
Akibat terlalu muak dengan krisis perumahan di Oakland, California, beberapa gerakan komuniti membina sendiri ‘kampung gelandangan’ bawah jejambat dilengkapi ketuhar, tempat mandi dan klinik kesihatan untuk kegunaan golongan itu.
Penempatan kecil dikenali sebagai ‘Cob on Wood’ itu diwujudkan sejak beberapa bulan lalu di sepanjang Wood Street sebagai pusat komuniti gelandangan.
Mereka terpanggil untuk membantu golongan itu yang kebanyakannya hilang tempat tinggal dan pekerjaan berikutan kemerosotan ekonomi akibat pandemik Covid-19.
Pusat itu turut memberi kemudahan kepada gelandangan untuk meningkatkan kemahiran diri apabila ia menjadi tempat penyediaan latihan dalam sektor pembinaan, kelas masakan dan nutrisi serta pembangunan kerjaya.
Mereka turut mendirikan beberapa pondok kecil untuk kegunaan mereka yang hilang tempat tinggal dan terpaksa tidur di dalam kenderaan serta khemah sebelum ini.
Kelengkapan lain seperti dapur, sinki, ruang menyimpan makanan serta peti sejuk yang dipenuhi makanan turut disediakan kepada mereka.
Pada masa sama, tempat mandi dan tandas kompos turut dibina untuk kemudahan mereka selain boleh menggunakan pakaian dan permainan terpakai yang didermakan oleh orang ramai.
Seorang penghuni dikenali sebagai Oliver berkata, tempat itu mengingatkannya semula bagaimana perasaan memiliki tempat tinggal seperti orang lain.
“Saya langsung tidak menyangka akan tinggal di tempat ini tetapi inilah rumah baru saya kerana tiada lagi arah yang boleh dituju.
“Kami mungkin gelandangan tetapi kami juga adalah insan biasa seperti kamu,” katanya.
Seorang lagi penghuni bernama Lydia berkata, dia terpaksa tinggal di kawasan itu memandangkan van yang menjadi tempat berteduh sudah ditarik oleh bank.
“Van saya ditarik beberapa tahun lalu. Polis memberitahu saya mengenai lokasi ini,” katanya.
Sementara itu, penganjur projek ‘Cob on Wood’, Leah Van Winkle berkata, kawasan itu dianggarkan boleh dimanfaat sekitar 150 hingga 300 orang.
Katanya, susulan permintaan penduduk pada Disember lalu, mereka membina pusat itu dengan kerjasama beberapa kumpulan komuniti seperti Living Earth Structures, Essential Food and Medicine (EFAM) dan Artists Building Communities.
“Pada masa sama, kami mendekati lebih ramai penduduk dan bekerjasama dengan mereka supaya menghentikan tindakan pengusiran keluar,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]