar, mereka boleh memilih untuk berada di Levitation iaitu kotak kaca lutsinar yang tergantung pada paras 342 meter di atas Madison Avenue.
Kedua-dua tumpuan baru itu akan berpusat di kawasan hiburan dan dek pemerhatian seluas 65,000 kaki persegi di puncak One Vanderbilt iaitu sebuah pembangunan bernilai $3.3 bilion (RM13.6 bilion).
Summit One Vanderbilt akan dilengkapi sebuah cafe dikenali sebagai Après, bar, gerai makanan dan padang rumput alp urban tertinggi dunia.
“Kami mencipta satu destinasi dengan pemandangan mengasyikkan di seluruh bandar New York, menawarkan pengalaman interaktif yang akan diingati sepanjang hidup.
“Anda perlu merasai sendiri pengalaman menakjubkan di Summit One Vanderbilt. Ia begitu istimewa dan lokasi menggerunkan yang boleh menjadi tarikan buat penduduk New York serta pengunjung luar negara,” kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif SL Green, Marc Holliday dalam satu kenyataan.
Pengumuman terbaru itu dibuat tidak lama selepas Datuk Bandar New York, Bill de Blasio mengumumkan kempen pemasaran pelancongan bernilai $30 juta (RM123 juta) untuk bandar itu yang mengalami kemerosotan pelancong secara mendadak akibat pandemik Covid-19.
Summit One Vanderbilt menjadi satu lagi tambahan dek pemerhatian di bandar itu selain Top of the Rock di Rockefeller Centre di mana dek teratasnya berada pada paras 259 meter.
Dua tahun lalu, Empire State Building melancarkan dek pemerhatian tingkat 102 yang berada pada ketinggian 381 meter.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]